Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya wudhuk saya batal, perkara apa yang tidak boleh saya lakukan dalam beribadat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhuklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali,”
(Surah al-Maidah: 6)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sesiapa yang terbatal wudhuknya, maka haram ke atasnya empat perkara:
- Solat
Sabda Nabi SAW:
لاَ يَقْبَل الله صلاَة أَحَدِكُم إِذا أَحْدَث حَتَّى يَتوضَّأ
Maksudnya: “Allah SWT tidak menerima solat seseorang daripada kamu yang berhadas sehinggalah dia berwudhuk.”
Riwayat al-Bukhari (135)
- Tawaf
Ini kerana tawaf sama seperti solat yang yang diwajibkan bersuci sebelum melakukannya. Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
الطَّوَافُ حَوْلَ الْبَيْتِ مِثْلُ الصَّلَاةِ إِلَّا أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلَا يَتَكَلَّمَنَّ إِلَّا بِخَيْرٍ
Maksudnya: “Tawaf keliling Kaabah sama seperti bersolat kecuali kamu boleh bercakap ketika melakukannya. Sesiapa yang bercakap-cakap ketika itu, janganlah bercakap kecuali yang baik-baik.”
Riwayat al-Tirmizi (960), al-Hakim (1/459) dan beliau mensahihkannya.
- Menyentuh mushaf
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
Maksudnya: “(Quran) yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”
(Surah al-Waqi’ah: 79)
- Membawa mushaf
Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَمَرُّ الْقُرْآنَ إِلَّا طَاهِرُ
Maksudnya: “Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali orang yang bersuci.”
Riwayat al-Daraqutni (1/459)
Menyentuh mushaf dilarang bagi mereka yang berhadas. Namun, sekiranya dalam keadaan darurat seperti mengangkat mushaf yang berada di tempat yang tidak selayaknya maka ia dibolehkan.
Sekiranya mushaf diletakkan bersama barang-barang lain, contohnya diletakkan dalam beg, maka tidak haram dibawa sekiranya diniatkan membawa beg dan bukannya di mushaf. (Lihat Nail al-Raja, hlm. 72)
Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua`lam.