Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah sebenarnya rupa nabi Allah Ibrahim A.S sebagaimana yang digambarkan oleh Nabi SAW? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, Allah SWT mengutus Nabi-Nya Ibrahim A.S, dan menjadikan dalam kalangan keturunannya nubuwwah dan kitab. Firman Allah SWT:

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِبْرَٰهِيمَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًۭا نَّبِيًّا

Maksudnya: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.”

(Surah Maryam: 41)

Allah SWT memelihara Nabi Ibrahim A.S dan memuliakannya dengan diberikan kelebihan dan keutamaan serta dengan sifat-sifat yang terpuji. Firman Allah SWT:

إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ كَانَ أُمَّةًۭ قَانِتًۭا لِّلَّهِ حَنِيفًۭا وَلَمْ يَكُ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ١٢٠ شَاكِرًۭا لِّأَنْعُمِهِ ۚ ٱجْتَبَىٰهُ وَهَدَىٰهُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ ١٢١ وَءَاتَيْنَـٰهُ فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ ۖ وَإِنَّهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan ‘satu umat’ (walaupun Ia seorang diri); ia takat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik (120). Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus (121). Dan Kami telah memberikan kepadanya kebaikan di dunia; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat adalah dari orang-orang yang soleh.”

Selain  itu, Nabi Ibrahim A.S juga merupakan bapa para nabi. Tidak ada nabi yang diutus selepasnya kecuali dari keturunannya. Baginda memiliki dua orang anak yang Allah memilih mereka untuk kenabian. Mereka ialah Nabi Isma’il A.S, datuk orang Arab, dan daripada keturunannya, Allah mengutus Nabi Muhammad SAW. Sementara itu, anak Baginda yang lain pula ialah Nabi Ishaq A.S, dan Allah SWT merezekikan daripadanya seorang nabi yang dinamakan Nabi Ya‘qub A.S. Nabi Ya‘qub A.S digelar dengan Isra’il dan kepadanya dinisbahkan Bani Isra’il dan para nabi mereka.

Al-Quran memberi isyarat berkenaan Nabi Ibrahim A.S sebagai bapa para nabi berdasarkan firman-Nya mengenai Nabi Ibrahim A.S:

وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ ۚ كُلًّا هَدَيْنَا ۚ وَنُوحًا هَدَيْنَا مِن قَبْلُ ۖ وَمِن ذُرِّيَّتِهِۦ دَاوُۥدَ وَسُلَيْمَـٰنَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ٨٤ وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَىٰ وَعِيسَىٰ وَإِلْيَاسَ ۖ كُلٌّۭ مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ٨٥ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَٱلْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًۭا ۚ وَكُلًّۭا فَضَّلْنَا عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Maksudnya: “Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishaq (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Ya‘qub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya (84). Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh (85). Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).

(Surah al-An‘am: 84-86)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Nabi SAW menggambarkan Nabi Ibrahim A.S sebagai seorang yang tinggi dan menyerupai dirinya.

Hal ini adalah jelas sebagaimana riwayat daripada Samurah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

أَتَانِي اللَّيْلَةَ آتِيَانِ، فَأَتَيْنَا عَلَى رَجُلٍ طَوِيلٍ، لاَ أَكَادُ أَرَى رَأْسَهُ طُولًا، وَإِنَّهُ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ»

Maksudnya: “Malam tadi dua orang lelaki datang kepadaku (dalam mimpi), lalu kedua-duanya membawa aku bertemu dengan seorang lelaki yang tinggi, hampir-hampir aku tidak dapat melihat kepalanya kerana ketinggiannya, dan sesungguhnya dia ialah Ibrahim A.S.

Riwayat al-Bukhari (3354)

Begitu juga riwayat daripada daripada Mujahid, bahawa dia mendengar Ibn Abbas R.Anhuma – ketika orang ramai menyebut kepadanya tentang Dajjal tertulis kafir di antara dua matanya (dahi) atau ك ف ر, dia berkata: Aku tidak mendengarnya akan tetapi Baginda bersabda:

أَمَّا إِبْرَاهِيمُ فَانْظُرُوا إِلَى صَاحِبِكُمْ، وَأَمَّا مُوسَى فَجَعْدٌ آدَمُ عَلَى جَمَلٍ أَحْمَرَ مَخْطُومٍ بِخُلْبَةٍ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ انْحَدَرَ فِي الوَادِي يُكَبِّرُ

Maksudnya: “Adapun Ibrahim maka lihatlah kepada sahabat kamu ini (yang dimaksudkan diri Baginda sendiri), adapun Musa, berbadan tegap dan kuat, serta berkulit sawo matang berada di atas unta merah yang diikat dengan tali kekang yang diperbuat daripada kulit pokok tamar, seakan-akan aku melihatnya menuruni lembah sambil bertakbir.

Riwayat al-Bukhari (3355)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Leave a Reply