Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah bahawa di antara sebab cicak disunatkan untuk dibunuh kerana ia dahulunya meniup api untuk membakar Nabi Ibrahim A.S? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan mengemukakan sedikit takrifan cicak. Cicak ialah reptilia yang rapat kaitannya dengan ular. Seperti ular, sesetengah cicak tidak mempunyai kaki. Sesetengahnya menyerupai ular, tetapi mempunyai kaki. Banyak cicak besar kelihatan seperti buaya. Cicak berbeza-beza dari segi saiz, bentuk dan warnanya. Ahli sains telah mengenal pasti lebih daripada 3750 spesies cicak. Australia mempunyai lebih daripada 500 spesies. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 5/273).

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, cicak ialah sejenis reptilia kecil, badan dan ekornya panjang serta memiliki empat kaki.[1] Takrifan yang diberikan oleh Kamus Dewan ini lebih dekat dengan cicak sebagaimana yang dikenali oleh kita semua di Malaysia. Dalam bahasa Arab cicak disebut sebagai “الوزغة” dan dikenali sebagai haiwan yang melata. Badannya berbintik-bintik seperti penyakit kusta dan merupakan haiwan perosak. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/544).

Keduanya, mengenai hal ini, terdapat hadith yang memerintahkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk dalam jenis haiwan perosak (fuwaisiq), sebagaimana diperintahkan juga untuk membunuh haiwan fawasiq yang lain seperti ular, kala jengking dan lain-lain. Lafaz “فَوَاسِق” berasal daripada bahasa Arab, iaitu (فَسِق) dan merupakan kata jamak “فُوَيْسِق” iaitu ‘si kecil yang suka membuat kerosakan (kejahatan).’ Ia memberi makna sama, iaitu haiwan perosak, liar, buas, jahat, pengganggu, penceroboh dan berbahaya kepada manusia. (Lihat Lisan al-Arab, 10/310). Tambahan lagi, perkataan ‘fasiq’ pada haiwan adalah dengan maksud dicabut kehormatan pada sebahagian haiwan disebabkan sifatnya yang membawa kemudaratan, kehinaan dan kemusnahan kepada manusia. (Lihat Fath al-Bari, 4/45 dan Tuhfah al-Ahwazi, 3/375).

Terdapat riwayat daripada ‘Urwah bin al-Zubair, daripada Aisyah R.Anha — isteri Nabi SAW — bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang cicak:

فُوَيْسِقٌ، وَلَمْ أَسْمَعْهُ أَمَرَ بِقَتْلِهِ

Maksudnya: “‘(Ia ialah) binatang perosak.’ Tetapi aku tidak mendengar Baginda memerintahkan untuk membunuhnya.”

Riwayat al-Bukhari (1831)

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بقَتْلِ الوَزَغِ وَسَمّاهُ فُوَيْسِقًا

Maksudnya:Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh cicak dan memanggilnya sebagai fuwaisiq — haiwan perosak.”

Riwayat Muslim (2238)

Justeru, perintah untuk membunuhnya adalah disebabkan oleh gangguan dan kemudaratannya. Al-Damiri menjelaskan, memanggil cicak sebagai ‘fuwaisiq’, maka ia adalah sebanding dengan haiwan-haiwan perosak lima yang lain — sebagaimana yang disebutkan dalam hadith lain — yang diharuskan untuk membunuhnya sama ada di tanah halal mahupun tanah haram. Asal makna ‘al-Fisq’ ialah keluar. Maka, kesemua haiwan yang disebutkan ini telah terkeluar daripada sifat kebanyakan haiwan yang melata (hasyarat) dan seumpamanya, disebabkan oleh kemudaratan dan gangguan yang dibawanya. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/546; lihat juga al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/237).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, di antara sebab disunatkan untuk membunuh cicak adalah kerana ia dahulunya meniup api untuk membakar Nabi Ibrahim A.S. Hal ini jelas sebagaimana riwayat daripada Ummu Syarik R.Anha bahawa:

‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَقَالَ كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم‏‏‏

Maksudnya:Rasulullah SAW memerintahkan untuk membunuh cicak dan bersabda: ‘Dahulunya cicak meniup api (untuk membakar) Nabi Ibrahim A.S.’

Riwayat al-Bukhari (3359)

Hadith ini menjelaskan berkenaan seburuk-buruk jenis haiwan ini dan kerosakannya, serta ia termasuk dalam jenis haiwan beracun yang memudaratkan. Menurut Ibn al-Malik, salah satu keinginannya adalah untuk merosakan makanan terutamanya garam. Sekiranya tiada jalan untuk ia merosakan makanan itu, maka ia akan naik ke atas bumbung, lalu membuang najisnya ke tempat bersebelahan makanan itu. Justeru, hadith ini bertujuan bagi menjelaskan bahawa tabiat semula jadinya yang buruk dan membawa kerosakan. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2671).

Selain daripada itu, lafaz “كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم” (yakni dahulunya cicak meniup api untuk membakar Nabi Ibrahim A.S) adalah bagi menunjukkan kepada kerosakan dan keburukan cicak itu dan bukannya semata-mata ‘illah (sebab) bagi membunuhnya. Tambahan lagi, al-Syarwani ada menyebutkan bahawa oleh kerana asalnya lahir daripada cicak yang meniup api bagi membakar Nabi Ibrahim, maka terbuktilah keburukan daripada jenis haiwan ini, sebagai menghormati Nabi Ibrahim. (Lihat Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, 9/383).

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk artikel kami yang bertajuk: #837 Membunuh Cicak.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=cicak. Diakses pada 30 Disember 2021.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/836-membunuh-cicak/. Diakses pada 4 Disember 2023.

Leave a Reply