Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan isu malaikat pada ayat 11 surah al-Sajdah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 قُلْ يَتَوَفَّىٰكُم مَّلَكُ ٱلْمَوْتِ ٱلَّذِى وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, “Kamu semua akan dimatikan oleh malaikat maut yang ditugaskan mengambil nyawa kamu. Kemudiannya kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.””

(Surah al-Sajdah: 11)

Malaikat maut ialah malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa. Tidak ada disebut di dalam al-Quran nama bagi malaikat ini, namun disebut dalam banyak hadis bahawa namanya ialah ‘Izrail yang bermaksud ‘hamba Allah’. Terdapat ayat dalam al-Quran yang menyebutnya dengan lafaz tunggal (mufrad) seperti ayat di atas dan ada juga ayat yang menyebut dengan lafaz majmuk (jamak) seperti firman-Nya:Firman Allah SWT:

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذْ يَتَوَفَّى ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۙ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَضْرِبُونَ وُجُوهَهُمْ وَأَدْبَـٰرَهُمْ وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلْحَرِيقِ

Maksudnya: Dan sekiranya engkau dapat melihat ketika para malaikat mencabut nyawa orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka sambil berkata, “Rasakanlah seksa neraka yang membakar,” tentulah kamu akan berasa ngeri.

(Surah al-Anfal: 50)

Malaikat maut merupakan malaikat yang dikhususkan oleh Allah SWT untuk mencabut nyawa manusia.

Firman Allah SWT lagi:

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ ۖ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

Maksudnya: Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).

(Surah al-An’am: 61)

Ibn Kathir berkata: Sehingga apabila ajal seseorang telah tiba, maka malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa pun mematikannya. Menurut Ibn Abbas: “Malaikat maut memiliki sejumlah malaikat pendamping yang bertugas mengeluarkan ruh daripada jasad. Apabila ruh sudah sampai di kerongkong, maka malaikat maut mengambil alih untuk mencabutnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/48)

Ibn ‘Asyur menyatakan, malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa adalah sangat ramai jumlahnya. Allah SWT melantik ‘Izrail sebagai penyampai arahan-Nya kepada para malaikat tersebut. Mereka itu menjadi pembantu kepada ‘Izrail di mana mereka akan menyerahkan nyawa-nyawa yang telah dicabut kepada ‘Izrail untuk disimpan di tempat yang telah disediakan oleh Allah SWT. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 21/220-221)

Namun begitu al-Quran dan al-Hadith tidak menyebut nama Izra’il secara khusus. Ia hanya dikenali sebagai Malaikat Maut sahaja di dalam al-Qur’an dan al-Hadith. Firman Allah SWT:

قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan.”

(Surah al-Sajdah: 11)

Ibn Kathir menyebutkan: “Adapun nama Malaikat Maut tidak disebutkan secara jelas di dalam al Qur’an, dan juga hadith yang sahih. Namun penamaan Izra’il tertera di dalam beberapa athar.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/47)

Antara kitab tafsir yang menyebutkan bahawa nama Malaikat Maut adalah Izra’il adalah:

  • Tafsir al-Sam’ani (4/245) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Fath al-Qadir (4/289) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Fath al-Bayan fi Maqasid al-Qur’an (11/20) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir al-Sya’rawi (4/2574) ketika mentafsirkan Surah al-Nisa’ ayat 97.
  • Tafsir al-Muqatil (3/450) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah (9/5754) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Ibn ‘Atiyyah (4/360) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Ibn Juzay (2/142) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir al-Bahr al-Muhit (8/434) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Adhwa’ al-Bayan (6/184) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir al-Wasit (8/119) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Mafatih al-Ghaib (2/386) ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30.
  • Tafsir al-Samarqandi (3/542) ketika mentafsirkan Surah al-Nazi’at ayat 14.

Selain itu, ia juga ditemukan dalam Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin (4/467) yang mengambil riwayat daripada Asy’ath (hadis maqtu’) beliau berkata:

سَأَلَ إِبْرَاهِيمُ صَلَّى اللَّهُ عَلَى نَبِيِّنَا وَعَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيمًا مَلَكَ الْمَوْتِ عَلَيْهِ السَّلَامُ وَاسْمُهُ عِزْرَائِيلُ، وَلَهُ عَيْنَانِ عَيْنٌ فِي وَجْهِهِ وَعَيْنٌ فِي قَفَاهُ، فَقَالَ: يَا مَلَكَ الْمَوْتِ، مَا تَصْنَعُ إِذَا كَانَتْ نَفْسٌ بِالْمَشْرِقِ وَنَفَسٌ بِالْمَغْرِبِ، وَوَقَعَ الْوَبَاءُ بِأَرْضٍ، وَالْتَقَى الزَّحْفَانِ كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: أَدْعُو الْأَرْوَاحَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فَتَكُونُ بَيْنَ أُصْبُعَيَّ هَاتَيْنِ. قَالَ: وَدُحِيَتْ لَهُ الْأَرْضُ فَتُرِكَتْ مِثْلَ الطَّسْتِ يَتَنَاوَلُ مِنْهَا حَيْثُ شَاءَ. قَالَ: وَهُوَ الَّذِي بَشَّرَهُ بِأَنَّهُ خَلِيلُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: Nabi Ibrahim bertanya kepada Malaikat Maut dan namanya adalah Izra’il. Padanya dua mata; satu di wajahnya, satu di belakang lehernya. Ibrahim bersabda: ‘Wahai Malaikat Maut. Apa yang kamu buat sekiranya satu nyawa di Timur dan satu nyawa lagi di Barat dan berlaku waba’ di muka bumi serta berkumpul dua kerisauan ini. Bagaimana kamu akan lakukannya?” Jawabnya: “Aku akan menyeru roh-roh dengan izin Allah SWT, maka jadilah ia berada antara dua jari aku. (Lihat al-‘Uzmah, 3/908)

Al-Qadhi ‘Iyadh juga menyebutkan tentang Izra’il dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif al-Huquq al-Mustafa. (Lihat al-Syifa bi Ta’rif al-Huquq al-Mustafa, 2/303)

Malah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga menamakan Malaikat Maut sebagai Iz’rail ketika membahaskan persoalan sama ada semua makhluk termasuk malaikat akan mati atau tidak. Kebanyakan kitab-kitab seperti di atas memang menukilkan sahaja tanpa ditanyakan sanad yang marfu’ dan sahih tentang penamaan ini.

Pada pandangan kami, perkataan Izra’il kemungkinan besar berasal daripada Bahasa Ibrani. Dalam Tanakh (salah satu daripada kitab suci agama Yahudi), perkataan Azrael ada disebutkan dan digambarkan sebagai Malaikat Maut. (Lihat A Dictionary of Angels: Including The Fallen Angels, hlm. 64-65)

Maka, nama Izra’il ini secara jelasnya adalah riwayat Isra’iliyyat. Kaedah bagi umat Islam ketika berinteraksi dengan riwayat Israiliyyat dibahagikan kepada tiga:

  • Riwayat yang selari dengan syariat dan Al-Quran. Maka kisah-kisah sebegini berfungsi sebagai sokongan kepada apa yang telah disebutkan oleh keduanya.
  • Riwayat yang bertentangan dengan syariat dan Al-Quran. Ini ditolak dengan sepakat para ulama’.
  • Riwayat yang tidak terdapat dalam syariat dan Al-Quran samada selari atau bertentangan. Prinsipnya adalah tidak menerima dengan yakin dan tidak pula melarangnya.

Kesimpulannya, penamaan Malaikat Maut sebagai Izra’il ini termasuk dalam kategori ketiga dan kita tidak diperbolehkan untuk menafikannya, begitu juga membenarkannya secara pasti. Maka, tidak ada masalah untuk menggunakannya walaupun ianya tidak ditemui dalam al-Qur’an dan Hadith, asalkan kita tidak meyakini secara pasti bahawa ia adalah nama bagi Malaikat Maut.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Leave a Reply