Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Siapakah orang yang mulia, anak yang mulia, anak yang mulia, anak yang mulia? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَـٰٓأَبَتِ إِنِّى رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًۭا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِى سَـٰجِدِينَ

Maksudnya: “(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: ‘Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku.’

(Surah Yusuf: 4)

Sebahagian ahli tafsir menafsirkan ayat di atas dengan menyatakan bahawa maknanya adalah sebutkanlah (wahai rasul), kepada kaummu perkataan Nabi Yusuf kepada ayahnya: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat dalam tidurku sebelas bintang, matahari dan bulan, aku melihat semua itu bersujud kepadaku.” Mimpi ini menjadi pembuka khabar gembira atas martabat yang dicapai oleh Nabi Yusuf berupa kedudukan yang tinggi di dunia dan akhirat. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 235).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa orang yang mulia, anak kepada orang yang mulia, anak kepada orang yang mulia, anak kepada orang yang mulia adalah merujuk kepada Nabi Yusuf bin Ya‘qub bin Ishaq bin Ibrahim A.S.

Ini jelas sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, bahawasanya Baginda bersabda:

الكَرِيمُ، ابْنُ الكَرِيمِ، ابْنِ الكَرِيمِ، ابْنِ الكَرِيمِ: يُوسُفُ بْنُ يَعْقُوبَ بْنِ إِسْحَاقَ بْنِ إِبْرَاهِيمَ

Maksudnya: “Orang yang mulia anak lelaki kepada orang yang mulia, anak lelaki kepada orang yang mulia, anak lelaki kepada orang yang mulia: Yusuf bin Ya‘qub bin Ishaq bin Ibrahim A.S.”

Riwayat al-Bukhari (3382)

Jika diperhatikan, kemuliaan itu adalah kerana Nabi Yusuf A.S merupakan anak dan cucu kepada seorang nabi, di samping Baginda sendiri juga adalah seorang nabi dan rasul yang dilantik oleh Allah SWT. Ini jelas kerana Ya‘qub, Ishaq dan Ibrahim, kesemuanya merupakan nabi dan rasul.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Leave a Reply