Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah syarat untuk melakukan jamak taqdim dan ta’khir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara dalil disyariatkan jamak adalah berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.

Riwayat al-Bukhari (1107)

Jama‘ bermaksud menggabungkan dua solat di dalam satu waktu. Iaitu menggabung solat Zohor dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan solat Isyak. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa harus hukumnya menjama‘kan di  antara solat Zohor dengan Asar pada waktu yang dia suka dan juga solat Maghrib dengan solat Isyak menurut mazhab al-Syafi‘i, dan ini juga berdasarkan persepakatan ulama’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab , 4/249)

Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa sesiapa yang ada keuzuran, maka diharuskan untuk dia menjama‘kan solat. Manakala bagi mereka yang ada keuzuran akan tetapi tidak mahu menjama’kan solat, sehingga dia meninggalkan solat, maka dia berdosa tanpa syak lagi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/205)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat empat syarat jamak taqdim:

  1. Memulakan solat yang pertama yakni dimulakan dengan solat pertama yang empunya waktu kemudian diikuti dengan solat yang kedua.
  2. Niat jamak di dalamnya (pada solat yang pertama).
  3. Berturut-turut di antara keduanya.
  4. Masih berada dalam keadaan uzur (yang membolehkan jamak).

Manakala, terdapat dua syarat jamak ta’khir:

  1. Niat melakukan ta’khir (melewatkan solat) dan masih berbaki waktu yang pertama yang cukup untuk mengerjakan solat yang pertama.
  2. Masih berada dalam keadaan uzur (seperti musafir dan hujan yang membolehkan kita melewatkan solat) sehinggalah selesainya waktu solat yang kedua. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 47)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Leave a Reply