Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. boleh jelaskan kepada kami apakah hikmah dikhususkan Nabi Ibrahim dalam selawat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab: 56)

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5511)

Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa  menyebut: Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi.(Lihat al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa,hlm. 138-139)

Diriwayatkan daripada Husin Bin Ali Bin Abi Tolib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”

Riwayat Tarmizi(3546) dan Ahmad(1736)

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadith daripada Ali dan juga hadith daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/373)

Dalam menjawab persoalan di atas antara lafaz selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW adalah sepertimana  yang diajarkan oleh baginda SAW kepada para sahabat apabila mereka bertanya bagaimana cara untuk berselawat kepada baginda SAW. Ka’ab bin ‘Ujrah R.A. menyatakan: Kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah, kami telah mengetahui bagaimana memberi salam kepadamu, tetapi bagaimana pula cara untuk berselawat kepadamu? Lau Baginda menjawab:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى (آلِ) إِبرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى (آلِ) إِبْرَاهِيمَ فِي العَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad dan keluarnya seperti mana Engkau berikan selawat ke atas keluarga Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarganya seperti mana Engkau memberkati ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

Riwayat Muslim (405)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami al-Syafi’i menyatakan: Sebaik-baik lafaz dalam selawat adalah elawat ibrahimiyyah (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/478)

Dapat diperhatikan dalam selawat yang agung ini Nabi Ibrahim AS disebutkan secara khusus tanpa menyebut nabi-nabi yang lain. Oleh itu para ulama memberikan pandangan yang berbeza mengenai hikmah di sebalik pengkhususan ini dari beberapa sudut pandangan  antaranya ialah:

Pertama:  Baginda memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan  kepadanya sebutan yang baik (nama yang baik) dalam kalangan orang-orang terkemudian, maka daripadanya terwujudlah selawat  umat Muhammad ke atasnya. Hal ini disebutkan melalui firman Allah SWT:

وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Maksudnya: Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

(Surah al-Syuara’: 84)

Kedua: Baginda menyebut umat Muhammad sebagai orang-orang islam sebelum kemunculannya yang merupakan anugerah yang terbesar kepada kita. Oleh yang demikian kita membalasnya disebabkan dengan gelaran tersebut sepertimana firman Allah SWT:

 هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ

Maksudnya:  Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini

(Surah al-Hajj: 73 )

Begitu juga firman Allah SWT:

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, 

(Surah al-Baqarah: 128 )

Ketiga: Keistimewaan Rasulullah SAW  adalah disebabkan doa dari Nabi Ibrahim AS. Itulah sebabnya beliau diberikan keutamaan untuk diberi salam dan selawat oleh umat Nabi Muhammad SAW.  ( Lihat al-’Ilam bi Fawaid ‘Umdah al-Ahkam ,3/471)

Keempat: Nabi SAW melihat pada malam Isra’ Mikraj semua para nabi dan rasul, dan memberi salam kepada setiap nabi. Namun, tidak ada seorang pun dari mereka yang mendoakan kesejahteraan kepada umat Muhammad  melainkan  Nabi Ibrahim AS. Oleh itu, Nabi SAW memerintahkan kita untuk selalu berselawat ke atasnya di penghujung setiap solat sebagai ganjaran atas kebaikannya. [1] Hal ini disebutkan dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud bahawa Nabi Ibrahim berkata kepada Rasulullah:

يَا مُحَمَّدُ أَقْرِئْ أُمَّتَكَ مِنِّي السَّلَام

Maksudnya: Wahai Muhammad SAW, sampaikanlah salam kepada umat-mu daripada aku (Nabi Ibrahim AS).

Riwayat al-Tirmidzi: (3462)

Kelima: Allah SWT memerintah Rasulullah SAW untuk mengatakan kepada kaum Baginda AS bahawa Rasulullah SAW mengikut kepada ajaran sebelumnya iaitu ajaran Nabi Ibrahim AS. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّنِي هَدَانِي رَبِّي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ دِينًا قِيَمًا مِّلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۚ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik”.

(Surah al-An’am: 161)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۗ وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik ugamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut ugama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

(Surah al-Nisa:125)

Sebagai kesimpulannya, Allah SWT telah mengangkat Nabi Ibrahim AS sebagai Khalilullah (sahabat karib Allah) dan juga sebagai bapa kepada semua nabi. Doa yang dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim AS telah diterima dan dijawab oleh Allah SWT, menjadikan beliau seorang yang mulia disisi Allah dan umat Muhammad. Oleh yang demikian, sebaik-baik selawat untuk diamalakan adalah selawat Ibrahimiyyah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”

Wallahua’lam

Nota kaki:

[1] Lihat: https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/19455/%D8% – Diakses pada 8 Disember 2023

Leave a Reply