Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kelebihan tamar Ajwah berdasarkan nas hadith?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Kurma dan Kurma Ajwah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kurma ialah sejenis tumbuhan (palma) yang buahnya manis dan boleh dimakan.[1] Kurma merupakan tumbuhan dari genus Phoenix. Perkataan phoenix berasal daripada perkataan Phoenicia yang bermaksud pokok kurma, dan dactylifera berasal dari perkataan Greek daktulos bermaksud jejari yang menggambarkan bentuk buahnya. Pokok kurma dalam bahasa Arab disebut sebagai nakhl, manakala buahnya yang matang dipanggil tamar. Penanaman pokok kurma bermula sejak sebelum Masihi iaitu 6000 hingga 8000 tahun yang lalu di Mesopotamia.[2] Imam al-Nawawi telah menyebutkan bahawa terdapat sebanyak 120 jenis kurma Madinah. ( Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/50.)

Manakala kurma Ajwah adalah salah satu jenis daripada jenis-jenis kurma. Malah al-Jauhari dan Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kurma Ajwah merupakan antara jenis kurma yang terbaik di Madinah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/284; Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/3.)

Selain itu, Ibn Hajar al-‘Asqalani juga turut menyatakan bahawa kurma Ajwah ialah kurma yang terbaik dan paling lembut di Madinah. Kemudian, beliau menukilkan pendapat al-Dawudi yang menyebutkan bahawa kurma Ajwah termasuk dalam kategori kurma yang sederhana saiznya. Di samping itu, Ibn al-Athir pula menyatakan dalam kitabnya al-Nihayah bahawa kurma Ajwah merupakan sejenis kurma daripada Madinah, saiznya lebih besar daripada kurma al-Saihani dan warnanya kehitam-hitaman. ( Lihat Fath al-Bari,10/238; Mirqah al-Mafatih, 7/2705)

Begitu juga Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan bahawa kurma Ajwah Madinah ialah kurma yang paling bermanfaat di Tanah Hijaz secara umumnya, bentuknya baik, isinya padat dan kuat, termasuk juga antara kurma yang paling lazat, lembut dan harum. (Lihat al-Tibb al-Nabawi, hlm. 258.)

Justeru, dapat disimpulkan bahawa kurma Ajwah merupakan kurma yang terbaik dan paling lembut di Madinah, warnanya kehitam-hitaman, saiznya sederhana dan isinya padat.

Kelebihan Tamar Ajwah Berdasarkan Nas Hadith

Berkenaan persoalan di atas, kami kemukakan beberapa hadith berikut:

  • Daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ، وَلَا سِحْرٌ

Maksudnya:Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5445); Muslim (2047)

Menurut Ibn al-Jauzi, lafaz “تَصَبَّحَ” bermaksud memakannya — yakni kurma itu — pada waktu pagi sebelum makan sesuatu apa pun. (Lihat Kasyf al-Musykil, 1/235)

  • Daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً – أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ – أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

Maksudnya:Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.”

Riwayat Muslim (2048)

Manakala “الْبُكْرَة” dari segi bahasa bermaksud permulaan siang sehingga terbitnya matahari. Selain itu, al-Munawi pula menyebutkan, permulaan hari ialah waktu fajar dan selepasnya pula ialah waktu subuh. Dalam erti kata lain, bermula pada waktu awal pagi, kemudian waktu Dhuha, kemudian waktu dhahwah (yakni sebelum waktu tengahari), kemudian tengahari, kemudian al-Rawah (yakni bermulanya gelincir matahari), kemudian waktu petang, kemudian waktu asar, kemudian al-Asil (yakni waktu matahari kekuningan sebelum ia terbenam), kemudian waktu isyak pertama, seterusnya waktu isyak kedua dan waktu tersebut adalah ketika terbenamnya (hilang) mega merah. (Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 1317; al-Mu‘jam al-Wasit, 1/67, Lihat Faidh al-Qadir, 2/103).

  • Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءٌ – أَوْ تِرْيَاقٌ – أَوَّلَ الْبُكْرَةِ عَلَى الرِّيقِ

Maksudnya:Pada kurma Ajwah ‘Aliyah terdapat penyembuh atau penawar bagi racun, jika dimakan pada awal pagi dalam keadaan perut masih kosong.”

Riwayat Ahmad (25187)

Lafaz hadith, “أَوَّلَ الْبُكْرَةِ عَلَى الرِّيقِ” adalah sebagaimana makna pada lafaz hadith, “مَنْ تَصَبَّحَ” iaitu maksudnya ialah sesiapa yang memakan tujuh biji kurma tersebut semasa perut masih kosong pada waktu pagi, sebelum makan suatu apa pun, maka tidak akan memberi mudarat kepadanya sebarang racun mahupun sihir. Hal ini adalah sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa perkataan Nabi SAW, “أَوَّلَ الْبُكْرَةِ” adalah sebagaimana makna yang terdapat dalam riwayat lain, “مَنْ تَصَبَّحَ”.(Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/3)

  • Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

والعَجوةُ مِنَ الجَنَّةِ، وهي شِفاءٌ مِنَ السُّمِّ

Maksudnya:Kurma Ajwah berasal dari syurga, dan ia merupakan penawar daripada racun.

Riwayat Ahmad (8037); al-Tirmizi (2066); Ibn Majah (3455); Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih.

Justeru berdasarkan kepada hadith-hadith ini, secara zahirnya sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi akan terselamat daripada sebarang racun dan sihir. Walau bagaimanapun, al-Khattabi menyebutkan bahawa kurma Ajwah bermanfaat bagi mengubati racun dan sihir disebabkan oleh keberkatan doa Nabi SAW kepada kurma Madinah, dan bukan kerana khasiat kurma itu sendiri. Manakala Ibn al-Tin pula berpendapat bahawa berkemungkinan kurma yang dimaksudkan di sini ialah kurma yang secara khususnya terdapat di Madinah, yang tidak diketahui lagi pada masa sekarang. (Lihat Fath al-Bari, 10/239)

Imam al-Nawawi  dalam al-Minhaj (14/3) ketika mensyarahkan hadith berkenaan kelebihan kurma Madinah menyebutkan, hadith-hadith ini menunjukkan kelebihan kurma Madinah dan kurma Ajwah. Begitu juga kelebihan memakan tujuh biji kurma pada waktu pagi. Namun kelebihan ini hanya khusus buat kurma Ajwah Madinah sahaja, dan bukannya pada kurma-kurma yang lain. Manakala, bilangan tujuh biji — yang disebutkan dalam hadith — termasuk dalam perkara yang hanya diketahui oleh Allah SWT akan hikmahnya. Sedangkan kita pula wajib beriman dan menerimanya, serta meyakini akan fadhilatnya (adalah benar) dan ada hikmahnya (akan perkara tersebut), sebagaimana ketetapan terhadap bilangan solat, kadar nisab di dalam zakat dan lain-lain. Selain itu, Ibn Qayyim al-Jauziyyah juga ada menukilkan pendapat yang menyatakan bahawa fadhilat tersebut — yakni terselamat dari racun dan sihir — hanya terdapat pada kurma Ajwah Madinah. (Lihat al-Tibb al-Nabawi, hlm. 258)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Nota kaki:

[1] Lihat : http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kurma.

[2] Lihat disertasi bertajuk: Tumbuhan Terpilih Menurut Perspektif Islam dan Sains Kesihatan, oleh Sumaiyah binti Mohd. Tamizi, Disertasi ini dikemukakan untuk memenuhi keperluan bagi Ijazah Sarjana Falsafah, Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya Kuala Lumpur 2015, hal.  142.

Leave a Reply