Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah minyak zaitun dianggap daripada pohon berkat dan ada kelebihannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Minyak zaitun diekstrak daripada buah zaitun. Selain digunakan sebagai bahan masakan, ia turut dijadikan bahan yang digunakan untuk menghasilkan beberapa jenis kosmetik dan mempunyai banyak khasiat yang baik untuk kesihatan badan. Berikut adalah beberapa jenis minyak zaitun yang ada:

  1. Minyak Zaitun Dara (Virgin olive oil) – Variasi yang paling popular, ia adalah minyak masak yang terkenal dengan kandungan asid yang rendah. Ia sesuai untuk orang yang ingin menikmati khasiat minyak zaitun tanpa perlu berbelanja tinggi.
  2. Minyak Zaitun “Extra Virgin” (Extra virgin olive oil) -Diperbuat daripada buah zaitun yang diproses ketika masih sejuk, minyak ini dianggap sebagai yang terbaik untuk badan kita. Tetapi tidak semua orang mampu menggunakan minyak ini kerana kos yang tinggi.
  3. Minyak Zaitun Asli (Pure olive oil) – Minyak zaitun ini sebenarnya penyatuan minyak zaitun yang telah diproses dan minyak zaitun dara. Ia mempunyai kandungan asid yang tinggi, dan oleh itu tidak sesuai digunakan.
  4. Minyak “Lampante” (Lampante oil) – Jenis yang digunakan hanya sebagai bahan bakar dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai bahan masakan.

Minyak Zaitun mempunyai lemak mono tak tepu yang mempunyai kelebihan seperti dapat melindungi diri daripada penyakit koronari jantung, menurunkan paras kolesterol darah, mengawal tekanan darah serta melindungi diri daripada kanser.[1]

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ ‎

Maksudnya: “Demi buah Tiin dan Zaitun,

Surah al-Tin (1)

Allah SWT bersumpah dengan buah tin yang boleh dimakan dan buah zaitun yang boleh diperah minyaknya kerana terdapat pengajaran yang besar membuktikan siapa yang menciptakannya sehingga menjadi satu suapan. Buah tin merupakan makanan yang berkhasiat kerana makanannya lembut dan cepat dicerna, mengurangi air liur, membersihkan ginjal, menggemukkan badan, buah-buahan yang paling terbaik dan sebagai penawar kerana boleh mengeluarkan lebihan-lebihan dalam badan. Zaitun juga merupakan buah, rempah dan ubat, di mana hasil perahannya mengeluarkan minyak yang boleh memenuhi keperluan sebahagian manusia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/555)

Firman Allah SWT juga:

اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ

Maksudnya: “Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya.”

Surah al-Nur (35)

Ibn Kathir berkata: ‘يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ ’, yakni dinyalakan daripada minyak zaitun, pohon yang diberkati. Firman Allah, ‘زَيْتُونَةٍ’ adalah pengganti daripada perkataan ‘شَجَرَةٍ’, atau perkataan ‘زَيْتُونَةٍ’ sebagai penjelas kepada perkataan ‘شَجَرَةٍ’. Ertinya pohon yang berkat ini adalah pohon Zaitun. Firman Allah, ‘زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ’, maksudnya Zaitun ini bukan tumbuh di sebuah kawasan yang terletak di sebelah timur, sehingga sinar matahari waktu pagi tidak dapat mengenainya, dan bukan pula di kawasan sebelah barat sehingga sinar matahari ketika terbenam tidak dapat mengenainya. Akan tetapi, zaitun ini tumbuh di wilayah antara timur dan barat, yang selalu terkena sinar matahari dari pagi hingga petang. Sehingga, minyak yang dihasilkannya pun jernih, seimbang dan berkilau.

Berkenaan firman Allah SWT, ‘زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ’, terdapat beberapa pendapat, antaranya:

  • Ibn ‘Abbas menjelaskan bahawa pohon zaitun ini pohon zaitun yang berada di padang sahara, yang tidak terhalang daripada sinar matahari oleh pohon-pohon lain, tidak tertutup oleh gunung-gunung dan tidak pula berada di dalam gua. Ringkasnya, pohon ini tidak terhalang oleh apa pun daripada pancaran sinar matahari. Sehingga, pohon zaitun seperti ini menghasilkan minyak terbaik.
  • Ikrimah pula mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa pohon tersebut adalah pohon zaitun yang tumbuh di padang sahara. Apabila matahari terbit, pohon zaitun ini langsung terkena pancaran sinarnya. Apabila matahari terbenam, pohon zaitun ini juga masih terkena sinarnya sebelum gelap malam datang. Sehingga pohon zaitun ini menghasilkan minyak yang paling jernih.
  • Mujahid menjelaskan bahawa pohon zaitun ini tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat. Jika tumbuh di kawasan timur, pohon zaitun ini tidak terkena sinar matahari ketika terbit. Jika tumbuh di sebelah barat, ia tidak terkena sinar matahari ketika terbenam. Akan tetapi, pohon zaitun ini tumbuh di sebuah wilayah antara timur dan barat. Sehingga, ia selalu terdedah kepada sinar matahari, sama ada ketika matahari terbit mahupun ketika matahari terbenam.
  • Sebahagian ulama lain memberi pendapat berbeza, di mana mereka mengatakan bahawa makna firman Allah itu adalah bahawa pohon zaitun itu berada di tengah-tengah pepohonan yang lain. Sehingga, pohon zaitun itu tidak terlihat dari sebelah timur mahupun sebelah barat.
  • Ubai bin Ka’ab berkata bahawa maknanya adalah, pohon zaitun ini hijau lagi lembut, kerana tidak terkena sinar matahari sama sekali, sama ada ketika matahari terbit mahupun ketika matahari terbenam.
  • Sa’id bin Jubair berkata, bahawa maksudnya adalah minyak di tengah pohon, tidak terkena matahari di timur dan di barat.
  • Al-Hasan al-Basri berpendapat bahawa yang dimaksudkan dalam ayat bukan pohon tertentu, akan tetapi ia adalah permisalan yang dibuat oleh Allah SWT. Katanya, “Seandainya pohon ini ada di bumi, pasti di timur atau di barat. Akan tetapi ia adalah sebuah perumpamaan yang dibuat Allah untuk cahaya-Nya.”

Berdasarkan beberapa pendapat di atas – menurut Ibn Kathir – pendapat yang kuat adalah pendapat yang pertama, iaitu bahawa ia di satu tempat dari bumi ini, di tempat yang luas, nampak, terlihat, terkena cahaya matahari, terkena panasnya daripada awal siang sehingga akhir. Hal itu agar minyaknya lebih jernih dan lebih lembut, sebagaimana dinyatakan oleh beberapa ulama’. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/811)

Mengikut tafsiran Ibnu Abbas pohon zaitun yang terbaik untuk dibuat minyak, mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  • Berada di padang pasir.
  • Tidak dilindungi oleh apa-apa pokok lain.
  • Tidak terlindung dengan apa-apa bukit, gunung atau gua.

Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُوا الزَّيْتَ وادَّهِنُوا بِهِ فإنَّهُ مِن شَجَرَةٍ مُبارَكَةٍ

Maksudnya:Makanlah minyak zaitun dan berminyaklah dengannya. Minyak zaitun berasal daripada pohon yang diberkati.

Riwayat al-Tirmizi (1851)

Khasiat Minyak Zaitun

Terdapat pelbagai khasiat yang boleh dilihat dari tiga aspek iaitu khasiat untuk:

  1. Kulit
  2. Rambut
  3. Kesihatan

Kebaikan Untuk Kulit

  1. Melembapkan kulit: Minyak ini mengandungi sejumlah besar vitamin E, antioksidan yang melindungi kulit daripada pelbagai faktor luaran seperti sinaran matahari atau angin yang kuat. Tekstur minyak zaitun yang ringan menjadikannya pelembap sempurna yang tidak melekit yang tahan lama dan sesuai dengan semua jenis kulit.
  2. Memperbaiki kesihatan kulit: Minyak zaitun mengandungi vitamin E, yang dapat meningkatkan kesihatan kulit dengan merawat keradangan, jerawat, dan melindungi kulit dari penyakit yang serius seperti psoriasis dan kanser kulit.
  3. Membantu membuang make-up di muka: Minyak zaitun dara adalah alternatif pembuang mekap yang mudah dan murah berbanding daripada jenama lain yang berada di pasaran. Ia bertindak dengan baik tanpa merosakkan kulit anda.
  4. Mempunyai elemen Anti Penuaan: Apabila umur anda meningkat, kulit akan mula mengendur dan kedutan akan terbentuk. Anda boleh mengurangkan tanda-tanda penuaan ini dengan menggunakan minyak zaitun.
  5. Sebagai skrub bibir: Minyak zaitun boleh membuatkan bibir anda nampak lembut dan cantik dengan mencampurkan beberapa titis minyak zaitun bersama gula perang yang telah dihancurkan dan sedikit jus lemon, kemudian sapukan campuran ini di permukaan bibir anda.
  6. Menyembuhkan kulit tumit yang merekah: Gosokkan tumit anda dengan menggunakan air lemon yang panas dan sapukan sekali minyak zaitun pada tumit untuk menambahkan kelembapan dan kelembutan. Anda boleh memakai stoking untuk kelegaan yang lebih cepat.

Kebaikan Untuk Rambut

  1. Memastikan Rambut Kekal Sihat: Minyak zaitun, bersama dengan kombinasi beberapa bahan yang lain seperti madu dan kuning telur, boleh bertindak dengan baik untuk mengekalkan kesihatan rambut. Minyak zaitun kaya dengan vitamin E yang membantu melawan rambut gugur. Madu boleh memberikan kelembapan terhadap rambut anda. Ia juga mengandungi nutrien yang lain seperti magnesium, zink, sulfur, kalsium, dan vitamin B yang membantu pertumbuhan rambut. Kuning telur kaya dengan protein, nutrien yang membentuk elemen pada rambut.
  2. Boleh Digunakan Sebagai Rawatan Pra-Syampu: Urutan minyak zaitun sebelum syampu membantu memberikan kilauan dan kekuatan kepada rambut anda.

Kebaikan Untuk Kesihatan

  1. Memperbaiki Kesihatan Kuku: Vitamin E dalam minyak zaitun boleh meningkatkan penampilan kuku yang terjejas oleh penyakit.
  2. Membantu Mencegah Kanser Payudara: Dalam kajian Arab Saudi, didapati bahawa oleuropein, sebatian semulajadi yang terdapat pada daun zaitun, mempunyai potensi sebagai anti-kanser payudara. Di dalam percubaan klinikal yang lain yang dijalankan di Sepanyol, didapati bahawa wanita yang mengamalkan diet yang mengandungi minyak zaitun, 62 peratus daripada mereka kurang berkemungkinan mengidap kanser payudara.
  3. Membantu Mencegah Diabetes: Menurut Harvard School of Public Health, diet yang kaya dengan lemak mono dan “polyunsaturated’, seperti yang terkandung dalam minyak zaitun, dapat membantu mencegah diabetes. Dalam kajian lain yang diterbitkan oleh The American Journal of Clinical Nutrition, penggunaan minyak zaitun dikaitkan dengan berkurangnya risiko diabetes dalam kalangan wanita.
  4. Mengelakkan daripada penyakit Alzheimer: Menurut Scientific American, oleocanthal dalam minyak zaitun dapat membantu mencegah penyakit Alzheimer. Persatuan Kimia Amerika juga turut menjumpai penemuan yang serupa. Dalam kajian Amerika, minyak zaitun “extra virgin” didapati dapat meningkatkan pembelajaran dan memori pada tikus, menyokong kemungkinan replikasinya pada manusia yang menderita penyakit Alzheimer.
  5. Memperkukuhkan Tulang: Dalam kajian yang melibatkan lelaki yang mengamalkan diet Mediterranean, didapati minyak zaitun mungkin menyumbang kepada tulang yang kuat. Darah mereka didapati mengandungi tahap osteocalcin yang lebih tinggi, yang merupakan petanda bagi pembentukan tulang yang sihat.
  6. Merawat Kemurungan: Minyak zaitun boleh meningkatkan tahap serotonin, bahan kimia dalam otak. Ini, telah dijumpai, serupa dengan kesan beberapa antidepresi.
  7. Membantu kurangkan berat badan: Satu kajian yang diterbitkan di Harvard School of Public Health telah menyokong keberkesanan minyak zaitun dalam membantu penurunan berat badan. Kehilangan berat badan yang berlaku disebabkan oleh dua jenis diet yang berbeza (diet Mediterranean berlemak sederhana yang mengandungi minyak zaitun dan diet rendah lemak) dibandingkan. Menjelang akhir kajian, hanya 20 peratus daripada sukarelawan dalam kumpulan rendah lemak yang masih mengikut diet.
  8. Membantu Mengawal Kolesterol dalam badan: Minyak zaitun mengandungi tahap lemak tepu dan lemak tak tepu yang minima. Ini membolehkan ia mengawal paras kolesterol dalam darah pada badan. Minyak zaitun mengandungi tahap tertinggi bagi lemak “monounsaturated” – sekitar 75-80%, yang membantu membentuk kolesterol baik dan HDL dalam badan.
  9. Melegakan Sembelit: Minyak zaitun kaya dengan lemak “monounsaturated”. Ini membantu dalam meningkatkan mobiliti supaya makanan dapat bergerak dengan lancar melalui usus besar tanpa sebarang masalah. Ia juga membantu dalam mempercepatkan pergerakan usus dan menghalang sembelit.
  10. Membantu Menghapuskan Batu Karang pada Buah Pinggang: Penggunaan minyak zaitun juga dapat membantu melarutkan batu karang pada buah pinggang.
  11. Membantu Mencairkan Tahi Telinga: Ia membantu melembutkan tahi telinga, menjadikannya lebih mudah bagi anda untuk mengeluarkan tahi telinga. Sebaik sahaja ia telah disapu secukupnya, tahi telinga akan pecah menjadi kepingan yang lebih kecil, dan mula bergerak keluar di saluran telinga, di mana ia boleh dibersihkan dengan kain lembut atau tisu.[2]

Selain itu, terdapat juga beberapa khasiat lain minyak zaitun:

  • Pakar Pemakanan, Hospital Columbia Asia, Iskandar Puteri Johor, Yap Pau Lin berkata, minyak zaitun mengandungi lemak mono tidak tepu (MUFA) yang menyihatkan, di samping lemak tepu dan juga lemak poli tidak tepu (PUFA) termasuk omega 3 dan omega 6.
  • Ia juga terkandung bahan antioksida seperti hydroxytyrosol, oleocanthal, squalene dan beta karotin selain vitamin E tokoferol dan juga vitamin K.
  • Melindungi organ jantung – Diet Mediterranean lazimnya mencampurkan minyak zaitun dalam setiap hidangan bagi mengurangkan risiko penyakit jantung.
  • Minyak zaitun bertindak melindungi organ jantung dengan menurunkan tekanan darah, mencegah penggumpalan darah, melindungi dinding pembuluh darah, menurunkan radang dan menjaga kadar kolesterol dalam tubuh badan manusia.
  • Mengatasi penyakit Alzheimer dan diabetes – Minyak zaitun mampu menghilangkan plak beta-amyloid yang dipercayai boleh memicu penyakit Alzheimer. Praktis dalam Diet Mediterranean juga dikatakan boleh mencegah diabetes tahap dua. Namun, kedua-duanya masih belum dibuktikan secara saintifik.
  • Mencegah strok – Berdasarkan penyelidikan, menikmati minyak zaitun dengan kerap dapat merendahkan risiko strok. Sekali lagi, ia masih memerlukan kajian lebih terperinci.
  • Menurunkan berat badan – Minyak zaitun merupakan salah satu daftar makanan sihat yang boleh dikonsumsi untuk menjaga kesihatan dan menurunkan berat badan.
  • Memiliki kadar antiradang yang tinggi – Kandungan (antiradang) dalam minyak zaitun dikatakan menyamai ubat antiradang ibuprofren. Sumber semula jadi minyak itu dipercayai boleh meringankan radang sendi (rheumatoid arthritis).
  • Mencegah pankreatitis akut (keradangan pankreas) – Keradangan pankreas atau pankreatitis akut mudah meragut nyawa manusia dengan mudah. Kandungan asam oleat dan hydroxytyrosol dalam minyak zaitun mampu menghindarkan sesiapa daripada penyakit itu.
  • Mengurangi risiko depresi (stres) – Dibandingkan dengan individu yang menggunakan lemak trans, mereka yang mengambil minyak zaitun akan mengalami masalah depresi yang lebih rendah iaitu sebanyak 48 peratus.
  • Bersifat antibakteria – Minyak zaitun boleh membunuh bakteria H.pylori. Mereka yang menikmati 30 gram minyak zaitun extra virgin setiap hari, dapat merawat 10 hingga 40 peratus jangkitan H.pylori selama kira-kira dua minggu.
  • Tinggi antioksidan – Minyak zaitun yang terkandung vitamin K dan E bantu cegah seseorang menghidap penyakit kronik kerana mempunyai antioksidan yang tinggi.
  • Mencegah penyakit radang usus besar (ulcerative colitis) – Kita boleh mencegah radang pada usus besar jika makan dua hingga tiga sudu minyak zaitun setiap hari.[3]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

 

Nota kaki:

[1] http://www.myhealth.gov.my/makanan-sunnah/

[2] https://www.doctoroncall.com.my/health-centre/nutrisi-berat-badan/fakta-nutrisi/khasiat-minyak-zaitun#

[3] Lihat https://www.columbiaasia.com/malaysia/health-articles/10-khasiat-luar-biasa-minyak-zaitun-termasuk-turunkan-berat-badan

Leave a Reply