Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami bekerja di offshore Bintulu, ada antara terus solat apabila masuk waktu solat berdasarkan waktu solat bintulu, sedangkan waktu solat berdasarkan longitude dan latitude dalam aplikasi adalah perlu tunggu lagi 2 minit. Adakah boleh solat berdasarkan waktu di bintulu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat merupakan rukun yang penting yang perlu dijaga. solat menjadi suatu kewajipan ke atas semua umat Islam tanpa mengira jantina, bangsa mahupun pangkat. Ini termasuk juga ke atas mereka yang tidak sihat ataupun mengalami kekurangan upaya dari segi fizikal. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

(Surah al-Baqarah: 43)

Dan firman Allah SWT lagi:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah al-Nisa’: 103)

Kedua-dua ayat di atas merupakan antara dalil-dalil pensyariatan solat ke atas setiap orang Islam di atas muka bumi ini. Menunaikan solat merupakan kewajipan dan juga fardhu ‘ain ke atas semua orang Islam yang mukallaf iaitu individu muslim yang baligh berakal dan suci bersih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/3)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya anda telah pastikan bahawa telah masuknya waktu solat, maka solatlah dengan yakin. Namun, sekiranya ragu-ragu sama ada sudah masuk waktu atau tidak, maka sebaiknya kita melewatkan beberapa minit seperti 2 atau tiga minit agar dapat dipastikan telah masuk waktu solat sebagai ihtiyat dan yakin. Hal ini kerana, apabila kita melayari waktu solat di internet, sudah pasti ada di antara laman yang berbeza beberapa  minit waktu solatnya. Maka, pastikanlah dahulu waktu solat agar tidak solat di luar waktu.

Kami juga cadangkan supaya dibandingkan beberapa aplikasi atau jam yang digunakan bagi menentukan waktu solat dengan mengambil yang terakhir atau yang lebih lewat sebagai keluar daripada khilaf dan kaedah menyebut:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Leave a Reply