Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum tidur dalam masjid, dan adakah dibolehkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
Maksudnya: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”
Surah al-Nur: 36
Ibn Kathir menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia, perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas, ‘Ikrimah, al-Dhahhak, dan ramai lagi dalam kalangan ulama tafsir. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/62)
Kami nyatakan terlebih dahulu definisi masjid.
Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”
Riwayat al-Bukhari (438)
Manakala dari sudut istilah atau ‘urf, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27)
Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan pendapat Imam al-Bukhari yang meletakkan satu Bab dengan tajuk:
بَابُ نَوْمِ الرِّجَالِ فِي المَسْجِدِ
Bab: Tidur Orang Lelaki Di Dalam Masjid
Daripada Nafi‘, katanya: Abdullah bin Umar mengkhabarkan kepadaku: Katanya:
أَنَّهُ كَانَ يَنَامُ – وَهُوَ شَابٌّ أَعْزَبُ لاَ أَهْلَ لَهُ – فِي مَسْجِدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Maksudnya: “Bahawasanya dia selalu tidur di dalam masjid Nabi SAW – ketika itu dia masih muda belia dan belum berumah tangga.”
Riwayat al-Bukhari (440)
Daripada Sahl bin Sa‘d, katanya:
جَاءَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْتَ فَاطِمَةَ فَلَمْ يَجِدْ عَلِيًّا فِي البَيْتِ، فَقَالَ: «أَيْنَ ابْنُ عَمِّكِ؟» قَالَتْ: كَانَ بَيْنِي وَبَيْنَهُ شَيْءٌ، فَغَاضَبَنِي، فَخَرَجَ، فَلَمْ يَقِلْ عِنْدِي فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِإِنْسَانٍ: «انْظُرْ أَيْنَ هُوَ؟» فَجَاءَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، هُوَ فِي المَسْجِدِ رَاقِدٌ، فَجَاءَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُضْطَجِعٌ، قَدْ سَقَطَ رِدَاؤُهُ عَنْ شِقِّهِ، وَأَصَابَهُ تُرَابٌ، فَجَعَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُهُ عَنْهُ، وَيَقُولُ: «قُمْ أَبَا تُرَابٍ، قُمْ أَبَا تُرَابٍ».
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah datang ke rumah Fatimah tetapi tidak mendapati Ali di rumah itu.” Maka Baginda SAW bertanya: “Di mana anak bapa saudaramu?” Fatimah berkata: “Berlaku sesuatu antara aku dan dia, membuatkan dia marah kepadaku. Dia pun keluar dan tidak tidur siang di rumah.” Rasulullah SAW berkata kepada seseorang: “Pergilah lihat di mana dia.” Setelah pergi, orang itu pun datang lalu berkata: “Wahai Rasulullah SAW, dia sedang tidur di dalam masjid.” Rasulullah SAW pun pergi ke sana. Ketika itu, Ali sedang berbaring dalam keadaan kain selendangnya telah jatuh dari sisi badannya dan debu-debu menempel di tubuhnya. Sambil menyapu debu dari tubuhnya, Rasulullah SAW berkata: “Bangunlah wahai Abu Turab, bangunlah wahai Abu Turab.”
Riwayat al-Bukhari (441)
Daripada Abu Hurairah, katanya:
لَقَدْ رَأَيْتُ سَبْعِينَ مِنْ أَصْحَابِ الصُّفَّةِ مَا مِنْهُمْ رَجُلٌ عَلَيْهِ رِدَاءٌ، إِمَّا إِزَارٌ وَإِمَّا كِسَاءٌ، قَدْ رَبَطُوا فِي أَعْنَاقِهِمْ، فَمِنْهَا مَا يَبْلُغُ نِصْفَ السَّاقَيْنِ، وَمِنْهَا مَا يَبْلُغُ الكَعْبَيْنِ، فَيَجْمَعُهُ بِيَدِهِ، كَرَاهِيَةَ أَنْ تُرَى عَوْرَتُهُ.
Maksudnya: “Aku telah melihat tujuh puluh orang ahli Suffah; tiada seorang pun daripada mereka itu mempunyai kain selendang. Yang ada cuma kain sarung atau selembar kain yang mereka ikat di leher. Ada antaranya sampai ke separuh (tengah) betis dan ada pula yang sampai ke buku lali. Kain yang dipakai itu (lantaran terlalu kecil/pendek) dipegang dengan tangan kerana takut auratnya terdedah.”
Riwayat al-Bukhari (442)
Walaupun begitu, nasihat kami seperti berikut:
- Mendapat kebenaran Jawatankuasa Masjid. Ini supaya tidak timbul isu atau sebarang permasalahan.
- Pilih di ruangan yang tidak mengganggu jemaah yang ingin solat di dalam masjid.
- Pastikan ketika tidur dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya.
- Jauhkan daripada perkara yang mengotorkan masjid seperti keluarnya air liur basi dan sebagainya. Justeru, sebagai salah satu caranya dengan menghamparkan cadar atau kain di tempat tidur.
- Hormati waktu solat dan hendaklah melazimi solat berjemaah ketika berada di dalam masjid.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)