Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan bagaimana ujian terhadap Nabi Ayyub AS dan bagaimana dia sembuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami kisahkan terlebih dahulu sedikit pengenalan Nabi Ayyub AS.

Para ulama’ telah khilaf berkenaan dengan nasabnya sehingga Abu al-Baqa’ berkata: Tidak sah pada nasabnya sesuatu pun. Walaupun begitu, Ibn Kathir mentarjihkan bahawa Nabi Ayyub dari keturunan al-Aish ibn Ishaq dan disebut bahawa ibunya adalah anak perempuan Nabi Allah Luth AS. Inilah yang dihikayatkannya daripada Ibn ‘Asakir.

Yang rajihnya, daripada pelbagai pendapat bahawa nasabnya apa yang disebutkan oleh Ibn Ishaq seperti berikut. Nabi Ayyub AS bin ‘Amush bin Zarih bin al-Aish bin Ishaq bin Ibrahim. Dikatakan nama isterinya Rahmah sebagai wanita solehah dari keturunan Nabi Allah Yusuf AS . (Lihat al-Nubuwwah wa al-Anbiya’, hlm. 278)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan doa Nabi Allah Ayyub AS terlebih dahulu:

أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”

Surah al-Anbiya’ (83)

Doa ini adalah berdasarkan doa Nabi Ayyub AS, di mana Baginda berdoa, lalu kemudian Allah SWT mustajabkan. Hal ini dirakamkan dalam firman-Nya:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ ‎﴿٨٣﴾‏ فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِن ضُرٍّ ۖ وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَىٰ لِلْعَابِدِينَ

Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).

(Surah al-Anbiya’: 83-84)

Al-Syaukani berkata: ‘وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ’ Yakni penyakit berat di badannya serta kematian keluarganya. ‘وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ’ Kemudian Allah mengkhabarkan pengabulan doanya. ‘فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِن ضُرٍّ’ Yakni Allah menyembuhkan apa yang menimpanya. ‘وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ’ Terdapat pendapat mengatakan bahawa Allah menjadikan keluarganya meninggalkannya, lalu Allah menggantinya dengan yang semisal mereka di dunia. Keluarganya telah mati semua kecuali isterinya, lalu Allah menghidupkan mereka lebih cepat daripada kerdipan mata. Pendapat lain mengatakan bahawa anaknya lahir dengan jumlah dua kali ganda daripada anaknya yang telah mati. Firman-Nya: ‘رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا’ yakni, Kami memberinya demikian kerana rahmat Kami baginya. ‘وَذِكْرَىٰ لِلْعَابِدِينَ’ Agar mereka bersabar sebagaimana kesabaran Nabi Ayyub AS. (Lihat Fath al-Qadir, 5/245)

Syeikh al-Sabuni berkata: Cara diberi sembuh oleh Allah kepada Nabi Ayyub AS selepas beliau berdoa kepada-Nya, maka Allah wahyukan untuk beliau menghentak kakinya ke bumi. Kemudian dia lakukan dan keluar daripadanya air yang sejuk. Kemudian diperintahkan kepadanya untuk minum dan mandi daripadanya. Lantas Allah menyembuhkannya bahkan menjadi lebih sempurna apa yang telah dimilikinya dengan kesihatan dan kekuatan. (Lihat al-Nubuwwah wa al-Anbiya’, hlm. 278)

Ibn Kathir berkata: Ini adalah cara pelepasan dan penyelesaian kemelut yang dikurniakan kepada siapa yang bertaqwa dan mentaati Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/221)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Leave a Reply