Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Masyarakat kita terlalu banyak menjaga tepi kain orang lain sehinggakan setiap perkara ingin bersangka buruk tentang orang lain. Boleh ustaz berikan sedikit nasihat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama sekali, seseorang muslim tidak sepatutnya banyak menumpukan kepada urusan kehidupan orang lain, sehinggakan mengikuti setiap masalahnya, mengorek kisah kehidupannya dan sebagainya. Bahkan yang sepatutnya dilakukan oleh kita adalah membantu orang tersebut agar dapat diperbaiki keadaannya, memperbetulkan kesalahannya, dan bersama-sama menelusuri adab serta akhlak yang terpuji dalam kehidupan. Jika kita menitikberatkan diri kita dengan hal sebegini, nescaya tidak akan berbaki waktu yang terluang untuk diisi dengan sangkaan buruk terhadap orang lain.

Mengikuti masalah kehidupan orang lain dan mencari-cari kesalahan mereka adalah dilarang oleh Rasulullah SAW, agar seseorang muslim itu lebih banyak menyibukkan dirinya dengan perkara yang baik, dan tidak terjerumus ke dalam larangan syara‘. Diriwayatkan daripada Abu Barzah al-Aslami R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلْ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ! لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ، وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنْ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ ، وَمَنْ يَتَّبِع اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun keimanannya belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian mengumpat seorang muslim dan jangan pula mencari-cari kesalahannya. Sebab siapa saja yang mencari-cari kesalahan mereka, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya. Maka siapa saja yang Allah telah mencari-cari kesalahannya, Allah tetap akan menampakkan kesalahannya meskipun ia ada di dalam rumahnya.”

Riwayat Abu Daud (4880) dan Ahmad (19776)

Pada dasarnya, faktor yang mendorong seseorang itu mencari-cari kesalahan orang lain, kerana wujudnya perasaan ujub pada diri sendiri dan  bersangka buruk terhadap orang lain. Mengapa kami katakan begini? Jabannya, sekiranya seseorang itu tidak merasakan dirinya lebih baik dari orang lain, dan berburuk sangka terhadap orang lain, nescaya dia tidak akan tersungkur ke dalam kancah umpatan atau menyibukkan diri dengan aib serta kesalahan orang lain. Oleh yang demikian, syara‘ melarang perbuatan ujub ini, seperti mana dalam firman-Nya:

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنفُسَهُم ۚ بَلِ ٱللَّهُ يُزَكِّى مَن يَشَآءُ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا

Maksudnya: “Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.”

(Surah al-Nisa’: 49)

ِAdapun sangkaan buruk ini pula, Imam al-Nawawi berkata bahawa ianya adalah haram seperti kata-kata (berkata buruk). Diharamkan untuk bercerita pada orang lain tentang keburukan seseorang, sebagaimana haram untuk menyebut-nyebut pada diri sendiri tentang keburukan orang lalu bersangka buruk terhadapnya.  Firman-Nya di dalam Surah al-Hujurat:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Imam Ibn Kathir mengatakan, Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya yang beriman daripada kebanyakan sangkaan, dan sangkaan di sini bermaksud tohmahan serta pengkhianatan terhadap kaum keluarga dan kerabat termasuklah orang lain, pada perkara yang tidak benar. Ini kerana sebahagian dari perkara ini merupakan dosa, maka jauhilah kebanyakan sangkaan sebagai langkah berhati-hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/352)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang hamba-Nya daripada banyak buruk sangka dengan orang beriman kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Perkara tersebut adalah seperti sangkaan yang bukan berdasarkan hakikatnya sebenar mahupun bukti, begitu juga seperti sangkaan buruk, yang dikaitkan dengan banyak perkataan dan perbuatan yang diharamkan (dilarang). Apabila sangkaan buruk itu kekal di dalam hati seseorang, ia tidak terhad kepada itu sahaja, malah dia akan meneruskannya sehingga dia mengatakan apa yang tidak sepatutnya dan melakukan apa yang tidak sepatutnya, yang dalam pada itu juga termasuklah berburuk sangka dengan orang Islam, membencinya dan memusuhinya yang mana ia sepatutnya tidak berlaku.  (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/801)

Imam al-Nawawi menambah lagi, hadith yang meriwayatkan makna yang sama mesesnya dengan ayat di atas ini amat banyak, antaranya riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ، فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الحَدِيثِ، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَحَاسَدُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Maksudnya: “Jauhilah berprasangka, sesungguhnya prasangka adalah bicara hati yang paling dusta, jangan mencari-cari kesalahan dan jangan mengintai, dan jangan saling mendengki dan jangan saling membenci, dan jangan saling membelakangi (bermusuhan). Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Riwayat al-Bukhari (6064) dan Muslim (2563)

Sangkaan yang berdosa ini adalah i‘tiqad dalam hati lalu menghukum seseorang itu dengan hukum yang buruk. Adapun sekadar lintasan hati yang tidak kuat, dan orang tersebut tidak berterusan membuat sangkaan itu, maka perkara ini dimaafkan menurut persepakatan para ulama’. Hal ini kerana orang tersebut tidak mampu membuat pilihan untuk tidak timbulnya lintasan hati tersebut, dan tidak ada jalan baginya untuk menghentikannya. Inilah yang dimaksudkan dalam hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا لَمْ تَتَكَلَّمْ بِهِ أَوْ تَعْمَلْ بِهِ وَبِمَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampuni untuk umatku atas sesuatu yang terlintas dalam hatinya, selama mereka tidak menzahirkannya dalam amalan atau disebutkan tentangnya.”

Riwayat Ibn Hibban (4334)

Para ulama’ menyebutkan, yang dimaksudkan dengan lintasan hati di sini adalah apa yang tidak berlaku secara berterusan. Dan sebab keuzuran ini kerana sukar untuk dielakkan lintasan hati ini, tetapi boleh untuk mengelakkan dari terus menerus bersangka buruk. Oleh itu, berterusan dan juga i‘tiqad hati terhadap sangkaan buruk adalah haram, dan wajib untuk menolaknya atau membuat apa jua andaian yang boleh menjauhkan kita dari bersangka buruk. (Lihat al-Azkar, hlm. 344)

Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan juga  agar kita memperbanyakkan beribadah, membaca al-Quran dan berterusan mengamalkan zikir harian. Hal ini dapat mengalihkan perhatian kita dari tertumpu kepada masalah kehidupan orang lain yang tidak sepatutnya kita campur tangan.

Semoga kita diberikan ketaqwaan oleh Allah SWT dan lebih konsisten dengan amal-amal kebaikan dan kehidupan kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply