Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika seseorang ulama mengemukakan dua pendapat dari para sahabat dalam satu-satu permasalahan dan beliau tidak mentarjihkannya, maka bagaimana hukumnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada  Abu Najih al-Irbadh bin Sariyah RA, katanya: Rasulullah SAW  memberi nasihat  kepada  kami yang  membuatkan  hati  kami  bergetar  dan  air  mata  kami bercucuran. Maka kami berkata: “Ya Rasulullah, seolah-olah ini merupakan nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat.” Rasulullah SAW bersabda:

فَعَلَيكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّـةِ الْـخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْـمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ،

Maksudnya: “Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat  petunjuk,  gigitlah  (peganglah  dengan  kuat)  dengan  geraham.

Riwayat Imam Ahmad (17144), Ibn Majah (42), Abu Daud (4607) dan al-Tirmizi (266).

Perintah berpegang dengan sunnah dan khulafa’ al-Rasyidin yang dibahasakan dengan gigi taring atau gerham untk menunjukkan kesungguhan berpegang dengan petunjuk di atas. Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Khulafa’ al-Rasyidin di sini ialah Khalifah yang empat dengan ijma’ ulama iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali R.Anhum.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 299)

Dan sabda Nabi SAW:

أَصْحَابِي كَالنُّجُومِ بِأَيِّهِم اِقْتَدَيْتُمْ اِهْتَدَيْتُمْ

Maksudnya: “Para sahabatku ibarat bintang-bintang. Dengan sesiapa sahaja kalian ikuti nescaya kalian akan mendapat petunjuk.”

Riwayat al-Baihaqi dan al-Dailami. Hadis ini dihukum sebagai Dhaif Jiddan. Ada sebahagian muhaddis menghukumkan hadis ini sebagai maudhu’. Lihat juga dalam al-Ibanah al-Kubra oleh Ibn Batthah (no. 702) dan Jami’ Bayan al-‘Ilm oleh Ibn ‘Abd al-Barr (no. 1760).

Kami takrifkan dahulu maksud qaul al-sahabi dan pendapat ulama terhadapnya.

Definisi al-Sahabi di sisi para ulama usul adalah: Sesiapa yang menyaksikan Nabi S.A.W dan beriman dengannya, dan melazimi baginda dalam tempoh yang memadai untuk digelar sebagai sahabat secara urufnya seperti para khulafa al-rasyidin. Yang dimaksudkan dengan qaul sahabi adalah ucapan ataupun pendapat daripada seorang sahabat dalam permasalan fekah, qadha, ataupun fatwa.

Menjawab persoalan di atas, terdapat dua pendapat:

Pendapat Pertama: Mazhab beliau ialah pendapat yang paling hampir dengan al-Kitab dan juga al-Sunnah. Kerana beliau berkata: Apabila para sahabat berselisih kepada dua pendapat, kita lihat yang mana di antara keduanya paling menyerupai  (menghampiri) al-Kitab dan al-Sunnah lalu kita mengambilnya.

Kita tidak menjadikan apa yang beliau ceritakan dari selain mereka sebagai mazhab beliau. Ini kerana boleh bagi beliau untuk mengeluarkan pendapat yang ketiga, yang tidak bercanggahan dengan ijma’ mereka.

Hal ini berbeza dengan para Sahabat. Adalah menjadi suatu ketetapan untuk mengambil pendapat salah seorang dari mereka. Ini kerana qaul sahabi adalah merupakan hujah di sisi beliau, menurut riwayat yang paling sahih.

Pendapat Kedua: Kedua-duanya (pendapat sahabat) adalah bukan mazhab bagi beliau. Kerana beliau lebih tahu yang manakah lebih tepat dari keduanya. Maka ketika beliau tidak menyatakan serta mentarjih salah satunya serta tidak cenderung kepada salah satu pandangan berserta dengan pengetahuan beliau tentangnya, ini menunjukkan kedua-duanya adalah sama di sisi beliau dan kedua-duanya tidak dikira sebagai mazhab beliau.

Pendapat pertama adalah lebih utama. (Lihat Tahzib al-Ajwibah, 1/439; al-Ri’ayah, 1/26; al-Hawi, 56; dan al-Ma’unah, 11/585; Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, hlm. 288)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Leave a Reply