Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan hadith yang terakhir yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mengikut catatan kami, nombor hadith terakhir adalah 7563 yang ditulis oleh Imam al-Bukhari dalam al-Jami’ al-Sahih. Kami nukilkan di sini hadith tersebut:

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ إِشْكَابَ، قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْلٍ، عَنْ عُمَارَةَ بْنِ القَعْقَاعِ، عَنْ أَبِي زُرْعَةَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  «كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ، خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ، ثَقِيلَتَانِ فِي المِيزَانِ: سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللهِ العَظِيمِ».

Maksudnya: Ahmad bin Ishkab menyampaikan kepada kami, katanya: Muhammad bin Fudhail menyampaikan kepada kami daripada ‘Umarah bin al-Qa‘qa‘ daripada Abu Zur‘ah daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Nabi SAW bersabda: “Ada dua kalimat yang disukai al-Rahman, yang (sebutannya) ringan di lidah dan berat (ganjarannya) di atas timbangan, iaitu:

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ العَظِيمِ

Maksudnya: “Maha Suci Allah dan segala puji untuk-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.”

Riwayat al-Bukhari (7563)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Perkataan ‘حَبِيبَتَانِ’ bermaksud yang dicintai. Maknanya, orang yang mengucapkannya dicintai.

Perkataan ‘الرَّحْمَنِ’ disebutkan secara khusus kerana yang dimaksudkan daripada hadith ini adalah menerangkan tentang luasnya rahmat Allah bagi para hamba-Nya, yang mana Allah mengganjarkan amalan yang sedikit dengan pahala yang banyak.”

Sabda Baginda, ‘خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ، ثَقِيلَتَانِ فِي المِيزَانِ’ (Ringan di lisan, namun berat dalam timbangan.) Baginda mensifatkan keduanya dengan ringan dan berat untuk menerangkan sedikitnya amalan dan banyaknya pahala.

Al-Tibi berkata: Lafaz ringan ini merupakan lafaz untuk mengungkapkan kemudahan. Baginda menyerupakan kemudahan pengucapannya pada lisan dengan ringannya membawa barang yang ringan sehingga tidak melelahkannya seperti barang yang berat. Selain itu, mengisyaratkan bahawa semua pembebanan adalah sulit dan berat dirasakan oleh jiwa, sedangkan ini mudah. Namun demikian, menjadi berat dalam timbangan amalan kelak seperti beban syariat yang berat.

Seorang ulama salaf ketika ditanya tentang sebab beratnya kebaikan dan ringannya keburukan, dia pun menjawab: “Kerana kebaikan itu, pahitnya datang manakala manisnya hilang sehingga terasa berat. Namun, beratnya itu jangan sampai mendorongmu untuk meninggalkannya. Sedangkan keburukan itu, manisnya datang manakala pahitnya hilang. Maka, jangan sampai ringannya itu mendorongmu untuk melakukannya.

Ibn Battal berkata: Keutamaan yang terdapat dalam keutamaan zikir ini sebenarnya hanya untuk orang-orang yang mulia dalam agama dan sempurna, seperti kesuciannya daripada yang haram dan kemaksiatan besar. Oleh sebab itu, anda tidak mengira bahawa orang yang terus menerus berzikir tetapi terus menerus menuruti hawa nafsunya dan merosakkan agama Allah serta melanggar larangan-larangan-Nya, akan dipertemukan dengan orang-orang yang suci yang disucikan serta mencapai kedudukan mereka kerana perkataan yang diucapkan oleh lisannya tanpa disertai ketakwaan dan amalan soleh.

Guru kami, Syeikh al-Islam Siraj al-Din al-Bulqini menyebutkan dalam perkataannya mengenai kesesuaian bab-bab kitab Sahih al-Bukhari yang telah saya nukil darinya di bahagian akhir muqaddimah: “Kerana asal keterpeliharaan yang pertama dan yang terakhir adalah mengesakan Allah, maka dia (Imam al-Bukhari) menutup dengan pembahasan tentang tauhid. Sementara perkara yang membezakan orang yang beruntung dari orang yang rugi adalah berat dan ringannya timbangan amalan perbuatan, sehingga dia pun menjadikannya sebagai bahagian terakhir dari susunan kitabnya.

Oleh kerana itu, dia memulakan dengan hadith, ‘الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ’ (Amalan perbuatan itu bergantung kepada niatnya.) Ini berlaku di dunia, lalu dia menutup dengan pernyataan bahawa amal perbuatan itu akan ditimbang di akhirat kelak. Ini mengisyaratkan bahawa yang berat adalah yang disertai dengan niat tulus ikhlas kerana Allah SWT.  Dalam hadith yang disebutkan juga, mengandungi dorongan dan anjuran untuk melaksanakan zikir tersebut demi meraih kecintaan Yang Maha Pengasih. (Lihat Fath al-Bari, 36/1001)

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply