Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita disuruh bersangka baik dengan Allah SWT dalam kehidupan kita terutamanya ketika hampir meninggal dunia?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Bersangka baik kepada Allah SWT merupakan satu perintah yang wajib dipatuhi. Ini seperti hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA, sabda Nabi SAW:

لاَ يَمُوْتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ الظَّنَ بِاللهِ.

Maksudnya: “Janganlah seseorang di antara kamu (menginginkan) kematian, kecuali dalam keadaan bersangka baik terhadap Allah.”

Riwayat Muslim (2877) dan Abu Daud (3113)

Antara maksud dalam hadith ini adalah wajib bagi setiap orang yang beriman untuk bersangka baik dengan Allah. Dan ini hendaklah ditambah lagi sangkaan baik ketika mana berlakunya musibah dan hampir mati.

Imam al-Nawawi menyatakan dalam syarahnya: Para ulama’ mengatakan hadith ini menunjukkan amaran supaya seseorang tidak berputus asa kepada Allah dan hadith ini juga menunjukkan suruhan supaya mengharapkan kepada Allah dengan penuh pengharapan ketika pengakhiran hidup seseorang. Bersangka baik dengan Allah adalah dengan bersangka bahawa Allah merahmatinya dan memaafkan kesalahannya. Dalam maksud yang sebenar, seseorang itu takut kepada Allah dan meletakkan pengharapan bersama-samanya. Apabila tanda-tanda kematian menghampiri, pengharapan itu akan datang. Yang dimaksudkan juga dengan ketakutan ini adalah menahan diri daripada melakukan maksiat dan keburukan dan berusaha untuk meningkatkan ketaatan dan amalan soleh. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/209-210)

Imam al-Nawawi berkata lagi: “Para ulama’ berpendapat makna bersangka baik kepada Allah SWT adalah percaya Allah SWT Maha Penyayang dan Maha Pengampun.”(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/210)

Kata al-Hattab: Sunat bagi orang yang dalam sakaratul maut bersangka baik dengan Allah. Dan sangkaan ini hendaklah bertambah ketika hampir mati dan ketika sakit. Ini tanpa dinafikan sangkaan baik bagi orang yang mukallaf hendaklah sentiasa kepada Allah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 10/220)

Terdapat satu kisah mengenai seorang pemuda pada zaman Rasulullah SAW yang berharap kepada Allah dan takut kepada dosanya ketika dia sedang nazak yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW telah melawat seorang pemuda yang tengah nazak, dan baginda bertanya:

كَيْفَ تَجِدُكَ؟

Maksudnya:Bagaimana keadaan yang kamu rasakan?”

Maka pemuda itu menjawab:

أَرْجُو اللَّهَ، وَإِنِّي أَخَافُ ذُنُوبِي

Maksudnya: “Aku mengharapkan (rahmat) Allah ‎ dan aku takut akan dosa-dosaku.”

Maka Sabda Rasulullah SAW:

لَا يَجْتَمِعَانِ فِي قَلْبِ عَبْدٍ فِي مِثْلِ هَذَا المَوْطِنِ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ مَا يَرْجُو وَآمَنَهُ مِمَّا يَخَافُ

Maksudnya:Tidaklah berkumpul dalam hati orang mukmin (dua perasaan: Harap akan Allah ‎ dan takut akan dosa), melainkan Allah ‎ akan memberi apa yang dia harap dan memberi rasa aman daripada apa yang dia takuti.”

Riwayat al-Tirmidzi (983), Ibn Majah (4261) dan al-Nasaie dalam Sunan al-Kubra (10901). Hadith ini dinilai sebagai hasan sebagaimana dalam kitab Takhrij Misykah al-Masabih (1555)

Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan di dalam syarahnya: Maksud tengah nazak, iaitu dia tengah dalam sakaratul maut. Dan maksud pertanyaan Rasulullah SAW ” كَيْفَ تَجِدُكَ” sebagaimana pandangan Ibn al-Malik ialah bagaimana keadaan hati atau diri kamu ketikan hendak berpindah daripada dunia ke akhirat? samaada mengharapkan rahmat Allah atau takut pada kemurkaan-Nya. Dan maksud daripada ucapan Rasulullah SAW, tidak akan berkumpul pengharapan dan ketakutan seperti pemuda ini ketika sedang menghadapi sakaratul maut kecuali Allah memberikannya apa yang diharapkan daripada rahmat-Nya dan menenangkannya daripada hukuman Allah yang dia takutkan dengan keampunan dan maghfirah-Nya. (Lihat Tuhfah al-Ahwadzi, 4/58)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Leave a Reply