Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan apakah dia hikmah di sebalik ujian dan musibah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

‏ وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah: 155)

Ibn Abbas ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Allah SWT mengkhabarkan kepada kaum yang beriman bahawa sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian. Sesungguhnya Dia jugalah yang menguji kalian di atas dunia ini serta Dia memerintahkan mereka (golongan beriman) untuk bersabar. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 3/220)

Ibn Kathir berkata Allah SWT memberitahu hamba-Nya bahawa Dia akan menimpakan ujian kepada hamba-Nya untuk membezakan yang benar (imannya) daripada yang palsu dan membezakan hambanya yang gelisah dan yang sabar. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/344)

Al-Syaukani berkata: Makna ‘وَلَنَبْلُوَنَّكُم’ adalah kami mencuba kamu untuk menguji kamu, apakah kamu bersabar terhadap qadha’ atau tidak? Penyebutan lafaz ‘شَيْء’ secara nakirah menunjukkan sedikit. Yakni, dengan sedikit daripada perkara-perkara ini. (Lihat Fath al-Qadir, 1/609)

Pada ayat ini, Allah SWT memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hambaNya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua ini (mereka yang diuji Allah S.W.T dalam kalangan hambaNya) mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. (Lihat Tafsir al-Maraghi; 1/467)

Pada asasnya, umat manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT. Justeru, jika kehadiran musibah yang tidak diinginkan itu boleh mengganggu ibadah manusia di dunia, maka untuk apa musibah itu ditimpakan ke atas mereka? Mengenai hal ini, Ibn Qayyim al-Jauziyyah ada menukilkan daripada sebahagian ulama salaf yang menyebutkan:

لَوْلَا مَصَائِبُ الدُّنْيَا لَوَرَدْنَا الْقِيَامَة مَفَاليس

Maksudnya:Kalaulah bukan kerana musibah-musibah di dunia, pasti kita akan datang pada Hari Kiamat dalam keadaan muflis.” (Lihat Zad al-Ma‘ad, 4/176)

KIta hendaklah mengetahui bahawa bukanlah suatu bentuk kezaliman daripada Tuhan. Sebaliknya ia merupakan satu ujian yang ditimpakan ke atas diri kita — yakni umat manusia — sebagaimana ujian daripada seorang guru kepada murid-muridnya, yang mana sebelumnya sudah ada pelajaran yang telah diberikan oleh guru tersebut. Begitulah juga dengan musibah, di mana Allah SWT sudah membekalkan manusia dengan akal, hati nurani, kitab suci dan nasihat-nasihat para nabi-Nya. Jika bekalan itu sudah pun diberikan, maka musibah itu datang bagi menguji mereka, siapakah di antara mereka yang lebih baik amalnya. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya:Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.

(Surah al-Mulk: 2)

Selain daripada itu, musibah juga boleh mendidik jiwa dan menyucikan dosa. Allah SWT mengampunkan dosa-dosa dan kesalahan hamba-Nya sebagai balasan daripada musibah yang ditanggungnya. Firman Allah SWT:

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

Maksudnya:Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”

(Surah al-Syura: 30)

Tambahan lagi, musibah juga boleh menjadi penguat kepada diri seseorang. Hal ini kerana ketika saat genting dan tidak menentu, sudah tentu kita — sebagai seorang manusia yang lemah — akan mencari kekuatan yang hebat dan agung sebagai tempat bergantung serta menyerahkan segala urusan. Maka, hal ini akan membuatkan kita kembali kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan lagi ibadah seperti berdoa kepada-Nya, mendirikan solat dan lain-lain, di samping hati yang penuh dengan keikhlasan dan pengharapan yang bersungguh-sungguh. Dengan kembalinya seseorang itu kepada Allah SWT dalam keadaan dia ditimpa musibah dan redha kepada ketentuan-Nya, maka saat itu dia akan merasakan manisnya iman — yang belum pernah dirasakan sebelumnya — yang lebih nikmat daripada lenyapnya musibah yang dideritai.

Pada masa yang sama, kita perlu menginsafi dan melihat dari sudut positif bahawa penderitaan atau sakit yang diberikan oleh Allah SWT itu adalah satu bentuk peluang untuk mendapatkan kurniaan rahmat daripada Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ شَيْءٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ حَتَّى الشَّوْكَةِ تُصِيبُهُ، إِلَّا كَتَبَ اللهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً أَوْ حُطَّتْ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةٌ

Maksudnya:Tidaklah sesuatu yang memudaratkan seorang Mukmin walaupun duri yang dideritainya, melainkan dituliskan baginya satu kebaikan atau dihapuskan daripadanya satu kesalahan.”

               Riwayat Muslim (2572)

Hal ini kerana orang yang beriman itu sentiasa berfikiran positif dan beriman kepada qada’ dan qadar Allah SWT. Mereka jika diberikan nikmat kesenangan bersyukur kepada Allah dan apabila memperolehi kesusahan, mereka bersabar. Inilah seperti yang dirakamkan dalam sebuah hadith Rasulullah SAW:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya:Ajaibnya urusan seorang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka. Dan hal itu tiada bagi seorang pun melainkan bagi orang Mukmin sahaja. Jika dia mendapat suatu perkara yang menyenangkan, dia bersyukur, maka itu ialah kebaikan baginya. Dan jika dia mendapat suatu perkara yang menyusahkan, dia bersabar, maka itu juga ialah kebaikan bagi dirinya.”

Riwayat Muslim (2999)

Oleh itu, kesakitan dan bala ujian dalam bentuk kesihatan atau lain-lain, tidak boleh ditanggapi sebagai keburukan semata-mata sehingga manusia itu jauh daripada rahmat dan kebergantungan kepada Allah.

Semoga Allah SWT menjadikan kita tergolong dalam kalangan para hamba-Nya yang kuat ketika menghadapi musibah yang ditanggung dan sentiasa redha kepada ketentuan-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply