Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, ketika saya sedang melakukan tawaf wada sebelum pulang daripada umrah kami, sambil berjalan ada seseorang telah datang kepada saya dan meminta wang. Mungkin dia meminta sedekah, saya tidak pasti kerana tidak faham bahasanya. Lalu saya pun memberikan sedikit wang dan meneruskan tawaf wada tersebut sehingga selesai. Adakah ianya salah dan membatalkan tawaf wada saya? Perlukah saya membayar dam? Saya khuatir kerana ada ustaz yang mengatakan batal tawaf wada jika bersedekah.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Tawaf Wada’

Tawaf wada‘ adalah tawaf penghormatan terakhir pada Masjidil Haram. Walau bagaimanapun, tawaf wada‘ termasuk dalam syarat wajib haji dan bukanlah terdiri daripada perkara rukun haji. Oleh yang demikian, sekiranya ia tidak dilakukan, maka ia tidak merosakkan haji seseorang jemaah itu, akan tetapi ia hendaklah ditampung dengan melakukan sembelihan dam sepertimana perkara wajib haji yang lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa AdilIatuhu, 3/157)

Syarat-syarat Sah Tawaf

  1. Menutup aurat
  2. Suci daripada hadas dan najis pada pakaian dan tempat
  3. Kedudukan kaabah mestilah di sebelah kiri
  4. Bermula tawaf dari hajar aswad
  5. Mestilah dilakukan tujuh pusingan
  6. Melakukan tawaf di dalam masjid
  7. Mestilah di luar kawasan kaabah, Syazarwan dan Hijr Ismail (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ibadat, 1/480)

Perkara-perkara Yang Diharuskan Selepas Tawaf Wada‘, iaitu:

Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada‘

  • Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram.
  • Berdoa di Multazam.
  • Mengucup Al-Hajar al-Aswad.
  • Menunaikan solat sunat safar.
  • Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan.
  • Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram.
  • Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.

 Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel)

  • Makan dan minum di hotel.
  • Qadha hajat.
  • Menyalin dan menukar pakaian.
  • Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu.
  • Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan.
  • Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang.
  • Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
  • Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang.
  • Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat).
  • Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
  • Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya).
  • Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan.
  • Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada‘.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bersedekah ketika tawaf tidaklah membatalkan tawaf, namun sebaiknya elakkan dan fokus terhadap suatu ibadat yang sedang dijalankan agar tawaf kita sah dan bebas daripada perasaan was-was yang akan mengganggu kehidupan kita selepas itu.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply