Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapakah bilangan sebenar Ashab al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Di dalam al-Quran, Allah SWT ada menyatakan berkaitan bilangan Ashab al-Kahfi. Firman Allah SWT:

سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya: “Sebahagian mereka berkata: ‘Bilangan mereka tiga orang dan yang keempat itu anjing mereka.’ Sebahagian lain pula berkata: ‘Bilangan mereka lima orang dan yang keenam itu anjing mereka.’ Semuanya hanya tekaan semata-mata. Sebahagian lain pula berkata: ‘Bilangan mereka tujuh orang dan yang kelapan itu anjing mereka.’ Katakan kepada mereka wahai Muhammad: ‘Tuhanku lebih mengetahui bilangan mereka. Tiada yang mengetahuinya melainkan segelintir orang sahaja.’ Maka janganlah kamu berdebat tentang Ashab al-Kahfi itu kecuali perdebatan zahir sahaja berdasarkan apa yang dijelaskan oleh al-Quran dan janganlah pula kamu meminta penjelasan ahli kitab tentang kisah mereka itu.”

(Surah al-Kahfi: 22)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT mengkhabarkan perbezaan pendapat manusia mengenai bilangan Ashab al-Kahfi iaitu sebanyak tiga pendapat. Ini menunjukkan bahawa tidak ada pendapat yang keempat. Seterusnya, dinyatakan bahawa dua pendapat yang terawal merupakan pendapat yang lemah berdasarkan kepada lafaz “رَجْماً بِالْغَيْبِ” yang bererti kata-kata tanpa ilmu seperti mana seseorang yang melontar ke suatu tempat yang tidak diketahuinya, sehinggakan hampir-hampir tidak mengenainya. Jika ia mengenainya sekalipun, hal itu berlaku tanpa niat atau kehendak daripada dirinya.

Kemudian, dinyatakan pula pendapat yang ketiga tanpa sebarang kritikan terhadapnya atau mengesahkan dan memperkuatkan lagi pendapat tersebut dengan lafaz, “وَثامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ” (dan yang kelapan adalah anjing mereka). Ini menunjukkan kesahihan pendapat itu dan itulah bilangan mereka pada waktu peristiwa tersebut. Manakala ayat, “قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم” adalah petunjuk bahawa yang terbaik dalam situasi seperti ini adalah mengembalikan pengetahuan berkenaan hal itu kepada Allah SWT. Tidak perlu menyelidiki perkara sedemikian tanpa ilmu. Akan tetapi apabila kita mengkaji mengenainya lalu mengetahuinya, maka kita boleh menyatakan pendapat kita, dan sekiranya tidak, kita mengambil sikap berdiam diri.

Selanjutnya ayat “مَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ”, maksudnya adalah tiada yang mengetahuinya melainkan segelintir sahaja daripada kalangan manusia. Selain itu, Qatadah menyatakan bahawa Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

أَنَا مِنَ الْقَلِيلِ الَّذِي اسْتَثْنَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ، كَانُوا سَبْعَة

Maksudnya:Aku termasuk dalam kalangan mereka yang sedikit itu yang dikecualikan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Mereka (Ashab al-Kahfi) adalah seramai tujuh orang.

Menurut Ibn Kathir lagi, demikianlah juga Ibn Jarir turut meriwayatkan daripada ‘Ata’ al-Khurasani daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawasanya beliau berkata, “Aku termasuk dalam kalangan mereka yang sedikit itu yang dikecualikan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” Beliau (Ibn Abbas) juga menyebutkan, bilangan Ashab al-Kahfi itu adalah seramai tujuh orang. Ibn Jarir menyebutkan, Ibn Yasar menyampaikan kepada kami, ‘Abd al-Rahman menyampaikan kepada kami, Isra’il menyampaikan kepada kami daripada Simak, daripada ‘Ikrimah, daripada Ibn Abbas R.Anhuma (mengenai) ayat “مَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ”, beliau berkata:

أَنَا مِنَ الْقَلِيلِ كَانُوا سَبْعَةً

Maksudnya: “Aku termasuk dalam kalangan orang yang sedikit itu. Mereka (Ashab al-Kahfi) adalah seramai tujuh orang.

Kesemua sanad-sanadnya adalah sahih sampai kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawasanya mereka (Ashab al-Kahfi) adalah seramai tujuh orang. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/134).

Guru kami, almarhum Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa telah berlaku perselisihan dalam menentukan bilangan pada zaman Rasulullah SAW. Sebahagian mereka berpendapat mereka seramai tiga orang dan yang keempat adalah anjing mereka. Sebahagian mereka yang lain mengatakan bilangan mereka adalah seramai lima orang dan yang keenam adalah anjing mereka. Kedua-dua pendapat ini adalah daripada Nasrani Najran. Tambahan pula, kedua-dua pendapat ini dibina atas sangkaan semata-mata. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/213)

Syams al-Din al-Qurtubi dan Abu Muhammad al-Baghawi membawakan secara terperinci setiap pandangan ini ketika menafsirkan ayat 22 di atas. Beliau mengatakan, kata ganti nama diri “mereka” dimaksudkan dalam firman Allah SWT: “(Sebahagian dari) mereka akan berkata” adalah mereka yang diturunkan kepadanya kitab Taurat, kerana mereka berselisih tentang bilangan Ashab al-Kahfi.  Dikatakan juga, mereka ini adalah orang-orang Nasrani. Ketika mana sebahagian mereka dari Najran datang bertemu Rasulullah SAW untuk membincangkan tentang Ashab al-Kahfi, lalu golongan Ya‘qubiyyah berkata: “Bilangan mereka 3 orang, dan yang keempat adalah anjing mereka.” Dan golongan Nusturiyyah pula berkata: “Bilangan mereka seramai 4 orang, dan yang kelima adalah anjing mereka.”

Orang Islam pula mengatakan: “Bilangan mereka seramai 7 orang, dan yang kelapan adalah anjing mereka.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 10/382; Ma‘alim al-Tanzil, 5/161)

Setelah kami melihat di dalam beberapa buah kitab-kitab tafsir berkaitan tafsiran ayat 22 di dalam surah al-Kahfi ini, kami dapat simpulkan bahawa terdapat tiga pendapat di dalam masalah ini:

  • Pendapat Pertama: Tiga orang dan yang keempat adalah anjing mereka, dan ini merupakan pendapat ahli kitab dari golongan Ya‘qubiyyah. Ia adalah aliran Nasrani yang mengikut Saint Jacob Baradaeus.
  • Pendapat Kedua: Lima orang dan yang keenam adalah anjing mereka, dan ini adalah pendapat ahli kitab dari golongan Nasturiyyah. Ia adalah aliran Nasrani yang mengikut ajaran Nestorius, pemimpin utama Nasrani di Konstantinople pada masalah Kristologi dan Maryam.
  • Pendapat Ketiga: Tujuh orang dan yang kelapan adalah anjing mereka, dan inilah pendapat yang dipersetujui.

Pendapat pertama dan kedua ini adalah pendapat yang terbina bukan atas dasar ilmu. Disebabkan itu, Allah SWT meletakkan selepas dua pendapat ini (رَجْمًا بِالْغَيْبِ) yang bermaksud kata-kata tanpa ilmu. Kemudian disebutkan pula pendapat yang ketiga tanpa mengkritik bahawa ia adalah pendapat yang lemah.

Selain itu juga, jika dilihat terdapat huruf “و” selepas perkataan (سَبْعَةٌ) dan ia tidak terdapat pada sebelumnya. Para ahli tafsir membawakan beberapa tafsiran berkenaan huruf “و” ini, antaranya:

Huruf “و” tersebut membawa maksud (إِقْرَارٌ) atau mengesahkan perkataan sebelumnya, iaitu bilangan Ashab al-Kahfi seramai 7 orang. Allah SWT menukilkan terlebih dahulu perselisihan pendapat tentang bilangan Ashab al-Kahfi, kemudian mengesahkan pendapat terakhir (iaitu seramai 7 orang) dengan firman-Nya: (وَثَامِنُهُمْ), kerana nombor lapan tidak akan datang melainkan selepas nombor 7.

Ada juga yang mengatakan bahawa huruf “و” ini adalah wau al-thamaniyah (وَاوُ الثَّمَانِيَةِ). Ini kerana orang Arab Quraisy terdahulu apabila membuat kiraan nombor, mereka akan mengira dari nombor 1 hingga 7, sepertimana kita mengira dari nombor 1 hingga 10. Hujjah yang menguatkan pandangan ini, disebutkan dalam firman Allah SWT:

عَسَىٰ رَبُّهُۥٓ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبْدِلَهُۥٓ أَزْوَٰجًا خَيْرًۭا مِّنكُنَّ مُسْلِمَـٰتٍۢ مُّؤْمِنَـٰتٍۢ قَـٰنِتَـٰتٍۢ تَـٰٓئِبَـٰتٍ عَـٰبِدَٰتٍۢ سَـٰٓئِحَـٰتٍۢ ثَيِّبَـٰتٍۢ وَأَبْكَارًۭا

Maksudnya: “Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadah, yang berpuasa, (meliputi) yang janda dan yang anak dara.”

(Surah al-Tahrim: 5)

Akan tetapi, tafsiran  wau al-thamaniyah (وَاوُ الثَّمَانِيَةِ) ini dikritik oleh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur sebagai salah satu tafsiran yang ganjil dan fitnah rekaan dalam memahami makna al-Quran. Pendapat ini disandarkan kepada kitab-kitab Arab yang dikarang oleh ahli Nahu yang lemah, dan Ibn Hisyam mengatakan bahawa mereka yang dimaksudkan adalah al-Hariri, Ibn Khalawaih, dan al-Tha‘labi daripada kalangan ahli tafsir.

Maka jelas di sini bahawa huruf “و” ini sebagai pengesahan terhadap pendapat ketiga, dan pendapat ini disokong dengan riwayat dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa bilangan Ashab al-Kahfi ini seramai 7 orang. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/134; Ma‘alim al-Tanzil, 5/161; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 10/382; al-Tahrir wa al-Tanwir, 15/292)

Setelah melihat kepada tafsiran-tafsiran ahli tafsir, penghujahan dan perbahasan di atas, kami berpendapat, tidak syak lagi bahawa pendapat ketiga iaitu bilangan Ashab al-Kahfi adalah seramai tujuh orang dan yang kelapan adalah anjing mereka lebih tepat dan kuat. Ini kerana, pada ayat tersebut Allah SWT tidak mengkritik mahupun menyifatkan pendapat yang ketiga itu dengan kata-kata tanpa ilmu, berbeza halnya dengan dua pendapat sebelumnya. Selain itu, pada pendapat ketiga ini juga terdapatnya isyarat yang menunjukkan ia adalah pendapat yang sahih lagi kuat sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Leave a Reply