Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapakah tempoh sebenar masa Ashab al-Kahfi menetap di dalam gua dan tidur?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Allah SWT telah menyebutkan dengan jelas berkenaan tempoh masa Ashab al-Kahfi menetap di dalam gua. Ini sebagaimana dalam firman-Nya:
وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا
Maksudnya: “Mereka tinggal di dalam gua mereka itu selama tiga ratus tahun, ditambah lagi sembilan tahun.”
(Surah al-Kahfi: 25)
Ibn Jarir al-Tabari membawakan beberapa riwayat tafsiran berkenaan ayat ini, kemudian beliau mengatakan, pendapat yang paling dekat dengan kebenaran adalah seperti yang disebutkan oleh Allah SWT, iaitu tempoh Ashab al-Kahfi ditidurkan di dalam gua sehingga dibangkitkan, dan mereka saling bertanya antara satu sama lain, lalu ditemui oleh orang lain, tempoh itu selama 300 tahun dan ditambah 9 tahun. Inilah yang dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 17/648)
Ibn Kathir juga menyebutkan perkara yang serupa, bahawa ini merupakan perkhabaran dari Allah SWT tentang tempoh Ashab al-Kahfi tinggal di dalam gua tersebut, bermula dari mereka ditidurkan sehingga dibangkitkan semula oleh Allah SWT dan ditemui ahli zaman tersebut. Tempoh tersebut selama 309 tahun mengikut kalendar al-Qamariyyah, dan 300 tahun mengikut kalendar al-Syamsiyyah. Perbezaan untuk setiap 100 tahun al-Qamariyyah adalah sebanyak 3 tahun dengan al-Syamsiyyah, kerana itu, Allah SWT menyebutkan: “selama tiga ratus tahun (bagi tahun al-Syamsiyyah)” lalu disebutkan: “ditambah lagi sembilan tahun (bagi tahun al-Qamariyyah).” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/136)
Beberapa ulama’ lain membawakan tafsiran yang sama, iaitu ayat ini menyebutkan tempoh mereka tidur mengikut kiraan tahun al-Syamsiyyah dan al-Qamariyyah. Syams al-Din al-Qurtubi dan Abu Muhammad Ibn ‘Atiyyah menukilkan tafsiran al-Naqqasy, katanya, Ashab al-Kahfi tidur di dalam gua selama 300 tahun al-Syamsiyyah dengan kiraan kalendar yang digunapakai majoriti umat (selain bangsa Arab). Maka, apabila kisah ini diceritakan kepada seorang Nabi yang berbangsa Arab, ditambah 9 tahun, kerana bangsa Arab hanya memahami kalendar al-Qamariyyah. Dan penambahan adalah perbezaan antara kedua-dua kalendar (al-Syamsiyyah dan al-Qamariyyah). (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 10/387; al-Muharrar al-Wajiz, 3/510)
Adapun, perbahasan mengenai tempoh masa Ashab al-Kahfi itu hidup selepas mereka dibangkitkan, ini bukanlah sesuatu yang perlu diperbesarkan dan dijadikan perdebatan antara kita, kerana Allah SWT jua yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Firman-Nya:
قُلِ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا ۖ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Allah jua yang mengetahui tentang tempoh mereka kekal hidup’.”
(Surah al-Kahfi: 26)
Ibn Kathir mengatakan, sekiranya ditanya tentang tempoh ini, sedangkan kamu tidak mempunyai sebarang ilmu berkenaannya, dan Allah SWT juga telah meletakkan penahan agar kita berhenti pada kadar yang disebutkan sahaja, maka janganlah kamu mendahului Allah SWT. Bahkan, katakanlah apabila ditanya tentang itu: “Allah jua yang mengetahui tentang tempoh mereka kekal hidup. Bagi-Nya lah ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi.” Bermakna, tidak ada yang mengetahui tentangnya melainkan Allah dan mereka yang dikurniakan oleh Allah dari kalangan hamba-Nya. Dan apa yang kami katakana ini turut dipersetujui oleh ramai ulama’ tafsir, seperti Mujahid dan lain-lain dari kalangan salaf dan khalaf. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/136)
Di dalam ayat ke-25, Allah SWT memberitahu Rasulullah SAW tempoh Ashab al-Kahfi ini tidur, manakala selepas itu (tempoh mereka hidup selepas dibangkitkan dari tidur) tidaklah diketahui oleh manusia. Maka Allah SWT memerintahkan untuk mengembalikan perkara tersebut kepada-Nya sahaja, seperti yang disebutkan dalam ayat ke-26. Ibn ‘Atiyyah menyebutkan, kalimah (لَبِثُوا) pertama – dalam ayat 25 – merujuk kepada tempoh Ashab al-Kahfi ini ditidurkan, dan kalimah (لَبِثُوا) kedua – dalam ayat 26 – pula merujuk kepada tempoh selepas dibangkitkan itu sehinggalah zaman Rasulullah SAW. Dinukilkan riwayat Mujahid, katanya bahawa kalimah (لَبِثُوا) kedua itu merujuk kepada tempoh selepas dibangkitkan sehingga waktu diturunkan al-Quran. Dan al-Dahhak pula berkata, tempoh tersebut sehingga mereka meninggal dunia. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 10/386; al-Muharrar al-Wajiz, 3/510)
Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”