Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sahabat pernah menjumpai gua Ashab al-Kahfi?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Adapun sahabat yang pernah menemui gua di mana tempat berlakunya peristiwa tersebut adalah Mu‘awiyah R.A dan Ibn ‘Abbas R.Anhuma. Yang demikian telah dinukilkan dalam kitab al-Lubab fi ‘Ulum al-Kitab (12/466) sebagaimana yang dikisahkan oleh al-Zamakhsyari bahawa Mu’awiyah R.A ketikamana Beliau menyerang tentera Rom beliau melalui gua tersebut seraya berkata: Kalaulah dibuka tempat tersebut nescaya kita akan melihat mereka. Kemudian Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: Apakah yang ada bagimu dalam perkara itu? Sesungguhnya Allah telah menghalangi sesuatu yang lebih baik bagimu daripada itu. Kemudian beliau berkata dengan menyebut firman Allah SWT:
لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا
Maksudnya: jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
(Surah al-Kahfi: 18)
Kemudian Mu‘awiyah berkata: Aku tidak akan berhenti sampai mengetahui keadaan mereka lalu Dia memerintahkan sejumlah orang untuk pergi dan melihat. Ketika mereka masuk ke dalam gua, Allah mengirimkan angin kepada mereka dan angin itu membawa mereka keluar.
Syeikh Abu Bakar al-Jazairi menyatakan bahawa: Jika engkau melihat mereka pada saat tidur mereka dengan mata terbuka, tentulah engkau berpaling dari mereka dengan ketakutan dan rasa gementar. Yang demikian disebab Allah telah meletakkan atas mereka kekaguman dan keagungan, sehingga tidak ada yang mendekati mereka atau menyentuh mereka dengan kejahatan sehinggalah sampai waktu yang telah ditentukan, untuk menjadikan keadaan mereka sebagai tanda dari tanda-tanda kekuasaan, kebesaran dan keajaiban perancangan-Nya dalam penciptaan. (Lihat Aisar al-Tafasir, 3/245)
Begitu juga Ibn ‘Asyur ada menyatakan, diriwayatkan daripada Abdul Razzak dan Ibn Abi Hatim daripada ‘Ikramah bahawa Ibnu Abbas berperang bersama Habib bin Maslamah lalu mereka melewati gua dan di dalamnya terdapat tulang-tulang kemudian salah seorang dari mereka berkata: Ini adalah tulang-tulang Ahli Kahfi (penghuni gua) lalu Ibnu Abbas berkata: Tulang-tulang mereka telah hancur sejak lebih daripada tiga ratus tahun. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 15/264).
Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”