Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, tafsir ayat 13 dan 14 daripada surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Maksudnya: “Kami ceritakan kisah ini kepadamu dengan pengisahan yang benar. Mereka ialah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka lalu Kami tambahkan kepada mereka hidayah.”

(Surah al-Kahfi: 13)

Syeikh al-Sya‘rawi menyatakan pada tafsir (نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ) iaitu Allah sendiri yang menceritakan yang bersifat Maha Benar. Perkataan (نَقُصُّ) memberi maksud kisah itu diceritakan dengan terperinci dan tepat, tidak sebagaimana ia diceritakan oleh sebahagian orang lain. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 14/8851)

Para pemuda yang mencari perlindungan di dalam gua, yang mereka ditanya tentang kisah mereka oleh orang-orang Musyrik  adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka. Kami tingkatkan keimanan mereka kepada Tuhan mereka dan memberikan pencerahan tentang agama sehingga mereka bersabar meninggalkan kampung halaman mereka, menghindari penindasan kerana agama mereka, dan beralih kepada Allah SWT. Mereka meninggalkan kehidupan yang nyaman untuk hidup  dalam keadaan yang susah di dalam gua di gunung. (Lihat Jam‘ al-Bayan, 17/615)

Ibn Kathir menyatakan bahawa Allah menyebutkan bahawa mereka adalah golongan pemuda. Mereka lebih cenderung kepada kebenaran dan menerima petunjuk dibandingkan dengan golongan tua yang melampaui batas dan keras kepala dalam agama yang batil. Oleh itu, kebanyakan yang menjawab panggilan Allah dan Rasul-Nya adalah golongan muda. Adapun dari kalangan tua Quraisy, kebanyakan mereka tetap dalam agama mereka, hanya sedikit yang memeluk Islam. Demikianlah Allah mengisahkan tentang Ashab al-Kahfi  bahawa mereka adalah pemuda. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/140)

Muhammad al-Hilal menyatakan: Kalimah “الفتية” adalah kata jamak bagi “فتى” yang membawa makna pemuda. Namun penggunaan kalimah  “الفتية” dalam al-Quran merujuk kepada kelompok yang soleh dan beriman. (Lihat Tafsir al-Quran al-Thari al-Jami’ oleh Muhammad al-Hilal, 12/154)

Syeikh al-Sya‘rawi juga menyatakan bahawa kalimah “فِتْيَةٌ” adalah kata jamak bagi “فتى” yang membawa makna pemuda yang masih di usia muda.  Pemuda ini adalah individu yang penuh dengan aspirasi dalam menggalas tanggungjawab serta menghadapi segala cabaran yang sukar. Mereka adalah golongan pemuda yang beriman, membawa bendera akidah dan keimanan di hadapan keangkuhan kufur dan kedurhakaan syirik. Di kalangan mereka, pemuda tersebut merupakan pemuda yang penuh dengan keimanan dan keyakinan. (Lihat Tafsir Sya’rawi, 14/8847)

Jika dirujuk dalam leksikon Arab (Arabic lexicon) seperti Mukhtar al-Sihah, kalimah fityat (فِتْيَةٌ) adalah daripada kata dasar kalimah fa ta ya (ف ت ي) ataupun pluralnya adalah fityan (فِتْيَانٌ). Al-fata (الْفَتَى) itu sinonimnya al-shabb atau anak muda (youth/adolescent).

Al-Qurtubi, seorang tokoh mufassir yang terkenal ketika mengulas istilah kepemudaan (الْفُتُوَّةُ) menukilkan definisi oleh al-Junayd dengan memaknakan ia sebagai sikap melakukan kebaikan kepada orang lain, tidak menyusahkan orang lain dan meninggalkan rungutan terhadap orang lain. Dikatakan juga makna al-futuwwah adalah menghindari perkara yang haram dan bersegera dalam hal kebaikan. (Lihat al-Jamiʿ li Ahkam al-Qur’an, 10/364)

Abu al-Hasan al-Nadwi menyebut, frasa (إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ) itu sendiri mengandungi makna yang mendalam untuk dihadam. Hakikatnya, Allah SWT hendak menzahirkan bahawa kelompok anak muda yang meninggalkan aspek materialistik, kelapangan dan kesenangan hidup serta kerehatan, adalah amat sedikit jumlahnya bagi setiap zaman. (Lihat Rahlat al-ʿAllamah Abi al-Hasan ʿAli al-Hasani al-Nadwi, hlm. 574)

Kami diberitakan oleh Imam Masjid Ashab al-Kahfi dalam setengah riwayat menyebut, usia Ashab al-Kahfi atau dikenali sebagai fityah, antara 16 hingga 26 tahun. Inilah pemuda yang beriman kepada Allah. (Pertemuan pada 28 Disember 2023 di perkarangan Gua Ashab al-Kahfi)

Firman Allah SWT:

 وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

Maksudnya: “Kami teguhkan hati mereka pada kebenaran ketika mereka berdiri di hadapan raja lalu mereka berkata: ‘Tuhan kami ialah Tuhan langit dan bumi. Kami tidak akan berdoa kepada selain-Nya. Jika kami menyembah tuhan yang lain sesungguhnya kami telah berkata sesuatu yang jauh daripada kebenaran’.”

(Surah al-Kahfi: 14)

Syeikh al-Sya‘rawi menyatakan (وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ) adalah menggambarkan apabila manusia amat takut serta bimbang, kemudian berserah kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan yakin kepada-Nya serta tawakal. Maka Allah kurniakan kepadanya ikatan yang kukuh pada hati-hati mereka tanpa goyah, akan ada bantuan dan pertolongan daripada Allah sehingga keluar daripada mulut mereka kenyataan tauhid dan keimanan yang tinggi. Sama juga dengan kisah ibu Nabi Musa, apabila mencampakkan anaknya ke sungai, maka Allah ikatkan hatinya. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 14/8853)

Hal ini sebagaimana Firman Allah SWT:

وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَىٰ فَارِغًا ۖ إِن كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلَا أَن رَّبَطْنَا عَلَىٰ قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).”

(Surah al-Qasas: 10)

Selain itu, kami juga ingin menekankan ayat “لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا”, kerana ia merupakan salah satu sebab utama mengapa kisah pemuda Ashab al-Kahfi ini lari ke gua. Para ahli tafsir menyatakan:

Imam al-Tabari berkata: “Kami tidak akan menyembah selain daripada-Nya sebagai Tuhan.” Maksudnya ialah: Kami tidak akan menyembah tuhan selain dari Tuhan pencipta langit dan bumi, kerana tidak ada tuhan selain-Nya. Segala yang ada di bawah-Nya adalah ciptaan-Nya.  (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/176)

Ibn Kathir berkata, “لَن” digunakan untuk menafikan kekekalan, iaitu: kita tidak akan selama-lamanya melakukan ini; kerana jika kita melakukannya, itu akan menjadi sesuatu yang salah dan batil. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/128)

Imam al-Baghawi menyatakan, mereka mengatakan itu kerana kaum mereka menyembah berhala. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/156)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di berkata, apabila mereka bangkit, mereka berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan langit dan bumi, iaitu, Tuhan yang menciptakan, memberi rezeki, mengatur urusan, dan menguasai, Dia adalah Pencipta langit dan bumi. Dia tunggal dan Esa dalam penciptaan makhluk-makhluk besar ini, bukan berhala dan patung yang tidak mencipta, tidak memberi rezeki, tidak memiliki manfaat atau bahaya, dan tidak memiliki kehidupan, mati, atau kebangkitan.” Oleh itu, mereka berdalilkan tauhid rububiyah ke atas tauhid uluhuiyah, dan itulah sebabnya mereka berkata: “Kami tidak akan menyembah selain daripada-Nya tuhan lain daripada semua makhluk yang lain.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 471)

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply