Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, tafsir ayat 15 dan 16 daripada surah al-Kahfi?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
هَٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ آلِهَةً ۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ ۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا
Maksudnya: “Kaum kami telah mengambil tuhan-tuhan lain selain Allah. Mengapa tidak mereka datangkan bukti kukuh yang menjelaskan perbuatan mereka? Tiada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah.”
(Surah al-Kahfi: 15)
Imam al-Baghawi berkata: (Ini adalah kaum kita) bermaksud penduduk negeri mereka (telah menjadikan selain daripadanya) iaitu selain daripada Allah (sebagai tuhan-tuhan) bermaksud: berhala yang disembah oleh mereka jika bukan kerana (ada keterangan yang nyata) yang menerangkan dan menjelaskan bahawa berhala tidak patut disembah selain daripada Allah. Maka siapakah lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah dan mendakwa bahawa Dia mempunyai sekutu dan anak? (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/156)
Imam al-Tabari menyebutkan, antara perbuatan yang paling zalim dan paling menyekutukan Allah ialah orang yang mencipta dusta, lalu mencipta kebohongan terhadap Allah, dan menyekutukan sesuatu bersama Allah dalam kuasa-Nya, menganggapnya sebagai sekutu yang disembah selain daripada-Nya, dan menjadikannya sebagai tuhan. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 17/517)
Firman Allah SWT:
وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا
Maksudnya: “Oleh kerana kamu meninggalkan kaummu dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka berlindunglah kamu di dalam gua, pasti Tuhan kamu akan memancarkan rahmat-Nya pada kamu dan menyediakan bantuan dalam urusan kamu.”
(Surah al-Kahfi: 16)
Abu al-Hasan Ali al-Wahidi dalam al-Tafsir al-Basit menukilkan bahawa Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan: Ini merupakan kata-kata Tamlikha yang merupakan ketua Ashab al-Kahfi. Dia mengatakan kepada sahabat-sahabatnya yang lain: Apabila kamu menjauhi daripada menyembah berhala maka Allah akan memudahkan bagimu apa yang kamu takuti dari raja dan kezaliman mereka, serta akan memberikan kepadamu kemudahan. (Lihat al-Tafsir al-Basit, 13/547-549)
Begitu juga Ibn ‘Atiyyah menyatakan bahawa sebahagian daripada mereka berkata kepada yang lain: Apabila kita berpisah dari golongan kafir dengan hanya bergantung kepada Allah SWT, dan menjadikan gua ini sebagai tempat perlindungan serta berserah sepenuhnya kepada Allah SWT maka, Allah akan melapangkan dan menyebarkan rahmat-Nya kepada kita serta melancarkan segala urusan. Ini semua adalah doa untuk kehidupan dunia, dan mereka (Ashab al-Kahfi) memiliki keyakinan yang kukuh kepada Allah dalam urusan akhirat mereka. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 3/502)
Syeikh al-Sya‘rawi ketika menafsirkan ayat ini, beliau menyebutkan, ini adalah kisah pemuda yang saling berkata antara satu sama lain: Selagi mana kita menjauhi golongan kafir, menjauhi cara hidup mereka, dan mengikuti jalan keimananan kepada Allah yang telah dipermudahkan untuk kita maka, marilah kita pergi ke gua itu sebagai perlindungan dan tempat berlindung bagi agama kita, serta dengan rasa takut agar tidak diuji oleh golongan lain terhadap agama kita. Di sini kita diingatkan tentang pelarian pemuda-pemuda ini bukan ke negara lain yang mempunyai ruang yang memadai untuk hidup, tetapi ke dalam gua yang sempit di gunung di padang pasir dan gua tersebut tidak mempunyai aspek-aspek kehidupan yang biasa. Itulah sebabnya Allah yang Maha Benar, memberi peringatan kepada kita: Janganlah engkau berkata, ‘Gua ini sempit, bagaimana mereka boleh hidup di sini?’ Kerana mereka berhijrah kepada Allah, mencari perlindungan pada-Nya, dan bertawakal kepada-Nya.
Oleh yang demikian Allah berfirman selepas daripada itu “يَنشُرْ لَكُمْ” iaitu “Tuhan kamu akan memancarkan rahmat-Nya pada kamu.” Ketika kesempitan diiringi dengan kelapangan dan keselesaan. Mereka mengucapkan kata-kata ini dengan keyakinan yang teguh dengan rahmat Allah SWT dan percaya bahawa mereka yang berhijrah kepada-Nya tidak akan diserahkan atau ditinggalkan-Nya. Allah akan melapangkan keadaan mereka dengan rahmat-Nya dalam kesempitan tersebut, dan sesungguhnya Allah telah melapangkan keadaan itu untuk mereka ketika mereka tertidur. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 14/8856)
Ini mengingatkan kita bagaimana peristiwa hijrah Nabi SAW, peringkat awalnya pergi ke Gua Thaur sehingga Allah menenangkan mereka dan menyelamatkan mereka dari cengkaman kuku pembesar Quraisy yang zalim.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”