Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, makna wakaf pada bahasa dan istilah agar kami memahami dengan lebih baik.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

Maksudnya: Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi.

(Surah al-A’la : 16)

Firman Allah SWT lagi:

وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ ‎

Maksudnya: Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

(Surah al-A’la : 17)

Wakaf  pada bahasa bererti menahan dari dijual beli dan lain-lain (الْحَبْسُ عَنِ التَّصَرُّفِ). Perkataan wakaf, tahbis (تَحْبِيسُ) dan tasbil (تَسْبِيل) adalah membawa makna yang sama. Dengan makna itu, di kebanyakan negara Arab, Kementerian Hal Ehwal Wakaf disebut (وِزَارًةُ الاَوْقَافِ). Hanya negara Maghribi sahaja dipanggil (وِزَارَةُ الاَحْبَاسِ).

Para fuqaha telah bersepakat memberi takrif wakaf dari sudut bahasa dengan “al-Habs” yang bererti menahan kerana ia lebih hampir kepada pengertian syarak. Ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Saidina Umar R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya:Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).”

Riwayat al-Bukhari (2772)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: “Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.” (Lihat Fath al-Bari, 5/401)

Wakaf dari segi syarak pula bermaksud menahan harta itu pada jalan Allah untuk diberi manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai pemilik pemberi wakaf.

Pengertian wakaf sepertimana ditakrifkan oleh ulama mazhab Syafi’i adalah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: “Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram)”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376)

Menurut Mazhab Hanafi pula, wakaf bermaksud menahan sesuatu aset atau harta yang sah pemilik pewakaf dan bersedekah manfaatnya ke jalan kebajikan. (Lihat Syarh Fath al-Qadir ‘ala al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi’, 5/416)

Pendapat dua sahabat Abu Hanifah serta difatwakan di dalam mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali menyatakan: Wakaf ialah menahan barangan serta harta yang boleh dimanfaatkan serta kekal asetnya dengan memutuskan guna pakai ke atas aset itu dari pihak pewakaf atau lainnya ke arah kegunaan yang harus atau diguna pakai penghasilannya ke arah kebaikan dan kebajikan kerana mendampingkan diri kepada Allah. (Lihat Sharh Mukhtasar al-Karkhi, 4/268)

Wakaf di sisi mazhab Maliki pula tidak memutuskan hak pemiliknya pada aset yang diwakafkan, hanya memutuskan hak guna pakai sahaja. Dengan erti kata lain, menyedekahkan manfaat sesuatu harta selama mana harta itu wujud dan kekal pemilikan harta tersebut kepada pewakaf secara taqdiri dengan satu aqad (lafaz ijab) mengikut kehendak pewakaf. (Lihat Hashiyah ‘ala Kifayah al-Talib al-Rabbani Li Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, hlm. 210) Dengan itu, pemilik menjadikan manfaat yang dimilikinya sekalipun dimiliki dengan menyewa ataupun dijadikan penghasilan seumpama wang kepada yang memerlukan dengan jalan berlafaz untuk jangka masa yang ditetapkan oleh pewakaf.

Secara ringkas, wakaf boleh difahami sebagai menahan harta benda yang kekal ainnya (zatnya) yang boleh diambil atau digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan dan diserahkan ke tempat atau pihak yang ditentukan, serta terhalang daripada boleh digunakan secara berleluasa terhadap benda yang diwakafkan dan dimanfaatkan itu dengan harapan ianya dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply