Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato kongsikan tips kebahagiaan rumahtangga? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Perkahwinan itu merupakan al-sunnah al-kauniyyah atau fenomena semula jadi yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai salah satu tanda kekuasaan-Nya. Oleh yang demikian, Allah SWT menciptakan segala sesuatu itu secara berpasang-pasangan seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:
وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).”
(Surah al-Zariyat: 49)
Yakni, semua makhluk ciptaan Allah SWT itu berpasangan; langit dan bumi, malam dan siang, matahari dan bulan, daratan dan lautan, cahaya dan kegelapan, iman dan kufur, kematian dan kehidupan, kesedihan dan kegembiraan, syurga dan neraka, hatta yang bernyawa seperti jin, manusia, lelaki (atau jantan) dan perempuan (atau betina), dan tumbuh-tumbuhan. Kerana itu kemudiannya Allah SWT katakan: (لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ), yakni agar kalian tahu bahawa Pencipta itu hanya satu dan tidak ada sekutu baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/395)
Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri yang berasal dari diri kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang kepada mereka. Dan dia menjadikan di antara kamu perasaan mawadah (kasih sayang) dan juga rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu merupakan tanda-tanda (kebesaran) bagi kaum yang sentiasa berfikir.
(Surah al-Rum: 21)
Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/14)
Seorang suami adalah ketua rumahtangga yang mengemudi nakhoda, maka si isteri pula berperanan sebagai pembantu yang sentiasa menyokong dan membantu sama dalam melayari onak ranjau alam perkahwinan. Kewajiban ini perlu dijalankan dengan sebaiknya, dan hak-hak juga perlu dilindungi dengan sebaiknya, agar sakinah, mawaddah dan rahmah yang didambakan itu tercapai. Sebaliknya, jika perkara ini tidak dapat dikendalikan dengan sebaiknya sehingga berlakunya penindasan pada hak-hak pasangan masing-masing, nescaya ia akan mengakibatkan kesengsaraan dan kegagalan rumahtangga.
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa tips keluarga bahagia yang boleh kami kongsikan kepada anda:
- Persediaan memasuki alam perkahwinan seperti dari segi kewangan, pemikiran, ilmu, Kesihatan tubuh badan dan seumpamanya.
- Berfikiran matang.
- Bersedia memikul tanggungjawab.
- Jalinkan hubungan suami isteri dengan penuh ketaatan seperti perhatikan kesukaannya (perkara yang syarie).
- Membanggakan suami kerana ia akan menambahkan kasih sayang.
- Sentiasa memelihara diri, keluarga dan kehormatannya.
- Menyimpan rahsianya dengan baik.
- Jagalah waktu makan dan waktu istirehat kerana lapar membuatkan darah cepat naik.
- Hiasilah diri agar dia melihat kamu.
- Saling mendengar pandangan dengan hati yang terbuka. (Lihat Rumahku adalah Syurgaku, hlm. 49-52)
Antara hal yang terpenting dalam memandu kehidupan agar bahteranya sentiasa baik dan selamat daripada badai serta ombak yang mengganas serta menggerhanakan kehidupan adalah dengan memahami ilmu agama dan mengamalinya. Antara puncak ialah ketaatan kepada Allah dengan melaksanakan solat berjemaah dalam bentuk kekeluargaan sama ada di rumah dan juga membawa semua keluarga menuju ke rumah Allah untuk melaksanakannya. Hal ini berdasarkan nas Ilahi:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
(Surah al-Baqarah: 238)
Dan doa Nabi Ibrahim A.S:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)
Ini memaknakan, apabila solat Fardhu utamanya dipelihara dengan seluruh keluarga, terutamanya suami isteri, maka kesannya amat baik yang membawa kepada keutuhan rumah tangga hingga ke syurga, insya Allah. Ini kerana, apabila hablum minallah itu kukuh, maka ruang untuk diperdaya oleh syaitan akan menjadi lemah. Bahkan, ia tidak mampu untuk menggugat keutuhan dan kerukunan rumah tangga hamba-hamba yang taat kepada Allah SWT.
Semoga anak-anak muda yang baru mula melangkah ke alam perkahwinan dapat menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, seterusnya mempraktikkan ilmu tersebut dalam melayari kehidupan rumahtangga bersama pasangan.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam.