Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah terdapat perbezaan di sana antara istighfar dan taubat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ibn al-Qayyim menyebut bahawa istighfar (الاستغفار) terbahagi kepada dua jenis, iaitu yang disebut secara terpisah (daripada taubat), dan yang disebut bersekali dengan lafaz taubat.

Adapun istighfar (الاستغفار) yang disebut secara tersendiri dan tidak dihubungkan dengan taubat adalah, sepertimana ucapan Nuh AS dalam firman Allah SWT:

اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

Maksudnya: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya dia Maha pengampun, nescaya dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat.”

                                                                                                          (Surah Nuh: 10-11)

Dan ucapan Nabi Soleh AS kepada kaumnya:

لَوْلَا تَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Alangkah baiknya kalau kamu memohon ampun kepada Allah supaya kamu diberi rahmat.”

(Surah al-Naml: 46)

Manakala lafaz istighfar (الاستغفار) yang disebut bersekali dengan lafaz taubat adalah sepertimana firman Allah SWT:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ ۖ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.”[1]

(Surah Hud: 3)

Ibn al-Qayyim dalam Madarij al-Salikin (1/236-237) menjelaskan: Apabila istighfar (الاستغفار) disebut secara tersendiri (secara terpisah daripada lafaz taubat), maka maknanya adalah sama seperti taubat, bahkan istighfar (الاستغفار) itu adalah taubat, di samping mengandungi makna permohonan keampunan daripada Allah SWT. Keampunan (maghfirah) itu adalah penghapusan dosa, penghapusan kesan-kesan dosa dan pemeliharaan daripada keburukan dosa. Justeru, pada lafaz maghfirah itu semestinya mengandungi pemeliharaan.

Dan istighfar (الاستغفار) inilah yang menghalang seseorang daripada ditimpa azab sepertimana firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Maksudnya: Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).

(Surah al-Anfal: 33)

Allah SWT tidak akan mengazab orang yang beristighfar (secara sempurna). Namun, apabila seseorang terus-menerus melakukan dosa, dalam keadaan dia juga memohon ampun kepada Allah, maka istighfarnya bukan istighfar yang sempurna, dan dia tidak akan terhalang daripada ditimpa azab.

Istighfar (الاستغفار) mengandungi taubat, dan taubat juga mengandungi istighfar (الاستغفار) padanya. Kedua-duanya termasuk pada nama antara satu sama lain secara mutlak. Adapun, ketika digandingkan dua lafaz tersebut, maka lafaz istighfar (الاستغفار) memberi maksud memohon pemeliharaan dari kejahatan apa yang lalu. Sedangkan taubat pula, kembali dan memohon pemeliharaan kejahatan apa yang dia bimbang berlaku terhadapnya pada masa akan datang terutama pada keburukan amalannya. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/237)

Menurut Abu al-Hasan al-Mubarakfuri pula, taubat adalah menyesali atas apa yang dilakukan pada masa lalu, dan berazam untuk menahan diri daripada mengulanginya pada masa akan datang. Manakala istighfar (الاستغفار) adalah memohon keampunan atas apa yang telah dilakukan, dan tidak semestinya berazam untuk menahan diri daripada mengulanginya pada masa akan datang (berbanding konsep taubat). (Lihat Mir’at al-Mafatih, 8/2)

Begitu juga dalam soal ini menurut  Syeikh Ibn Bazz  Istighfar (الاستغفار) boleh merujuk kepada taubat atau sekadar perkataan, seperti berdoa, ‘Ya Allah, ampunilah dosaku, aku memohon keampunan dari Allah.’ Ia bukanlah taubat kecuali jika disertai dengan penyesalan, dan  meninggalkan perbuatan maksiat, serta  berazam untuk tidak mengulanginya. Ini adalah yang dikatakan sebagai taubat dan juga sebagai istighfar. Istighfar (الاستغفار) yang benar-benar membawa faedah adalah apabila disertai dengan penyesalan, meninggalkan perbuatan maksiat, serta tekad yang kukuh untuk tidak mengulanginya. Inilah yang  dinamakan  sebagai istighfar (الاستغفار) dan taubat.[2]

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Nota kaki:

[1] Al-Alusi berkata,”Sesungguhnya istighfar adalah taubat, di mana lafaz ثُمَّ dalam ayat tersebut bermakna ‘dan’.” (Lihat Tafsir al-Alusi, 11/207)

[2] Lihat : https://binbaz.org.sa/fatwas/17687/%D8%A7%D9% Diakses pada 22 Disember 2023

Leave a Reply