Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang terjadi apabila seseorang itu mentalak isterinya sebelum setubuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Talak

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sorih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sorih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Imam al-Baijuri menyatakan, Talak yang sorih tidak memerlukan kepada niat. Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak ada dihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila suami menceraikan isteri dengan talak satu atau dua sebelum bersetubuh, maka kesannya si suami tidak boleh kembali kepada isterinya dengan rujuk tetapi dengan akad nikah dan mas kahwin yang baru atas pilihan dan persetujuan isteri. Hal ini kerana talak sebelum setubuh tidak mempunyai iddah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya.

(Surah al-Ahzab: 49)

Ibn Kathir berkata: Di dalamnya mengandungi dalil tentang dibolehkannya menceraikan seorang isteri sebelum mencampurinya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/187)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah: ‘ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ’, yakni sebelum kamu berjima’ dengan mereka. Dan Allah mengibaratkannya dengan lafaz ‘menyentuh mereka.’ (Lihat Fath al-Qadir, 4/225)

Imam Al-Qurtubi berkata: Pada hakikatnya nikah itu adalah al-wath’u (berhubungan kelamin). Dikatakan juga bahawa aqad itu adalah nikah kerana aqad itu adalah jalan untuk menghalalkan hubungan tersebut. Dalam al-Quran tidak ditemukan makna lain untuk nikah selain aqad. Dan al-Quran menggunakan kata nikah sebagai bentuk adab dan kesopanan al-Quran dalam mengungkapkan masalah ini. Nikah adalah kinayah untuk kata-kata: al-mulamasah (saling bersentuhan), al-mumaasah (saling berhubungan) dan al-ityan (menghampiri). (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 14/203)

Manakala, bagi talak tiga, selagi mana wanita yang ditalak dengan talak tiga oleh suaminya tidak berkahwin dengan orang lain, kemudian bersama (jima’) dan tamat tempoh iddah, maka kekal hukum haram ke atas lelaki tersebut untuk menikahinya. Inilah yang membezakan antara talak satu atau dua dengan talak tiga. Tidak boleh diqiyaskan perkara yang sudah jelas pengharaman dengan yang tidak diharamkan, kerana talak satu dan dua tidak diharamkan untuk lelaki tersebut untuk kembali kepada isterinya. (Lihat al-Umm,hlm. 369).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Wallahua`lam.

Leave a Reply