Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya mentua kita bukan beragama Islam dan tinggal bersama kita, kemudian dia beribadah dengan caranya di rumah kita, adakah malaikat rahmah tidak masuk ke dalam rumah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama sekali, ibu bapa mentua itu umpama ibu bapa kandung kita. Menghormati dan berbuat baik kepada kedua mereka adalah diwajibkan tanpa mengira agama mereka, sama ada mereka Islam atau bukan Islam. Bahkan kewajiban itu kekal selama mana mereka tidak mengajak untuk melakukan perbuatan syirik dan menyekutukan Allah SWT dengan sembahan-sembahan mereka. Allah SWT berfirman:

وَإِن جَـٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشْرِكَ بِى مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌۭ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِى ٱلدُّنْيَا مَعْرُوفًۭا ۖ

Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

(Surah Luqman: 15)

Imam Ibn Kathir menafsirkan ayat di atas, sekiranya kedua ibu bapa itu bersungguh mendesak agar mengikuti agama mereka, maka janganlah terima perkara tersebut. Dalam pada itu, ini tidak menjadi penghalang untuk tetap melayan mereka di dunia ini dengan cara yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/301)

Al-Qadi Abu Muhammad Ibn ‘Atiyyah berkata, apa yang zahir menurutnya, ayat ini hendak menekankan hubungan silaturahim. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 4/349)

Keduanya, persoalan berkenaan malaikat rahmah tidak masuk ke rumah kerana mentua saudara beribadah dengan cara agamanya di rumah, hal ini perlu dilihat dengan lebih teliti. Sememangnya terdapat nas syara‘ yang menyebutkan bahawa malaikat rahmah tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat gambar-gambar makhluk hidup bergantungan, atau terdapat anjing di dalam rumah. Hal ini sebagaimana yang thabit dalam hadith ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«لاَ تَدْخُلُ المَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلاَ صُورَةٌ» يُرِيدُ صُورَةُ التَّمَاثِيلَ الَّتِي فِيهَا الأَرْوَاحُ

Maksudnya: “‘Malaikat tidak masuk ke rumah yang ada di dalamnya anjing dan juga gambar ukiran.’ (Ibn ‘Abbas berkata:) ‘Maksudnya gambar ukiran yang dibuat menyerupai makhluk yang bernyawa’.”

Riwayat al-Bukhari (4002)

وَاعَدَ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ جِبْرِيلُ عليه السَّلَامُ في سَاعَةٍ يَأْتِيهِ فِيهَا، فَجَاءَتْ تِلكَ السَّاعَةُ وَلَمْ يَأْتِهِ، وفي يَدِهِ عَصًا، فألْقَاهَا مِن يَدِهِ، وَقالَ: ما يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَا رُسُلُهُ، ثُمَّ التَفَتَ، فَإِذَا جِرْوُ كَلْبٍ تَحْتَ سَرِيرِهِ، فَقالَ: يا عَائِشَةُ، مَتَى دَخَلَ هذا الكَلْبُ هَاهُنَا؟ فَقالَتْ: وَاللَّهِ، ما دَرَيْتُ، فأمَرَ به فَأُخْرِجَ، فَجَاءَ جِبْرِيلُ، فَقالَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: وَاعَدْتَنِي فَجَلَسْتُ لكَ فَلَمْ تَأْتِ، فَقالَ: مَنَعَنِي الكَلْبُ الَّذي كانَ في بَيْتِكَ؛ إنَّا لا نَدْخُلُ بَيْتًا فيه كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ

Maksudnya: “Jibril berjanji akan mengunjungi Rasulullah SAW pada suatu masa namun pada masa tersebut Jibril tidak datang menemui Baginda. Lalu Baginda mencampakkan tongkat yang ada di tangan Baginda sambil berkata: ‘Allah dan utusannya iaitu Jibril tidak pernah memungkiri janji.’ Kemudian Baginda menemui seekor anak anjing di bawah tempat tidur Baginda. Baginda SAW bertanya kepada Aisyah R.A: ‘Bilakah bilakah anjing ini masuk?’ Aisyah R.A menjawab: ‘Demi Allah aku tidak mengetahuinya.’ Baginda memerintahkan supaya anak anjing tersebut dibawa keluar maka datang Jibril A.S bertemu dengan Nabi SAW. Baginda bertanya kepada Jibril: ‘Kamu berjanji dengan aku dan aku menunggu mu tetapi engkau tidak datang.’ Jibril lantas menjawab: ‘Anak anjing yang ada di dalam rumahmu menghalang aku untuk masuk. Kami (para malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya gambar makhluk bernyawa atau anjing’.”

Riwaya Muslim (2106)

Ibn al-Battal menukilkan kalam Ibn Waddah, katanya, malaikat yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah malaikat wahyu, seperti Jibril dan Israfil. Adapun malaikat yang mencatit amalan, mereka ini tetap masuk ke dalam rumah-rumah manusia walau apa jua keadaan. Begini jugalah yang disebutkan al-Dawaji. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 9/181)

Al-Qastalani juga berkata, yang dimaksudkan dengan malaikat di sini, malaikat yang turun membawa rahmat dan sentiasa mendoakan pengampunan buat para hamba. Adapun malaikat yang mencatit amalan, mereka tidak akan berpisah dari seseorang mukallaf dalam apa-apa keadaan pun, sepertimana yang ditegaskan oleh al-Khattabi dan selainnya. (Lihat Irsyad al-Sari, 8/480)

Memahami hadith ini, sekiranya mentua saudara itu beribadah tanpa melibatkan gambar atau patung sembahannya, maka perkara ini tidak termasuk dalam tegahan yang telah disebutkan dalam umum hadith, dan malaikat tidak menjadi halangan untuk memasuki rumah tersebut.

Sebaliknya, sekiranya mentua itu beribadah dengan menggunakan gambar atau patung sembahan, maka perkara ini termasuk dalam tegahan yang telah disebutkan dalam umum hadith. Jika diqiaskan patung berhala dengan gambar tersebut, nescaya berhala terlebih utama untuk para malaikat tidak memasuki rumah itu.

Akan tetapi, kami juga cuba melihat dari sudut yang berbeza, iaitu istilah (البَيْتُ) pada zaman Rasulullah SAW dan pada zaman kini. Pada zaman dahulu, (البَيْتُ) itu memang merujuk kepada rumah yang tidak mempunyai bilik, sebaliknya hanya satu ruangan kosong yang ditutupi dengan dinding dan berada di bawah teduhan bumbung. Di dalam konteks moden, sifat ini lebih menjurus kepada bilik. Oleh yang demikian, kami mencadangkan agar dikhususkan sebuah bilik untuk mentua itu sahaja, agar segala kelengkapan keagamaannya tersimpan di dalam bilik tersebut sahaja, dan tidak menimbulkan sebarang syubhah atau menjadi penghalang masuknya malaikat rahmat ke dalam rumah.

Saat yang sama, pamerkan akhlak Islam yang indah dan juga acara ibadat bersama kaum keluarga dan anak-anak sehingga menjadi uslub dakwah kepada mertua yang masih berpegang dengan cara agamanya yang asal. Terlalu banyak sejarah dan bukti yang terjadi, akhirnya mereka memeluk agama Islam. Inilah indahnya Islam. Kami teringat kisah ibu Sa’ad ibn Abi Waqqas yang mahukan Sa’ad kembali kepada agama asalnya. Tetapi dengan kebijaksanaan Sa’ad dan pegangan agamanya menyebabkan ibu Sa’ad akhirnya akur kepada agama Islam yang dianuti oleh Sa’ad ibn Abi Waqqas R.A.

Semoga ikhtiar ini lebih menjadi alternatif untuk mengharmonikan hubungan di antara mentua yang bukan Islam dengan menantu yang beragama Islam, dalam masa yang sama memperoleh rahmat serta doa keampunan dari para malaikat, hamba-hamba Allah SWT yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply