Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa Nabi Musa AS berguru dengan Nabi Khadir AS?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبْرَحُ حَتَّىٰٓ أَبْلُغَ مَجْمَعَ ٱلْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِىَ حُقُبًۭا ٦٠ فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ سَرَبًۭا ٦١ فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَىٰهُ ءَاتِنَا غَدَآءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَـٰذَا نَصَبًۭا ٦٢ قَالَ أَرَءَيْتَ إِذْ أَوَيْنَآ إِلَى ٱلصَّخْرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلْحُوتَ وَمَآ أَنسَىٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيْطَـٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُۥ ۚ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ عَجَبًۭا ٦٣ قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ ۚ فَٱرْتَدَّا عَلَىٰٓ ءَاثَارِهِمَا قَصَصًۭا ٦٤

Maksudnya: Ingatlah, Nabi Musa pernah berkata kepada pembantunya, “Aku tidak akan berhenti sehingga aku sampai ke tempat pertemuan dua lautan atau aku akan terus berjalan biarpun bertahun lamanya.” Ketika mereka tiba di tempat pertemuan dua lautan, mereka terlupa ikan yang mereka bawa sebagai bekalan. Lalu ikan itu menggelongsor ke laut tanpa disedari. Apabila mereka melepasi kawasan pertemuan dua lautan itu, Nabi Musa berkata kepada pembantunya, “Ambilkan makanan tengah hari kita. Kita telah penat dalam perjalanan ini.” Pembantu Nabi Musa menjawab, “Ingatkah tuan ketika kita berehat di sebuah batu besar. Sesungguhnya aku terlupa ikan itu dan tiada yang melupakanku untuk memberitahunya melainkan syaitan. Lalu ikan itu menggelongsor ke laut dengan cara yang aneh sekali.” Nabi Musa berkata, “Itulah tempat yang kita cari.” Lalu mereka berpatah balik menjejak kesan laluan mereka.

(Surah al-Kahfi : 60-64)

Bermula dengan ayat 60 Surah al-Kahfi ini, Allah SWT merakamkan peristiwa perjalanan Nabi Musa A.S menemui seorang hamba Allah SWT yang soleh. Menurut majoriti ulama, lelaki berkenaan ialah Nabi Khadir A.S. Para ulama berbeza pendapat tentang status Nabi Khadir A.S. Ada yang menyatakannya sebagai seorang nabi dan ada yang berpendapat dia ialah seorang lelaki yang soleh atau seorang wali Allah SWT. Ulama berbeza pendapat tentang adakah Nabi Khadir A.S masih hidup ataupun telah wafat. Majoriti ulama berpendapat Nabi Khadir A.S telah wafat sebelum perutusan Nabi Muhammad SAW. Pendapat ulama yang lain menyatakan Nabi Khadir A.S masih hidup dan sentiasa menunaikan haji. Berkenaan perbezaan pendapat ini, kami telah bahaskan dalam bab sebelum ini berkenaan Nabi Khadir A.S.

Al-Quran menjelaskan Nabi Khadir A.S memiliki ilmu khas yang dianugerahkan Allah SWT. Sesetengah ulama menamakan ilmu ini sebagai ilmu ghaib, ilmu Ladunni atau ilmu Rabbani. Ilmu ini dianugerahkan Allah SWT hasil daripada keikhlasan dan ketakwaan yang tinggi dalam diri Nabi Khadir A.S.

Allah SWT memerintahkan Nabi Musa A.S untuk menemui Nabi Khadir A.S bagi mendalami hakikat bahawa terdapat insan yang lebih berilmu daripada Baginda. Perintah ini rentetan daripada peristiwa yang dirakamkan dalam kisah Ubai bin Ka‘ab R.A di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas dan al-Hur bin Qais bin Hisn al-Fazari telah bertengkar mengenai orang yang dicari oleh Musa. Ibn Abbas berkata: Dia ialah Khadhir. Tiba-tiba Ubai bin Ka‘ab telah lalu berhampiran dengan mereka berdua. Ibn Abbas telah memanggilnya dan berkata: Aku telah bertengkar dengan sahabatku mengenai orang yang dicari Musa, yang mana Musa telah meminta petunjuk jalan (kepada Allah SWT) untuk bertemu dengannya. Adakah engkau pernah mendengar Nabi SAW menyebut mengenainya? Ubai bin Ka‘ab menjawab: Ya, aku pernah mendengar Nabi SAW bersabda:

بَيْنَمَا مُوسَى فِي مَلَإٍ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: هَلْ تَعْلَمُ أَحَدًا أَعْلَمَ مِنْكَ؟ قَالَ مُوسَى: لاَ، فَأَوْحَى اللهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى مُوسَى: بَلَى، عَبْدُنَا خَضِرٌ، فَسَأَلَ مُوسَى السَّبِيلَ إِلَيْهِ، فَجَعَلَ اللهُ لَهُ الحُوتَ آيَةً، وَقِيلَ لَهُ: إِذَا فَقَدْتَ الحُوتَ فَارْجِعْ، فَإِنَّكَ سَتَلْقَاهُ، وَكَانَ يَتَّبِعُ أَثَرَ الحُوتِ فِي البَحْرِ، فَقَالَ لِمُوسَى فَتَاهُ: {أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ}، قَالَ: {ذَلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِي فَارْتَدَّا عَلَى آثَارِهِمَا قَصَصًا}، فَوَجَدَا خَضِرًا، فَكَانَ مِنْ شَأْنِهِمَا مَا قَصَّ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي كِتَابِهِ».

Maksudnya: Ketika Musa A.S sedang berada dalam satu kumpulan Bani Israil, tiba-tiba datang seorang lelaki kepadanya, lalu bertanya: Adakah engkau tahu ada seseorang yang lebih alim daripada dirimu? Musa menjawab: Tidak ada. Maka Allah SWT telah mewahyukan kepada Musa dengan mengatakan: Bahkan ada, iaitu hamba Kami Khadhir. Musa pun meminta petunjuk jalan untuk sampai kepadanya. Lalu Allah SWT telah menjadikan (memberikan) kepadanya ikan sebagai tanda dan dikatakan kepadanya: Apabila engkau kehilangan ikan itu, kembalilah semula (ke tempat hilangnya ikan tersebut) kerana engkau akan menemuinya di sana. Lalu Musa mengikuti kesan ikan yang menggelunsur ke dalam laut. Maka murid Musa (Nabi Yusya’ bin Nun A.S) berkata kepadanya: “Tahukah kamu saat kita mencari tempat berlindung di batu besar tadi, sebenarnya aku lupa mengenai ikan tersebut dan tidak ada yang menyebabkan aku lupa menceritakan mengenai ikan itu melainkan syaitan.” Lalu Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki”, mereka pun kembali semula ke situ, dengan menurut jejak mereka. Kemudian, mereka berdua menemui Khadhir. Setelah itu, berlakulah kisah sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah SWT mengenai mereka berdua di dalam kitab-Nya (al-Qur’an).

Riwayat al-Bukhari (74) dan Muslim (2380)

Secara ringkasnya, Nabi Musa A.S pernah ditanya oleh Bani Israel tentang siapakah yang paling berilmu. Baginda telah menjawab bahawa dirinyalah yang paling berilmu. Jawapan ini tidak digemari Allah SWT kerana Nabi Musa A.S kelihatan tidak menyandarkan jawapan kepada Allah SWT. Allah SWT ingin mendidik Nabi Musa A.S tentang hakikat sebenar lalu memerintahkan Nabi Musa A.S menempuh perjalanan menemui hamba-Nya iaitu Nabi Khadir A.S yang memiliki ilmu dan hikmah yang agung daripada-Nya. Lokasi Nabi Khadir A.S adalah di pertemuan dua laut. Bagi menjejak lokasi tersebut, Nabi Musa A.S perlu membawa bekalan makanan untuk perjalanan yang jauh dan tidak diketahui tempohnya.

Bagi menunaikan perintah Allah SWT, Nabi Musa A.S berkata kepada pemudanya atau temannya bahawa baginda akan mencari Nabi Khadir A.S biarpun terpaksa berjalan bertahun-tahun atau menempuh perjalanan yang amat jauh. Nama pemuda tersebut ialah Yusya‘ bin Nun, dan beliau merupakan pembantu Nabi Musa A.S. Meskipun ia adalah pembantu atau khadam, al-Quran tidak menyebut dengan sebutan tersebut. Al-Quran mengajar kesopanan Islam dengan menyebut seseorang yang berbakti dengan sebutan “anak muda” sebagai panggilan terhormat.

Mereka pun memulakan perjalanan. Setelah menempuh perjalanan yang jauh, mereka pun singgah berehat di pertemuan dua laut yang tidak disedari mereka. Ketika asyik tidur atau berehat, ikan yang menjadi bekalan telah hidup dan menggelusur keluar menuju ke dalam laut. Yusya‘ bin Nun menyedari perkara ajaib ini tetapi ia terus menjadi lupa. Setelah berehat, mereka menyambung semula perjalanan seharian. Kini mereka berhenti semula. Nabi Musa A.S meminta kepada temannya untuk membawakan makanan tengah hari untuk dimakan bersama. Ketika itulah baru Yusya‘ bin Nun teringatkan semula akan ikan  mereka yang hilang ke dalam laut. Yusya‘ bin Nun menceritakan kehilangan ikan tersebut. Beliau lupa tentang peristiwa tersebut disebabkan gangguan syaitan. Nabi Musa A.S menyatakan peristiwa kehilangan ikan menandakan itulah petanda lokasi Nabi Khadir A.S yang perlu dijejaki. Lantas mereka pun berpatah semula menuju ke tempat pertemuan dua laut tersebut.(Lihat Tafsir al-Bayan, 3/229-230)

Kisah ini adalah sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Kahfi:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبْرَحُ حَتَّىٰٓ أَبْلُغَ مَجْمَعَ ٱلْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِىَ حُقُبًۭا ٦٠ فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ سَرَبًۭا ٦١ فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَىٰهُ ءَاتِنَا غَدَآءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَـٰذَا نَصَبًۭا ٦٢ قَالَ أَرَءَيْتَ إِذْ أَوَيْنَآ إِلَى ٱلصَّخْرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلْحُوتَ وَمَآ أَنسَىٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيْطَـٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُۥ ۚ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ عَجَبًۭا ٦٣ قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ ۚ فَٱرْتَدَّا عَلَىٰٓ ءَاثَارِهِمَا قَصَصًۭا ٦٤

Maksudnya: Ingatlah, Nabi Musa pernah berkata kepada pembantunya, “Aku tidak akan berhenti sehingga aku sampai ke tempat pertemuan dua lautan atau aku akan terus berjalan biarpun bertahun lamanya.” Ketika mereka tiba di tempat pertemuan dua lautan, mereka terlupa ikan yang mereka bawa sebagai bekalan. Lalu ikan itu menggelongsor ke laut tanpa disedari. Apabila mereka melepasi kawasan pertemuan dua lautan itu, Nabi Musa berkata kepada pembantunya, “Ambilkan makanan tengah hari kita. Kita telah penat dalam perjalanan ini.” Pembantu Nabi Musa menjawab, “Ingatkah tuan ketika kita berehat di sebuah batu besar. Sesungguhnya aku terlupa ikan itu dan tiada yang melupakanku untuk memberitahunya melainkan syaitan. Lalu ikan itu menggelongsor ke laut dengan cara yang aneh sekali.” Nabi Musa berkata, “Itulah tempat yang kita cari.” Lalu mereka berpatah balik menjejak kesan laluan mereka.

(Surah al-Kahfi : 60-64)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply