Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan ayat 92-98 Surah al-Kahfi berkenaan Zulqarnain?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ﴿٩٢﴾ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا ﴿٩٣﴾ قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا ﴿٩٤﴾ قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ﴿٩٥﴾ آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا ﴿٩٦﴾ فَمَا اسْطَاعُوا أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا ﴿٩٧﴾ قَالَ هَـٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا
Maksudnya: “Kemudian dia menjelajah ke arah yang lain pula. Hinggalah dia sampai ke kawasan di antara dua gunung, dia menemui satu kaum di sebaliknya yang hampir tidak difahami bahasa ungkapan mereka. Mereka berkata, ‘Wahai Zulqarnain! Sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj telah melakukan kerosakan di atas bumi. Adakah tuan bersetuju kami berikan sejumlah ganjaran bagi membina tembok pemisah antara kami dan mereka?’ Zulqarnain berkata, ‘Kurniaan Tuhanku lebih baik daripada apa yang kamu janjikan. Bantulah aku dengan kekuatan peralatan dan tenaga kerja agar aku bina tembok pemisah yang kukuh antara kamu dan mereka.’ Zulqarnain berkata, ‘Kumpulkan kepadaku kepingan-kepingan besi.’ Apabila sama ketinggiannya dengan dua bukit itu sehingga menutup ruangan di antara keduanya, Zulqarnain mengarahkan, ‘Nyalakan api sehingga panas.’ Apabila besi itu telah merah menyala dia berkata, ‘Berikan padaku cairan tembaga untuk aku tuangkannya ke atas kepingan besi tadi.’ Maka Yakjuj dan Makjuj tidak dapat lagi memanjatnya ataupun menebuknya. Zulqarnain berkata, ‘Inilah rahmat Tuhanku. Apabila tiba waktu yang telah ditetapkan nanti, Tuhanku akan hancurkan tembok tersebut hingga berkecai. Janji Tuhanku itu adalah benar.’”
(Surah al-Kahfi: 92-98)
Penjelajahan terakhir Zulqarnain adalah menempuh sempadan utara jalan timur dan barat, dari tempat terbitnya matahari menuju ke utara. Menurut al-Maraghi, apabila mereka tiba di antara dua gunung itu iaitu sebagai tempat yang unik, beliau dapati di antara dua gunung itu tinggal suatu bangsa manusia yang hampir tidak dapat memahami setiap persoalan yang diajukan kepada mereka kerana lemah tahap pemikiran. Mereka memohon bantuan daripada Zulkarnain supaya diselamatkan daripada kezaliman Yakjuj dan Makjuj yang melakukan kezaliman di negeri itu dengan melakukan pembunuhan, kehancuran, perampasan makanan dan segala bentuk kerosakan lain.
Yakjuj dan Makjuj adalah dua kabilah daripada keturunan Yafith bin Nuh. (Lihat Wahat al-Tafsir oleh Ahmad al-Tawil, 8/359). Daripada Samurah bin Jundub R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
سَامٌ أَبُو الْعَرَبِ، وَحَامٌ أَبُو الْحَبَشِ، وَيَافِثُ أَبُو الرُّومِ
Maksudnya: “(Zuriat Nabi Nuh A.S iaitu) Sam ialah bapa bagi bangsa Arab, Ham pula ialah bapa bagi bangsa berkulit gelap dan Yafith pula ialah bapa bagi bangsa berkulit cerah.”
Riwayat al-Tabarani (6871); al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id wa Manba‘ al-Fawa’id (1/193) menyatakan, para perawinya adalah thiqah.
Mereka bercadang untuk mengumpul harta kekayaan dan menyerahkannya kepada Zulkarnain sebagai upah membina tembok bagi menghalang negeri mereka daripada dimusnahkan oleh Yakjuj dan Makjuj yang sering melakukan kezaliman itu. Namun sikap kekitaan dan kebersamaan yang dituntut daripada kaum itu adalah sesuatu yang amat menarik perhatian semua pihak. Zulkarnain berkata: “Apa yang dikurniakan oleh Allah kepadaku iaitu kerajaan yang luas, kekuasaan dan harta yang banyak sudah memadai berbanding upah yang hendak kamu berikan, justeru aku tidak memerlukan upah tersebut.”
Boleh digambarkan bahawa sikap Zulkarnain dalam memberi bantuan membina benteng dan menyelesaikan masalah adalah bertitik tolak daripada beberapa dasar:
- Berprinsip dan bersemangat waja, di mana setiap negara yang kuat perlu melindungi negara yang lemah tanpa mengambil kesempatan ke atas mereka di samping menjaga kepentingan negara itu.
- Berkerjasama dan saling bantu membantu dalam melakukan sesuatu untuk kebaikan bersama, contohnya membina tembok bagi menghalang Yakjuj dan Makjuj yang sentiasa melakukan kerosakan di tempat itu.
- Berkorban jiwa dan raga dalam menjayakan sesuatu perkara, contohnya kaumnya diminta untuk menyediakan potongan besi dan menyumbang tenaga dalam membina tembok itu.
Ketiga-ketiga dasar itu dapat dilihat menerusi tafsiran yang dikemukakan oleh al-Maraghi dalam huraiannya pada ayat ke-96 dalam Surah al-Kahfi, di mana kesungguhan dan kerjasama daripada kaumnya dapat dilihat ketika proses membina tembok batu itu dilakukan. Di mana setiap orang diminta untuk menyediakan potongan besi dan segera membina tembok itu sedikit demi sedikit. Sehinggakan kedudukan tembok itu menjadi sama rata dengan kedua-dua gunung itu. Beliau berkata kepada para pekerjanya, “Tiuplah dengan peniup api, potonglah batu besar dan letakkan di antara dua tepi gunung. Kemudian tembaga yang mendidih itu dicurahkan ke atas besi yang membara, sehingga melekat dan berjaya menutup lubang di antara besi sehingga gunung tersebut menjadi utuh dan licin.”
Tindakan tersebut menyebabkan Ya’juj dan Ma’juj tidak mampu mendaki tembok kerana ia terlalu tinggi dan licin serta tidak dapat menembusinya kerana ia sangat keras dan tebal. Kejayaan membina tembok bersama kaumnya dianggap sebagai satu rahmat daripada Allah dan manfaatnya amat besar kerana ia dapat menghalang Ya’juj dan Ma’juj daripada melakukan kerosakan di muka bumi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 16/19).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”