Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami, bagaimana keadaan hari pertama peperangan al-Qadisiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada hari pertama, Panglima Sa’ad RA menyampaikan ucapannya kepada seluruh tentera Islam:

الْزَمُوا مَوَاقِفَكُمْ، لا تَحَرَّكُوا شَيْئًا حَتَّى تُصَلُّوا الظُّهْرَ، فَإِذَا صَلَّيْتُمُ الظُّهْرَ فَإِنِّي مُكَبِّرٌ تَكْبِيرَةٌ، فَكَبِّرُوا وَاسْتَعِدُّوا. وَاعْلَمُوا أَنَّ التَّكْبِيرَ لَمْ يُعْطَهُ أَحَدٌ قَبْلَكُمْ، وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أُعْطِيتُمُوهُ تَأْيِيدًا لَكُمْ ثُمَّ إِذَا سَمِعْتُمُ الثَّانِيَةَ فَكَبِّرُوا، ولتستتم عُدَّتُكُمْ، ثُمَّ إِذَا كَبَّرْتُ الثَّالِثَةَ فَكَبِرُّوا، وَلْيُنَشِّطْ فِرْسَانُكُمُ النَّاسَ لِيَبْرُزُوا وَلِيُطَارِدُوا، فَإِذَا كَبَّرْتُ الرَّابِعَةَ فَازْحَفُوا جَمِيعًا حَتَّى تُخَالِطُوا عَدُوَّكُمْ، وَقُولُوا: لا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلا بِاللَّهِ!

Maksudnya: “Beradalah di tempat masing-masing mengikut arahan dengan iltizam, dan tunaikan solat Zohor terlebih dahulu sebelum bergerak. Setelah selesai solat, aku akan bertakbir, maka laungkan takbir bersamaku dan bersedia. Ketahuilah bahawa ucapan takbir tidak diberikan kepada umat yang dahulu. Kamu semua dikurniakan ucapan ini bagi membantu kamu. Apabila kamu mendengar takbir kedua, ikutilah dan bersedialah. Apabila mendengar takbir ketiga, cergaskan kuda kamu untuk sedia bergerak, dan apabila kamu mendengar takbir keempat, maka maralah ke arah musuh dan bertempur dengan berzikir ‘لا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلا بِاللَّهِ’. (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 3/535)

Selesai menunaikan sembahyang Zuhur, Sa’ad RA pun mengarahkan qari bertugas untuk membacakan Surah al-Anfal (Surah al-Jihad). Kesan daripada mendengar bacaan itu, semangat tentera menjadi berkobar dengan tingginya. Setelah selesai bacaannya, Sa’ad RA pun bertakbir dan diikut dengan penuh bergema.

Perlawanan Seorang Sama Seorang

Ketika takbir ketiga, Ghalib ibn Abdillah al-Asadi keluar dari barisan menentang pertarungan satu lawan satu. Cabaran ini diterima oleh Hurmuz, iaitu salah seorang panglima Parsi yang segera mara ke hadapan. Ghalib tidak mengambil masa yang lama untuk menundukkan dan mengalahkan Hurmuz. Dia berjaya menawannya dan membawanya masuk dalam barisan pasukan Muslim.

Pertempuran pertama mengikut adat peperangan pada zaman itu dimulakan dengan pertarungan antara panglima yang ditugaskan. Kesemua panglima Islam berjaya menewaskan lawan masing-masing dan tiada seorang pun daripada kalangannya yang tewas.

Keadaan ini menjadikan semangat tentera Islam lebih tinggi dan sekaligus melemahkan tentera Parsi. Lalu, memaksa Panglima Rustum untuk terus menggerakkan tenteranya bagi menyerang tentera Islam dengan sengit.

Tentera Islam menghadapi tentangan dengan penuh gagah berani, tetapi mereka menghadapi masalah tentera bergajah yang tidak pernah dilihat oleh kuda sehingga menjadikannya sukar dikawal. Sa’ad RA mengarahkan para pemimpin pasukan Bani Asad untuk merancang cara bagi mengatasinya.

Lalu pada hari berikutnya, diatur pasukan berkuda dan unta dengan pemanah dan anggota yang ditugaskan untuk menghapuskan anggota badan gajah tersebut dan memotong kelengkapan yang ada padanya. Tindakan tersebut berjaya menjadikan gajah itu tanpa pemandu dan tidak berperanan.

Hari pertama dalam pertempuran al-Qadisiyyah ini juga disebut dengan peristiwa Armats, di mana pasukan Parsi menumpukan serangan pada Bujailah, yang merupakan sisi terkuat dari barisan pasukan Islam. Jumlah kekuatan serangan pasukan Parsi ini mencapai lima puluh dua ribu anggota tentera, yang dibantu oleh sembilan pasukan gajah.

Pasukan Parsi melempar kawat berduri di hadapan jalan pasukan berkuda Bujailah agar terhalang untuk bergerak. Lalu mereka menyerang dengan anak-anak panah mereka. Sa’ad menyedari apa yang sedang dihadapi oleh Bujailah dan Kindah. Maka beliau pun mengeluarkan perintahnya kepada kabilah paling kuat dan paling berani, yang berada di sayap kanan Bujailah, iaitu kabilah Bani Asad, “Lindungi Bujailah dan orang-orang yang ada bersama mereka.”

Maka Bani Asad menjawab perintah Sa’ad. Pahlawan berkuda Bani Asad cekap – dan setara dengan seribu pasukan berkuda – iaitu Tulaihah bangkit berucap: “Wahai kaumku! Sesungguhnya yang disebut namanya, itulah yang dipercayai. Andaikata orang ini – yakni Sa’ad –  mengetahui bahawa ada kelompok lain yang lebih mampu menolong Bujailah berbanding kamu semua, pasti dia akan meminta tolong kepada mereka. Kerana itu, mulakanlah dengan kegarangan kamu semua. Melangkah majulah menuju mereka laksana singa-singa jantan yang lapar. Kamu semua disebut Asad (Singa) agar melakukan seperti apa yang dilakukan oleh singa. Menyeranglah, jangan hanya bertahan. Kembalilah berperang dan janganlah lari. Alangkah baiknya suku Rabi’ah. Keajaiban apa yang mereka lakukan dan pada abad mana mereka musnah? Apakah akan sampai kepada sikap-sikap mereka? Cukupkanlah sikap-sikap kamu, nescaya Allah SWT akan menolong kamu. Lawanlah mereka dengan garang, Bismillah!”

(Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, hlm. 589; al-Qadisiyyah wa al-Ma’arik al-’Iraq oleh Muhammad Ahmad Basyamil, hlm. 618; seperti dalam Ashab al-Rasul, 3/478)

Al-Ma’rur bin Suwaid – salah seorang yang ikut serta dalam perang al-Qadisiyyah – berkata: “Bani Asad melawan pasukan Parsi dengan garang. Demi Allah, mereka masih terus mencederakan tentera-tentera Majusi dan menggempur mereka sehingga terhalang oleh pasukan gajah. Lalu mereka pun mundur. Kemudian keluarlah salah seorang pahlawan mereka untuk beradu dengan Tulaihah. Tanpa membuang masa, Tulaihah dengan pantas menyerangnya dan akhirnya dapat membunuhnya.

Maka keluarlah Jalinus, dan dia segera disekat oleh Tulaihah sehingga kedua-duanya saling berhadapan. Tulaihah melibas pedangnya ke arah kepala Jalinus dan mengenainya, namun topi perangnya sangat kuat sehingga pedangnya hanya mempu merosakkannya dan tidak menembusi kepalanya. Jalinus pun terlepas daripada maut. Maka Tulaihah pun menyusun syair:

Aku libas Jalinus dengan satu libasan,

            Di kala kaki-kaki kuda di tengah kekangan.

Peristiwa Armats tersebut benar-benar milik Bani Asad, kerana tidak ada seorang pun yang memberikan sumbangan seperti yang mereka berikan pada hari itu, dengan dipimpin oleh Tulaihah bin Khuwailid yang setara dengan seribu pahlawan berkuda. Mereka menunjukkan kepahlawanan yang mengkagumkan tentera Islam secara keseluruhan.

Ketika berdiri menyampaikan ucapan kepada kaumnya (Kindah), al-Asy’ath bin Qais al-Kindi menyebut: “Wahai kaum Kindah, sungguh luar biasa Bani Asad! Libasan apa yang dapat mengusir mereka? Dan serangan bagaimana yang mampu memukul mundur mereka dari tempatnya?”

Hal ini juga jelas menunjukkan keikhlasan golongan murtad, iaitu mereka yang melakukan kesalahan murtad seperti Tulaihah yang pernah mengaku menjadi Rasul selepas wafatnya Rasulullah SAW, kemudiannya telah bertaubat. Maka, Khalifah ‘Umar RA membatalkan larangan Abu Bakar RA sebelumnya yang melarang penyertaan mereka yang pernah murtad itu untuk menyertai jihad.

Antara ucapan yang bersemangat oleh Tulaihah ialah:

ابْتَدِئُوا الشِّدَّةَ، وَأَقْدِمُوا عَلَيْهِمْ إِقْدَامَ اللُّيُوثِ الْحَرْبَة، فَإِنَّمَا سُمِّيتُمْ أَسَدًا لِتَفْعَلُوا فِعْلَةَ الأَسَدِ

Maksudnya: “Mulalah dengan keras, dan maralah ke atas mereka seperti terkaman singa-singa dalam peperangan. Sesungguhnya kamu dinamakan singa kerana kamu mampu melakukan perbuatan seperti singa.”

Tulaihah menunjukkan keberanian dalam pertempuran bagi membuktikan keikhlasan taubatnya kerana Allah SWT bagi menegakkan agama-Nya melalui pengorbanan di medan perang. Tindakannya memberikan semangat yang tinggi kepada kabilahnya, Bani Asad sehingga mengorbankan 500 orang syuhada’. Kabilah Kindah yang bertahan, bertindak menyerang bagi membantu pasukan Bani Asad yang sengit menghadapi musuh, sehinggalah mereka berjaya mengundurkan musuh.

Pada hari pertama, peperangan berlanjutan sehingga ke waktu Subuh, namun kedua-dua pasukan kental bertahan dan tiada tanda-tanda peperangan akan tamat. Tentera Islam menghadapi kesukaran untuk menembusi tentera Parsi yang menggunakan gajah sebagai senjata utama dalam tentera mereka.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

Leave a Reply