Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan satu hadith berkaitan kewajipan mengikut sunnah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Daripada Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin al-‘As R.Anhuma telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعَاً لِمَا جِئْتُ بِهِ
Maksudnya: “Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga nafsunya mengikut apa yang telah aku datangkan dengannya (ajaran yang aku bawa)”.
Riwayat Ibn Abi ‘Asim di dalam Al-Sunnah (15) & Al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah (104). Hadis Hasan Sahih menurut Imam Nawawi.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:
Pertama: Ibn Battal berkata: “Makna hadis ini ‘Barangsiapa yang sempurna iman, maka sudah pasti dia mengetahui hak Rasulullah SAW dan kelebihannya lebih utama daripada hak ibu bapanya dan seluruh manusia. Ini kerana Rasulullah SAW yang menyelamatkan mereka daripada api neraka dan memberi petunjuk kepada mereka daripada kesesatan.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 1/66)
Kedua: Mengikut Hawa Nafsu Seumpama Bertuhankannya.
Ibadah itu adalah taat dan patuh. Mereka yang menurut hawa nafsu mereka bermakna telah menjadi hamba kepada hawa nafsunya sendiri. Sesungguhnya hawa nafsu akan sentiasa bersama manusia sehingga ia dapat menguasai manusia tersebut. Maka jadilah segala tindak- tanduknya mengikut hawa nafsu. Manusia akan mengikuti bisikan hawa nafsunya sendiri meskipun pada asalnya bercanggah dengan fikiran dan akalnya.
Begitulah halnya orang yang menuruti hawa nafsu. Mereka menutup telinga serta penglihatan mereka dari mendengar dan melihat kebenaran. Sentiasa berada di dalam kesesatan. Kata Ibn ‘Abbas R.Anhuma: “Hawa nafsu itu adalah tuhan yang di sembah di bumi”, kemudian beliau membacakan firman Allah SWT:
أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا
Maksudnya: Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati?
(Surah Al-Furqan: 43)
Ketiga: Hakikat Kecintaan Terhadap Allah & Rasul
Kata al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah: “Seorang insan itu tidak menjadi mukmin yang sempurna imannya sehingga menjadikan kecintaannya mengikut apa yang telah dibawakan oleh Nabi SAW dari segi arahan dan juga larangan. Mereka menyukai apa yang telah diarahkan dan membenci apa yang dilarang.” (Lihat al-Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1148)
Al-Quran telah banyak menyebutkannya, antaranya:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
(Surah An-Nisa’: 65)
Aplikasi Hadith dalam Kehidupan
Mereka yang mengaku cintakan Allah SWT dan Nabi SAW seharusnya meletakkan hawa nafsunya juga bertepatan dengan apa yang telah dibawakan oleh Nabi SAW melalui risalah dan wahyu yang telah diutuskan oleh Allah SWT. Telah berkata Yahya bin Mu’az Rahimahullah: “Tidaklah benar bagi mereka yang mendakwa cintakan Allah namun tidak menjaga hudud-Nya (had-had batasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT).”
Para Ulama mengaitkan perbincangan hadis ini dengan golongan- golongan yang melakukan bid’ah dengan mengatakan munculnya bid’ah adalah kerana golongan ini mendahulukan hawa nafsunya ke atas arahan-arahan syara’. Disebabkan itu, golongan ini (pelaku bid’ah) dinamakan dengan Ahlul Hawa’. Mereka tidak iltizam melakukan apa yang telah thabit di dalam Al-Quran dan al-Sunnah bahkan mereka menambahnya sesuatu yang tidak ada di dalam agama seolah-olah agama ini ada kekurangannya.
Wajib ke atas setiap muslim itu membentangkan segala amalnya di atas neraca Al-Quran dan al-Sunnah dan berusaha agar segala amalnya itu bertepatan dengan keduanya.
Hadis ini mendidik kita agar mengutamakan perintah Rasulullah SAW. Jangan sesekali kita membelakangi syariat Allah SWT dalam perkara yang berlawanan dengan kehendak hawa nafsu kita. Bersabar dan berdiri teguhlah dengan perintah Allah SWT, sekalipun diri terasa berat dan menahan kepahitan.
Bersabarlah, sekalipun ditentang oleh manusia yang menghalang kehendak Rasulullah SAW dilaksanakan, kerana tiada kemanisan yang lebih enak dan nikmat kecuali kemanisan iman.
Rasulullah SAW telah pun wafat, apa yang mampu kita bantu dan memberatkan neraca amal kita adalah dengan membantu Baginda SAW dengan menghidupkan sunnah-sunnah Baginda SAW dan mempertahankan syariat yang telah dibawanya. Dengan itu juga dapat menunjukkan rasa kecintaan kita terhadap Rasulullah SAW.
Semoga Allah menjadikan kita golongan yang sentiasa berniat ke- arah kebaikan. Amin.
Info Lanjut: Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahu a‘lam.