Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bilakah waktu sesuai untuk qadha’ solat? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Ibn Mas’ud RA dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi pelaksanaan ibadah haji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258)

Telah ijma’ ulama’ bahawa mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, wajib mengqadha’ solat tersebut. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 3/71). Di sisi mazhab Syafi’i, Imam al-Nawawi memperincikan masalah ini seperti berikut: Sekiranya seseorang meninggalkan solat kerana uzur syari’e seperti tertidur atau lupa yang tidak melampaui had, maka sunat baginya untuk segera menqadha’ solatnya, namun sekiranya seseorang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie maka wajib baginya untuk segera menqadha’ solatnya. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 3/70-71).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan qadha’ bagi solat fardhu yang telah luput boleh dilakukan pada bila-bila waktu. Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلاَّ ذَلِكَ

Maksudnya: “Barang siapa yang terlupa menunaikan solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila teringat, tiada kaffarah baginya melainkan demikian itu.”

Riwayat al-Bukhari (597)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Golongan yang berpendapat bahawa seseorang yang meninggalkan solat tidak perlu mengqadhakannya berpegang dengan dalil ucapan yang terdapat di dalam hadis ini. Ini kerana, ternafinya syarat membawa kelaziman kepada ternafinya perkara yang disyaratkan. Maka menjadi kelaziman bahawa sesiapa yang tidak terlupa, dia tidak perlu solat.

Manakala golongan yang berpendapat bahawa sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja perlu untuk qadha berhujah bahawa ia diambil daripada mafhum al-khitab (mafhum di dalam hadis). Maka ia menjadi suatu tanbih (peringatan) dengan sesuatu yang rendah kepada sesuatu yang lebih tinggi. Ini kerana, apabila diwajibkan kepada orang yang terlupa untuk melakukan qadha sedangkan dosa terangkat darinya, maka adalah lebih utama untuk orang yang meninggalkannya dengan sengaja melakukan qadha.

Kata beliau lagi: Wajibnya qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja adalah berdasarkan khitab (ucapan) yang awal. Ini kerana, dia diperintahkan untuk melakukan solat serta ia menjadi suatu tanggungjawab ke atas dirinya. Maka apabila ia ditinggalkan, ia menjadi satu hutang di atas dirinya dan hutang sama sekali tidak akan gugur kecuali setelah ia dilangsaikan. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2/71).

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Adapun bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja yakni kerana mengingkari kewajipannya, maka kafirlah dia dan terkeluar daripada agama Islam. Manakala bagi mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya, maka dia mendapat dosa dan hendaklah dia menggantikannya semula. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/103-104).

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

  رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Leave a Reply