Soalan:

Apakah hukum seorang guru mengajar al-Quran secara online dalam keadaan berjunub?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

 لاَ تَقْرَأُ الحَــائِضُ وَلاَ الجُــنُبُ شَــْـيئاً مِنَ القُرأَنِ

Maksudnya:Tidak dibolehkan wanita di dalam haid dan yang berjunub membaca sedikit pun daripada al-Quran.”

Riwayat al-Tirmizi (131) dan Ibn Majah (596)

Riwayat al-Tirmizi (131) dan Ibn Majah (596) Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Awasim wa al-Qawasim (4/32) menyatakan dalam sanad hadith ini terdapat Ismail bin Ayyash yang meriwayatkan selain daripada ahli negerinya dan hadith ini terdapat dua jalur dan kedua-duanya dhaif.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak boleh bagi seseorang itu mengajar al-Quran dalam keadaan berjunub/hadas besar. Hal ini kerana membaca al-Quran perlu dalam keadaan suci. Adapun, bagi mereka yang membaca al-Quran dalam keadaan haid, ia dibenarkan mengikut mazhab Maliki dengan syarat perempuan tersebut penghafaz al-Quran atau guru yang mengajar al-Quran. (Lihat Hasyiah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir, 1/284; Jawahir al-Iklil, 1/32; Fath al-Bari, 1/486)

Justeru, di sini kami katakan sekiranya seseorang itu dalam keadaan hadas besar disebabkan bersama dengan suami/isteri, maka ia kembali kepada hukum asal yakni haram untuknya membaca al-Quran. Adapun, jika seorang perempuan itu dalam hadas besar disebabkan haid, maka hukumnya dibolehkan dengan syarat dia seorang penghafaz al-Quran atau guru yang mengajar al-Quran.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhir dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Leave a Reply