Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato mensyarahkan hikmah berkenaan bersangka baik kepada-Nya dari kitab al-Ihkam Syarh al-Hikam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ibn Abbad Rahimahullah berkata: “Asal kaedah yang dibina pada makna ini ialah mentahkikkan perihal kehambaan pada maqam Husnu al-Zhan kepada Allah SWT.” Justeru pengarang menyatakan hikmah ini:
إِنْ لَمْ تُحَسِّنْ ظَنَّكَ بِهِ لِأَجْلِ وَصْفِهِ، فَحَسِّنِ ظَنَّكَ بِهِ لِوُجُوْدِ مُعَامَلَتِهِ مَعَكَ، فَهَلْ عَوَّدَكَ إِلَّا حَسَنًا، وَهَلْ أَسْدَى إِلَيْكَ إِلَّا مِنَنًا؟
Maksudnya: “Jika engkau tidak bersangka baik terhadap Allah SWT kerana sifat-sifat-Nya yang mulia itu, maka hendaklah kamu bersangka baik kepada Allah disebabkan kedapatan muamalah-Nya bersamamu. Tidakkah engkau sedar Dia telah pun mengurniakanmu dengan bermacam pemberian yang baik-baik? Dan tidakkah engkau lihat betapa banyaknya kenikmatan pemberian-Nya yang sedang engkau merasai?.”
Mafhum Hikmah
- Husnu zhan (bersangka baik) kepada Allah SWT sama ada kerana sifat-Nya atau kurnia-Nya. Sewajarnya ia dijadikan pegangan hidup kerana Dia- lah Allah SWT yang berhak akan segala kesempurnaan.
- Asy-Syurnubi berkata: “Bahawa berbaik sangka kepada Allah SWT termasuk salah satu daripada maqam yakin yang sepatutnya wujud pada urusan dunia dan akhirat seseorang.”
- Husnu zhan kepada Allah SWT kerana sifat-Nya yang membawa maksud melihat kesempurnaan-Nya yang sangat cantik dan tidak melakukan sesuatu kecuali yang indah.
- Husnu zhan kepada Allah SWT kerana muamalah-Nya, membawa maksud melihat kepada belas ihsan-Nya yang telah dahulu dan nikmat kurnia-Nya yang diperolehi ketika ini.
- Syeikh Zarruq Rahimahullah membahagikan Husnu Zan kepada tiga bahagian iaitu:
- Kerana sifat-Nya, yang merupakan kedudukan tinggi.
- Kerana ihsan-Nya, lebih rendah daripada sebelumnya.
- Kerana cinta dan Husnu zhan kepada-Nya, ialah yang paling sempurna.
- Ibn Abbad Rahimahullah berkata: “Manusia terbahagi kepada dua:
- Golongan khawwas yang berhusnu zhan (berbaik sangka) di atas segala sifat yang tinggi.
- Golongan awam yang berhusnu zhan (berbaik sangka) di atas segala kurniaan dan limpahan rezeki.
Kedua-duanya amat berbeza iaitu yang pertama tidak takut sebarang perubahan, sedangkan yang kedua itu amat takut serta khuatir.”
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan-lah hatiku di atas agama-Mu.”