Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara melawan syahwat? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kata Ibn Ajibah Rahimahullah yang berbunyi: “Rawatan hawa nafsu yang sudah bertapak pada hati serta sudah menjadi parasit, ianya amat sukar untuk diubati sehingga melemahkan para perawat untuk mengubatinya. Akan tetapi, yang mampu mengeluarkannya ialah warid Ilahi (kurniaan Ilahi) dengan inayah-Nya, melalui perantaraan atau tanpa perantaraan sebagaimana yang diterangkan dalam hikmah ini.”

لا يُخْرِجُ الشَّهْوَةَ مِنَ القَلْبِ إِلَّا خَوْفٌ مُزْعِجٌ أَوْ شَوْقٌ مُقْلِقٌ.

Maksudnya: “Nafsu syahwat tidak dapat dikeluarkan daripada dalam hati, kecuali dengan perasan takut yang menggetarkan atau perasaan rindu yang menggelisahkan.”

Mafhum Hikmah

  • Apabila nafsu syahwat sudah mendalam, menggambarkan ia mempunyai pengaruh kekuatan yang luar biasa dan ianya tidak dapat diusir kecuali dengan kekuatan yang lebih besar. Adapun takut yang menggetarkan ialah ketakutan akan balasan seksaan Allah SWT, atau rindu akan apa yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.
  • Pada suatu hari, Umar bin al-Khattab RA berpesan kepada tentera kaum Muslimin yang akan berangkat ke medan perang. Beliau berkata: “Wahai kaum Muslimin! Barangsiapa yang gembira dengan kebaikannya dan menyesal dengan kejahatannya, maka dialah orang yang beriman.”
  • Apabila kamu bersedekah, atau kamu sembahyang dua rakaat, atau kamu mengingati Allah SWT sebanyak-banyaknya, lalu sanubarimu merasa lapang, jiwamu terasa tenang, maka ketahuilah bahawa kamu adalah orang yang beriman. Begitu juga apabila kamu menyesal dan bersedih terhadap kemaksiatan dan dosa- dosamu kepada Allah SWT.
  • Ibn Taimiyah Rahimahullah berkata: “Definisi takut adalah segala hal yang dapat mencegahmu dari perbuatan maksiat, sedang apa yang melebihi batasan itu tidak diperlukan.”
  • Sebahagian ulama Rahimahumullah mengatakan: “Makna takut kepada Allah SWT, iaitu apabila kamu duduk sendirian, kamu menyedari seolah-olah Allah SWT memerhatikan semua makhluk- Nya dari atas singgahsana-Nya.”
  • Salah seorang salafus soleh mengatakan: “Takut adalah kamu beranggapan bahawa kamu akan dilahap api neraka jahannam, atau seolah-olah kamu tiada berdaya, bahkan tidak mampu “لا إله إلا الله mengucapkan

Akhir kalam, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a’lam

Leave a Reply