Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kaedah pentarjihan jika sekiranya keburukan itu lebih besar daripada kebaikan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya terdapat keburukan yang lebih besar dari sesuatu kebaikan, maka hendaklah dijauhi keburukan tersebut tanpa melihat kepada kebaikan yang boleh diperolehi darinya.

Sebagai contoh dalam isu pengharaman arak. Firman Allah SWT:

 يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.

(Surah al-Baqarah: 219)

Imam Izzudin menjelaskan: “Kebaikan arak dan judi adalah dari perspektif perniagaan dan keuntungan, sedangkan ia membawa keburukan kepada akal manusia dan permusuhan.”

Maka keburukan yang lebih besar tesebut perlulah ditolak walaupun ia dapat mendatangkan kebaikan. Justeru, syariat mengharamkan arak secara berperingkat bagi mengelakkan berlakunya kepayahan masyarakat Arab untuk meninggalkannya secara total. Ini kerana yang sudah menjadikannya sebagai adat zaman berzaman.

Bahkan, pada hakikatnya, hikmah-hikmah ini terkait antara satu dengan yang lain, dan ianya terhenti pada satu hikmah yang utama, iaitulah menjaga akal fikiran manusia. Dan ini telah dijelaskan oleh Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti ketika menerangkan tentang hakikat maksud hikmah, iaitulah suatu sifat maknawi yang menjadi sebab kepada suatu hukum. Seperti sebab pengharaman arak, kerana ianya memabukkan, dan akal tidak dapat dipelihara melainkan dengan cara menjauhinya dari perkara yang memabukkan. (Lihat al-Muzakkirah fi Usul al-Fiqh, hlm. 50)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply