Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, saya telah meninggalkan puasa sebanyak 12 hari ketika mengandung dan 30 hari semasa menyusukan anak mengikut nasihat doktor dan suami. Saya telah selesai membayar semua fidyah. Persoalan saya, adakah saya wajib menggantikan semua puasa-puasa yang telah ditinggalkan itu? Terima kasih
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 184)
Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihar Ruh al-Ma’ni,14/212)
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ menyatakan:
- Wanita yang sedang hamil dan menyusukan anak sekiranya mereka khuatir atas diri mereka sendiri jika berpuasa maka dibolehkan untuk berbuka dan menggantikannya pada hari lain dan tidak ada fidyah yang harus dibayar oleh mereka seperti orang yang sakit.
- Sekiranya mereka khuatir akan anak dalam kandungan jika mereka berpuasa maka dibolehkan bagi mereka untuk berbuka puasa dan wajib digantikan balik puasa tersebut dan dikenakan fidyah. (Lihat al-Majmu’, 6/267)
Kesimpulan
Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan anda perlu menggantikan satu bulan puasa yang telah anda tinggalkan kerana ketika itu anda risau akan diri dan anak anda. Hadith Aisyah menyebut:
كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid).”
Riwayat Muslim (335)
Semoga perbahasan ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita semua dalam beragama.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”