Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa maksud syaitan dirantai dalam hadith berkenaan Ramadhan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
Riwayat al-Bukhari (1898) dan Muslim (1079)
Dalam lafaz yang lain, disebutkan:
إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.”
Bagaimana dengan maksud syaitan yang dibelenggu dalam hadith ini?
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan bahawa al-Hulaimi berkata: “Ada kemungkinan bahawa yang dimaksudkan adalah syaitan yang mencuri berita langit. Belenggu ini berlaku pada malam-malam Ramadhan, bukan pada siang harinya, kerana pdaa masa turunnya al-Quran, syaitan-syaitan telah dihalang daripada mencuri berita. Kemudian mereka dibelenggu untuk lebih menjamin keamanan. Ada juga kemungkinan yang dimaksudkan adalah syaitan tidak dapat mengganggu umat Islam kerana mereka sibuk melaksanakan ibadah puasa, di mana dalam puasa tersebut, mereka berusaha untuk mengalahkan nafsu syahwat. Di samping itu, mereka juga sibuk berzikir dan membaca al-Quran.”
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar lagi: “…Berdasarkan sebahagian pandangan, yang dimaksudkan syaitan dalam hadith ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang (bukan semua syaitan). Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Sahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim… (sebagaimana di atas).” Lihat Fath al-Bari, 4/114
Jika diteliti, terdapat satu bab dalam Sahih Ibn Khuzaimah yang dinamakan:
بَابُ ذِكْرِ الْبَيَانِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا أَرَادَ بِقَوْلِهِ: «وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ» مَرَدَةُ الْجِنِّ مِنْهُمْ، لَا جَمِيعَ الشَّيَاطِينِ «إِذِ اسْمُ الشَّيَاطِينِ قَدْ يَقَعُ عَلَى بَعْضِهِمْ
Maksudnya: “Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi SAW: ‘Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.” Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, 1/188
Syeikh Anwar al-Kashmiri menyebut: “(Dibelenggu syaitan-syaitan) di sisi riwayat Tirmidzi: Jin yang ganas. Justeru, tidak lazim bahawa dirantai keseluruhannya.” Lihat Faidh al-Bari ‘ala Sahih al-Bukhari, 3/327
Menurut Imam al-Qurtubi sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya…” Lihat Fath al-Bari, 4/114
Hal ini juga sepertimana dijelaskan oleh Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, dimana dalam menjelaskan hadith di atas, beliau menyebut:
- Syaitan diikat daripada orang yang mengerjakan puasa dengan menjaga syarat dan adab ketika berpuasa. Adapun bagi mereka yang tidak mengerjakan puasa dengan benar, maka syaitan tidaklah terbelenggu daripadanya.
- Meskipun seandainya kita mengatakan bahawa syaitan tidak mengganggu orang yang berpuasa, tetap sahaja maksiat boleh berlaku disebabkan faktor lain, iaitu dorongan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan, adat kebiasaan dan gangguan daripada syaitan manusia.
- Boleh juga dengan maksud bahawa syaitan yang diikat adalah syaitan secara umum dan yang memiliki pasukan, manakala yang tidak memiliki pasukan tidaklah dibelenggu.
Dasarnya, ia membawa maksud bahawa kejahatan itu berkurangan pada bulan Ramadhan dan hal ini jelas berlaku (pada bulan Ramadhan) berbanding pada bulan-bulan yang lain. Lihat al-Mufhim li ma Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 3/136
Menurut Dr. Muhammad Uqlah pula, maksud tambatan atau ikatan tersebut adalah dengan kurangnya godaan dan menyakiti mereka. Inilah sepertimana dijelaskannya dalam kitab Ahkam al-Siyam.
Berdasarkan apa yang telah dinyatakan di atas, kami cenderung bahawa maksud syaitan yang dibelenggu itu adalah:
- Hanya sebahagian syaitan sahaja yang dibelenggu iaitu yang besar atau ganas (مَرَدَةُ الْجِنِّ) manakala selebihnya masih ada.
- Ia juga membawa maksud syaitan tidak bebas menggoda orang-orang yang beriman berbanding bulan-bulan yang lain.
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Hulaimi yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai memberi ujian/godaan kepada umat Islam sepertimana di luar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir. Lihat Fath al-Bari, 4/114
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”