Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menyumpah sesama muslim dengan sumpahan yang buruk?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menyumpah atau melaknat bukanlah sifat Muslim yang sejati. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. melaporkan hadith secara marfu’:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ
Maksudnya: “Bukanlah sifat mukmin sejati yang banyak mencela, suka melaknat, dan yang berbuat keji serta bercakap kotor.”
Direkodkan oleh Imam At-Tirmidzi (1977) Direkodkan oleh Imam Ahmad (3829) Ibn Hibban (192) dan Al-Hakim (22) Dinilai oleh At-Tirmidzi sebagai hadith hasan gharib.
Imam al-San’ani menjelaskan bahawa perkataan-perkataan yang bersifat keras, carutan dan provokatif adalah haram sama ada dalam bilangan yang banyak mahupun sedikit. Hadis di atas juga memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa melaknat dan mencarut bukan daripada sifat seorang Mukmin yang sempurna imannya, namun larangan ini terkecuali kepada laknat ke atas orang kafir, laknat ke atas peminum arak dan juga kepada sesiapa yang dilaknat oleh Allah dan rasulnya. (Lihat Subul al-Salam, 4/360)
Sekiranya anda menggunakan kalimah Allah s.w.t. ketika bersumpah, anda seharusnya membayar kafarah bagi pengakuan sumpah itu. Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya memiliki sifat sabar kerana ia melambangkan peribadi Muslim yang unggul.
Perbuatan meletakkan tangan di atas surah Yasin ketika marah tiada dalam amalan sunnah. Amalan yang thabit adalah Rasulullah s.a.w. mengajar kita sekiranya marah hendaklah berwudhu’. Sekiranya sedang berdiri, hendaklah duduk, dan memohon pertolongan kepada Allah s.w.t.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”