Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bilakah kefardhuan solat lima waktu dimulakan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Adakah ia dimulakan pada waktu Subuh, selepas berlangsungnya Isra’ Mi’raj, atau pada waktu Zohor? Begitu juga, bagaimana pengenalan waktu awal dan akhir.

Dalam menjawab persoalan ini, para ulama’ menyatakan ia difardhukan pada waktu Zohor. Hal ini berdasarkan riwayat daripada al-Hasan, katanya:

 كَانَتْ أَوَّلَ صَلَاةٍ صَلَّاهَا رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم الظّهْر

Maksudnya: “Solat yang pertama kali dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah solat Zohor.”

Riwayat Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (1/453)

Disebabkan itu, ia juga dinamakan sebagai Solat al-’Ula. Abu Barzah al-Aslami berkata kepada orang yang bertanya kepadanya tentang waktu-waktu Nabi SAW solat:

كَانَ يُصَلِّي الهَجِيرَ – وَهِيَ الَّتِي تَدْعُونَهَا الأُولَى – حِينَ تَدْحَضُ الشَّمْسُ [ أَيْ تَزُولُ عَنْ وَسَطِ السَّمَاءِ ]…).

Maksudnya: “Nabi menunaikan solat Hajir[1] (Zohor) yang kamu panggilnya solat yang pertama, ketika gelincir matahari..”

Riwayat al-Bukhari (547, 599)

Ibn Rajab berkata: Dalam riwayat ini: Bahawa bagi Solat Zohor ada dua nama yang lain. Pertama, al-Hajir, kerana ia dilakukan solat pada waktu yang sangat panas. Kedua, al-’Ula (yang pertama). Dikatakan, dinamakan demikian (al-’Ula) kerana ia merupakan solat yang pertama yang dilakukan Jibril bersama Nabi SAW di Ka’bah, dan dia adalah solat yang pertama dilakukan oleh Rasulullah selepas malam al-Isra’. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 3/81)

Ibn Daqiq al-’Id berkata: Dikatakan bagi solat Zohor sebagai solat al-’Ula (yang pertama) kerana ia merupakan solat pertama didirikannya oleh Jibril bersama Nabi SAW, seperti yang disebut dalam hadith Jibril AS menjadi imam kepada Nabi SAW.” (Lihat Ihkam al-Ahkam, 1/167)

Ibn ‘Abd al-Hadi berkata: Solat yang pertama kali dilakukan oleh Nabi SAW daripada solat lima waktu secara mutlak adalah solat Zohor di Makkah, dengan ittifaq (kesepakatan ulama’). (Lihat Subul al-Huda wa al-Rasyad fi Sirah Khairi al-’Ibad, 3/113)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi ﷺ bersabda:

أَمَّنِى جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ عِنْدَ الْبَيْتِ مَرَّتَيْنِ فَصَلَّى بِىَ الظُّهْرَ حِينَ زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَتْ قَدْرَ الشِّرَاكِ وَصَلَّى بِىَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِىَ – يَعْنِى الْمَغْرِبَ – حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِىَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ وَصَلَّى بِىَ الْفَجْرَ حِينَ حَرُمَ الطَّعَامُ وَالشَّرَابُ عَلَى الصَّائِمِ فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ صَلَّى بِىَ الظُّهْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ وَصَلَّى بِىَ الْعَصْرَ حِينَ كَانَ ظِلُّهُ مِثْلَيْهِ وَصَلَّى بِىَ الْمَغْرِبَ حِينَ أَفْطَرَ الصَّائِمُ وَصَلَّى بِىَ الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ وَصَلَّى بِىَ الْفَجْرَ فَأَسْفَرَ ثُمَّ الْتَفَتَ إِلَىَّ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ هَذَا وَقْتُ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِكَ وَالْوَقْتُ مَا بَيْنَ هَذَيْنِ الْوَقْتَيْنِ

Maksudnya: “Jibril AS mengimamiku di Ka’bah dua kali. Pertama kali, beliau solat Zohor bersamaku ketika matahari tergelincir ke barat dan ketika itu panjang bayangan sama dengan panjang tali sandal. Lalu beliau solat ‘Asar bersamaku ketika panjang bayangan sama dengan panjang benda. Kemudian beliau melaksanakan solat Maghrib bersamaku ketika orang ramai berbuka puasa. Lalu beliau melaksanakan solat ‘Isya’ bersamaku ketika cahaya merah saat matahari tenggelam hilang. Kemudian beliau solat Fajar (solat Subuh) bersamaku ketika telah haram makan dan minum bagi orang yang berpuasa. Kemudian esok harinya, ia solat Zohor bersamaku ketika panjang bayangan sama dengan panjang benda. Lalu ia solat ‘Asar bersamaku ketika panjang bayangan sama dengan dua kali panjang benda. Kemudian beliau solat Maghrib ketika orang ramai berbuka puasa. Lalu beliau solat ‘Isya’ hingga sepertiga malam. Kemudian ia solat Subuh bersamaku setelah itu waktu terang. Kemudian ia berpaling padaku dan berkata, “Wahai Muhammad, inilah waktu solat sebagaimana waktu solat para nabi sebelum engkau. Batasan waktunya adalah antara dua waktu tadi.”

Riwayat Abu Daud (393) dan Ahmad (1/333)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Nota hujung:

[1] Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Al-Hajir atau al-hajirah bermaksud waktu yang sangat panas. Adapun dinamakan solat Zohor dengan solat Hajir adalah kerana waktu Zohor telah memasuki waktu yang panas. (Lihat Fath al-Bari, 3/351)

Leave a Reply