Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Perlukah atau tidak menjaga tiga belas larangan apabila haid ketika tawaf?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Wanita yang datang haid ketika melakukan tawaf harus mematuhi semua larangan yang ditetapkan dalam ihram, kecuali jika dia telah membuat niat secara bersyarat sebelumnya. Namun, jika pada saat berada di miqat dia tidak melakukan niat secara bersyarat, maka dia harus mematuhi semua larangan tersebut dan menyelesaikan semua perbuatan umrah sehinggalah dia bertahallul.
Ibn Baz menyatakan bahawa: Larangan dalam ihram adalah apa yang dihalalkan bagi muhrim (orang yang berihram) melakukannya sebelum niat, ia dilarang selepas berniat ihram samada lelaki atau perempuan seperti mencabut rambut, memotong kuku dan memakai wangian. (Lihat al-Tahqiq wa al-Idhah li Kathir min Masail al-Haj wa al-Umrah wa al-Ziarah, hlm.33)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”