Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami mauqif dan sikap Imam Syafi’i terhadap pemerintah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kisah Imam al-Syafi‘i bertembung dengan Khalifah Harun al-Rasyid tatkala beliau difitnah menentang khalifah. Akan tetapi sebenarnya Imam al-Syafi‘i tidak terbabit sedikit pun dengan kelompok Alawiyin dalam menentang golongan ‘Abbasiyin.

Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadhan, ketika Imam al-Syafi‘i dibawa ke Baghdad dengan kedua belah tangannya dirantai. Dalam keadaan dibelenggu, para tahanan disuruh berjalan kaki bermula dari Yaman sehingga ke Baghdad, yang mana perjalanan mengambil masa selama dua bulan. Keadaan menjadi semakin sukar apabila tiba di Baghdad, di mana belenggu masih belum lagi dibuka. Keadaan ini menyebabkan, darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada malam itu, bermulalah sesi hukuman. Para tahanan dibawa seorang demi seorang untuk masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Mereka ditanya dengan beberapa soalan, lalu dibunuh dengan leher mereka dipenggal. Darah yang keluar dari leher yang dipenggal itu tidak berselerak kerana ia sudah dialas dengan kulit binatang.

Namun, Imam al-Syafi‘i berada dalam keadaan yang sungguh tenang ketika menunggu giliran sambil memohon pertolongan daripada Allah SWT. Beliau dipanggil untuk menghadap khalifah. Imam al-Syafi‘i menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki diikat dengan rantai, Imam al-Syafi‘i menghadap khalifah. Semua para pembesar memerhatikan beliau.

Assalamualaika ya Amiral Mukminin wabarakatuh.” Demikian ucapan salam beliau kepada khalifah dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.” “Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,” jawab khalifah. Kemudian khalifah bertanya: “Mengapa engkau mengucapkan salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat keizinan daripadaku?” Imam al-Syafi‘i  menjawab: “Saya tidak mengucapkan kata, “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati khalifah sendiri.” Mendengar kata-kata itu, hati khalifah menjadi lembut. Kemudian Imam al-Syafi‘i membaca ayat 55 daripada surah al-Nur yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”

Setelah membaca ayat di atas, Imam al-Syafi‘i berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janji-Nya, kerana sekarang Tuanku telah menjadi khalifah, jawapan salam Tuanku tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati khalifah menjadi bertambah lembut. Khalifah Harun al-Rasyid bertanya kembali: “Mengapa engkau menyebarkan fahaman Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan Tuanku dengan baik apabila saya masih dirantai begini. Jika belenggu ini dibuka, Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu khalifah memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat hampir keseluruhan tubuh badan lmam al-Syafi‘i.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam al-Syafi‘i duduk dengan baik kemudian membaca surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

Kemudian, Imam al-Syafi‘i melanjutkan, “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada Tuanku itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Tuankulah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana Tuanku adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu ‘Abbas RA. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah SAW. Maka kalau saya dituduh berfahaman Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawapan Imam al-Syafi‘i. Khalifah Harun al-Rasyid menundukkan kepalanya, lalu berkata kepada Imam al-Syafi‘i: “Mulai hari ini, bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam al-Syafi‘i.”

Ibn Abd al-Bar menyebut kenyataan Imam al-Syafi‘i: Tatkala aku dihadapkan, sedang Muhammad bin al-Hasan bersama khalifah. Beliau mengucapkan sama dengan ucapan kepada pemuda ‘Alawi yang telah dibunuh. Lantas aku berkata, “Wahai Amir al-Mukminin. Saya bukan Talibi atau ‘Alawi. Saya dibawa bersama mereka kerana tuduhan palsu. Saya keturunan al-Muttalib bin Abd Manaf bin Qusai. Saya memiliki sedikit ilmu dan fiqh. Tuan Qadhi mengetahui perkara ini. Saya adalah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin al-Syafi‘i bin al-Sa’ib bin ‘Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abd Manaf.”

Khalifah bertanya: “Engkau Muhammad bin Idris?” Lantas aku menjawab: “Benar, wahai Amir al-Mukminin.” Khalifah berkata: “Muhammad bin al-Hasan tidak pernah menyebutkan dirimu.” Lantas khalifah menoleh ke arah Muhammad bin al-Hasan dan bertanya: “Wahai Muhammad, adakah ucapan orang ini benar?” Beliau menjawab: “Ya benar. Beliau memiliki darjat yang tinggi dalam ilmu. Dakwaan dan tuduhan kepadanya tiada kena mengena dengan dirinya.”

Khalifah berkata: “Ambillah orang ini bersamamu sehingga aku membuat siasatan.” Lantas Muhammad bin al-Hasan membawaku keluar. Beliau menjadi sebab Allah menyelamatkan diriku. (Lihat Imam al-Syafi‘i: Riwayat Hidup, Ketokohan dan Murid (terj.) oleh Ibn Abd al-Bar al-Qurtubi, hlm. 52)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

Leave a Reply