Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum apabila saya sudah mula solat, lalu saya berhenti tinggalkan solat untuk buka kipas, aircond atau menutup tv sebab bunyi bising mengganggu, kemudian baru solat semula? Sebabnya, sudah menjadi kebiasaan saya lepas berwuduk terus solat. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat merupakan salah satu kefardhuan yang utama dalam agama Islam. Ia merupakan ibadah yang paling mulia, yang mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan peribadi seseorang bahkan keislamannya. Justeru, amat penting bagi kita dalam memahami hakikat daripada ibadah solat ini.
Al-Hasan al-Basri pernah mengungkapkan: “Wahai anak Adam, solat adalah ibadah yang dapat menghalangmu daripada maksiat dan kemungkaran. Sekiranya solat tidak menghalangmu daripada kemaksiatan dan kemungkaran, maka hakikatnya engkau belumlah mendirikan solat.” (Lihat al-Durr al-Manthur, 6/466).
Berdasarkan nasihat ini, kita dapat memahami bahawa solat yang dilakukan dengan benar, maka ia akan memberi kesan yang baik dalam sakhsiah diri seseorang.
Dalam menjawab soalan di atas, Allah SWT melarang umat Islam untuk sengaja membatalkan amalannya dengan sengaja tanpa apa-apa sebab yang mengharuskannya untuk melakukan demikian. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”
(Surah Muhammad: 33)
Dalam hal ini, para ulama membezakan hal keadaan orang yang ingin menghentikan solat dengan melihat dari sudut sama ada solat tersebut merupakan solat fardhu ataupun solat sunat, serta sama ada ia disebabkan oleh uzur syar‘i ataupun bukan.
Jika sekiranya solat tersebut merupakan solat fardhu, maka haram hukumnya bagi seseorang tersebut dengan tanpa uzur syar‘i yang membolehkannya membatalkan solatnya tersebut berdasarkan ayat yang disebutkan di atas.
Di dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (34/51) menyebutkan bahawa membatalkan ibadah yang wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak dibolehkan dengan sepakat para fuqaha’. Hal ini kerana membatalkan ibadah tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah satu perbuatan yang sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan solat.
Walaubagaimanapun, jika disebabkan oleh sebab yang dibolehkan oleh syarak dan keadaan yang mendesak dan kecemasan seperti menyelamatkan diri sendiri atau orang lain daripada bahaya contohnya, maka ia dibolehkan berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الضَّرُورَةُ تُبِيحُ االمَحْظُورَاتِ
Maksudnya: “Keadaan yang darurat itu mengharuskan perbuatan-perbuatan yang haram.”
Selain itu, turut dinyatakan di dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (34/51) bahawa jika membatalkannya disebabkan oleh sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka hukumnya adalah dibolehkan, seperti membatalkan solat bagi membunuh ular atau menyuruh orang lain membunuhnya, atau khuatir akan kehilangan harta benda yang berharga sama ada harta benda sendiri atau orang lain, atau menyelamatkan orang yang meminta pertolongan, mengejutkan orang yang terlalai atau tertidur yang sedang dihampiri oleh ular berbisa yang tidak boleh untuk diberikan peringatan dengan menyebut tasbih sahaja
Bahkan, hal ini juga terpakai kepada menyelamatkan orang bukan Islam seperti yang disebutkan oleh al-Buhuti dalam kitabnya bahawa wajib menyelamat seorang kafir yang dihormati darahnya disebabkan oleh perjanjian perlindungan dan keamanan daripada jatuh ke dalam telaga dan seumpamanya, seperti ular yang menghampiri kepadanya, sama seperti menyelamatkan seorang muslim daripada perkara tersebut dengan syarat bahawa dihormati darahnya. Begitu juga wajib untuk menyelamatkan orang yang lemas atau terbakar. Justeru itu, hendaklah dia memberhentikan solatnya tersebut tidak kira sama ada solat tersebut fardhu ataupun sunat. Begitu juga, walaupun sudah singkat waktunya, ini kerana ia boleh diganti dengan qadha’ berbeza halnya dengan orang yang lemas dan seumpamanya. Sekiranya dia enggan membatalkan solatnya untuk menyelamatkan orang yang lemas tersebut, maka dia dikira sebagai berdosa. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 1/380).
Manakala, sekiranya seseorang itu sedang mendirikan solat sunat, maka hal keadaan ini adalah lebih ringan berbanding solat fardhu, sama seperti jika seseorang itu berpuasa sunat. Para ulama memberikan kelonggaran dalam keadaan seperti ini dengan mengharuskan untuk seseorang itu membatalkan solat atau puasanya disebabkan oleh keperluan (hajat). Perkara ini disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya bahawa sesiapa melaksanakan puasa sunat atau solat sunat dan seumpamanya daripada amalan sunat kecuali haji, maka dia boleh membatalkannya bersandarkan kepada hadith sahih, “Seorang yang berpuasa sunat berkuasa terhadap dirinya sendiri, jika dia ingin terus berpuasa atau berbuka puasa, maka dia boleh melakukan demikian.” Justeru itu, diqiaskan hal ini kepada solat dan seumpamanya. Oleh itu, firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu,” merujuk kepada ibadah yang fardhu. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3/459-460).
Di samping itu, Rasulullah SAW menyuruh umatnya untuk mendirikan solat dalam keadaan khusyuk dan tenang. Allah SWT berfirman:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”
(Surah al-Mu’minun: 1-2)
Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa, solat tanpa khusyuk dan tanpa kehadiran hati walaupun sah dan mendapat pahala, namun begitu kadar pahala yang didapati berdasarkan kekhusyukan seseorang di dalam solat tersebut. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/547)
Justeru dapatlah difahami bahawa kita dituntut untuk khusyuk di dalam solat dengan cara memberi fokus kepada solat tersebut dan tidak mencampur-adukkannya dengan urusan lain dari hal keduniaan. Ibn Kathir menyebutkan hal ini dalam tafsirnya dengan berkata: “Khusyuk di dalam solat itu hanyasanya diperoleh dengan mengosongkan fikiran daripada perkara lain ketika mendirikannya, hanya sibuk dengan perbuatan dan bacaan di dalam solat sahaja dan mengutamakan solat sebagai perkara pertama berbanding perkara-perkara yang lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/461)
Justeru, kita hendaklah memberikan fokus dan tumpuan yang sepenuhnya ketika menunaikan solat dan menghindarkan segala gangguan yang boleh menyebabkan konsentrasi terganggu seperti bunyi telefon, televisyen dan sebagainya.
Kesimpulan
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami katakan bahawa jika seseorang itu sedang mendirikan solat fardhu, maka dia tidak dibolehkan untuk membatalkan solatnya semata-mata bagi membuka kipas atau penghawa dingin mahupun menutup televisyen. Ini kerana semua perkara itu belum lagi mencapai tahap darurat atau kecemasan sehingga membolehkannya untuk membatalkan solat seperti mana yang sudah dijelaskan di atas.
Walau bagaimanapun, jika seseorang itu sedang mendirikan solat sunat, maka dia dibolehkan untuk menghentikan solatnya bagi perkara-perkara yang penting termasuklah menutup televisyen kerana bunyi bising atau membuka kipas kerana panas. Ditambah lagi kedua-dua hal tersebut (yakni panas dan bunyi bising) boleh mengganggu fokus dan kekhusyukan seseorang dalam solat. Sekalipun begitu, kami tetap ingin tekankan di sini, sebaik-baiknya dia menyempurnakan solat tersebut terlebih dahulu sebelum dia melakukan pekerjaan penting tersebut supaya dapat menjaga kehormatan solat dan tidak mempermain-mainkan ibadah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)