Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada simpanan wang di dalam ASB. Di mana simpanan itu adalah sebahagian wang untuk perbelanjaan kahwin (tahun hadapan) dan beberapa perkara yang sudah ada tujuannya. Simpanan adalah hasil berjimat cermat sehingga menghadkan keperluan hidup sedia ada. Akan tetapi, sekiranya simpanan tahun ini cukup haul untuk mengeluarkan zakat. Adakah zakat itu wajib? Kerana wang tersebut bukan simpanan tetap, tetapi simpanan yang memang sudah ada tujuan untuk digunakan. Sekiranya wajib zakat, adakah boleh sekiranya jumlah wang tersebut tidak dibayar kepada institusi kutipan zakat tetapi diberikan terus kepada orang miskin (ahli keluarga/saudara mara — penerima zakat sedia ada) yang memang diketahui miskin tegar di kampung saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, terdapat beberapa syarat bagi wajib zakat. Di antaranya ialah:

  • Islam: Justeru, zakat tidak dikenakan kepada orang kafir sekalipun mereka turut diperintahkan untuknya dan diazab kerana meninggalkannya.
  • Memiliki nisab.
  • Cukup haul. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/286).

Tiga syarat ini ada dijelaskan dengan lebih terperinci oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji sebagaimana berikut:

Pertamanya, Islam. Orang kafir tidak diwajibkan berzakat. Ini berdasarkan hadith Mu‘az R.A sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. Kewajipan berzakat dituntut setelah mereka menerima dakwah dan masuk Islam. Ini berdasarkan kata-kata Abu Bakar R.A:

هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِى فَرَضَها رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Ini adalah kewajipan berzakat yang telah difardhukan oleh Rasulullah SAW ke atas orang Islam.

         Riwayat al-Bukhari (1386)

Perkataan “ke atas orang Islam” itu jelas menunjukkan bahawa orang kafir tidak dituntut berzakat. Bagaimanapun, zakat yang tidak wajib ke atas orang kafir itu ialah zakat harta. Namun begitu, bagi zakat fitrah pula, mereka wajib mengeluarkannya untuk keluarga mereka yang beragama Islam serta yang berada di bawah tanggungannya.

Keduanya, memiliki nisab. Nisab ialah had minimum harta yang dimiliki.

Ketiganya, cukup setahun haul (حول) Qamariah memiliki nisab. Zakat tidak wajib dikeluarkan kecuali setelah genap setahun memilikinya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.

Riwayat Abu Daud (1573)

Syarat tersebut dikecualikan bagi zakat tanaman, buah-buahan dan galian serta tidak disyaratkan genap setahun memilikinya. Oleh itu, zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/16-17).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya wang simpanan termasuk dalam jenis harta yang wajib dikeluarkan zakat apabila ia memenuhi syarat-syaratnya iaitu cukup nisab dan haul. Mata wang wajib dikenakan zakat kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah sama dengan emas dan perak. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli. Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram).[1] Dalam erti kata lain, nisab zakat wang simpanan sama bersamaan nilai 85 gram emas zakat dikenakan sebanyak 2.5% ke atas jumlah baki terakhir dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab.[2]

Dalilnya adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا ، فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.

Riwayat Abu Daud (1572)

Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (21/29-30), para fuqaha bersepakat bahawa nisab emas yang menjadikannya wajib dikeluarkan zakat adalah 20 dinar, jika genap 20 dinar maka zakatnya adalah 2.5 %.

Justeru, kami katakan bahawa wang simpanan ASB tersebut wajib dikeluarkan zakat jika cukup nisab dan haulnya.

Kemudian, berkenaan pertanyaan yang kedua iaitu wang zakat itu tidak dibayar kepada institusi kutipan zakat tetapi diberikan terus kepada orang miskin (penerima zakat sedia ada).

Dalam hal ini, Para fuqaha’ bersepakat bahawa pemerintah mempunyai hak untuk mengutip dan mengagihkan zakat, serta pemerintah hendaklah mengurusnya secara sistematik dan tersusun. Ini supaya zakat tersebut dapat diuruskan dengan efisyen serta memastikan ia disalurkan kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan. (Lihat Fiqh al-Zakat al-Qaradawi, 2/208)

Justeru, pemerintah wajib untuk melantik amil untuk memungut zakat. Rasulullah SAW dan para khalifah selepas Baginda telah menghantar wakil-wakil untuk memungut zakat. Ini kerana dalam kalangan masyarakat ada yang tidak mengetahui kewajiban  untuk mengeluarkan zakat atau bakhil, maka wajib atas pemimpin untuk melantik wakil bagi memungutnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/168).

Mengikut undang-undang di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah kuasa negeri. Tugas tersebut dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang di bawah Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada tahun 2006 telah menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Baitulmal adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak. Walau bagaimanapun, perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan seperti adalah berdosa. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah (ulil amri) pada perkara kebaikan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/zakat-wang-simpanan/. Diakses pada 25 April 2024.

[2] Lihat https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-wang-simpanan/. Diakses pada 25 April 2024.

Leave a Reply