Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai solat, adakah dibenarkan membaca al-Fatihah ketika masih belum berdiri tegak betul selepas bangun dari sujud? Saya lihat ada yang baca Bismillah sebelum berdiri betul dan sambung dengan Alhamdulillahi selepas berdiri tegak dan melipat tangan di badan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”

Riwayat Ibnu Majah (828)

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefardhuan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283)

Hal ini memberi maksud bahawa tidak sah solat jika surah al-Fatihah tidak dibaca semasa menunaikan solat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah dirumuskan oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafi’i. Inilah juga yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu’, 3/288)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa berdiri tegak dalam solat merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun solat. Barangsiapa yang tidak berdiri tegak dalam solat maka solatnya tidak sah melainkan terdapat keuzuran. Hal ini sebagaimana  sabda Baginda SAW:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”

Riwayat al-Bukhari (1066)

Dalam isu ini kami kata sesiapa yang membaca al-Fatihah sebelum berdiri dengan sempurna selepas bangun daripada sujud dalam keadaan di mana dia mampu untuk berdiri tegak, maka solatnya dikira tidak sah. Ini kerana dia telah mendahului rukun membaca al-Fatihah daripada rukun berdiri tegak dalam solat. Solat yang dilakukan tidak mengikut tertib adalah tidak sah dan perlu diulangi semula melainkan terdapat masalah dan keuzuran padanya. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan bahawa urutan rukun solat diikuti dengan betul bagi mengelakkan solat menjadi tidak sah.

Seseorang itu dianggap berdiri apabila dia berdiri tegak. Sekiranya dia membongkok tanpa sebab yang dimaafkan (عُذرٌ) hingga tapak tangannya menyentuh lutut, solatnya batal disebabkan tiada rukun berdiri pada satu bahagian solat tersebut. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/129-130)

Syeikh Ibn Baz dalam isu ini juga menyatakan bahawa: Tidak dibenarkan bagi makmum yang mampu berdiri untuk membaca al-Fatihah ketika dia duduk, ataupun ketika dia sedang mahu berdiri, sebaliknya dia wajib menangguhkan bacaannya sehingga dia berdiri dengan sempurna. (Lihat Fatawa Syeikh Ibn Baz, 11/229)

Justeru kami katakan sesiapa yang memulakan bacaan al-Fatihah  sebelum berdiri dengan sempurna pada rakaat yang kedua atau seterusnya, maka tidak sah solat yang didirikannya. Ini kerana dia telah mendahului rukun daripada tempat yang  sepatutnya. Oleh yang demikian hendaklah bagi sesiapa yang mendirikan solat memastikan setiap gerak geri di dalamnya dilakukan dengan sempurna agar solat yang didirkaanya itu tidak terbatal.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

(Surah Ibrahim: 40-41)

Wallahua’lam

Leave a Reply