Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan hendak bertanya, dinosaur wujud tak ustaz? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas haiwan yang dipanggil sebagai dinosaur ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, dinosaur ialah reptilia pupus (kebanyakan bersaiz besar) daripada order Saurischia dan Ornithischia.[1] Manakala dalam Ensiklopedia Dunia dinyatakan bahawa dinosaur ialah nama sejenis reptilia yang hidup berjuta-juta tahun dahulu. Perkataan dinosaur berasal daripada dua perkataan Yunani yang bermakna cicak yang dahsyat. Tetapi, dinosaur bukan cicak. Malah, saiz sesetengah dinosaur adalah menakutkan. Dinosaur yang paling besar adalah haiwan yang paling besar pernah hidup di darat. Beratnya lebih daripada 10 kali ganda berat gajah dewasa. Hanya beberapa jenis paus membesar lebih daripada dinosaur ini.

Dinosaur yang pertama wujud di bumi sekitar 220 juta tahun dahulu. Selama lebih kurang 150 Juta tahun, ia menguasai dunia. la tinggal di kebanyakan bahagian di dunia dan di pelbagai persekitaran, daripada paya hingga kepada dataran yang terbentang luas. Kemudian, kira-kira 63 juta tahun dahulu, dinosaur tiba-tiba pupus. Dinosaur berbeza-beza dari segi saiz, rupa, dan tabiat. Tetapi jenis yang terkenal termasuk raksasa seperti Apatosaurus, Diplodocus, dan Tyrannosaurus. Apatosaurus, juga dikenali sebagai Brontosaurus, membesar lebih kurang 21 meter panjangnya. Diplodocus membesar lebih panjang lagi, sehingga lebih kurang 27 meter. Apatosaurus dan Diplodocus adalah pemakan tumbuhan. la mempunyai kepala yang kecil, leher dan ekor yang benar-benar panjang. Tyrannosaurus adalah pemakan daging yang ganas. Tingginya hampir tiga meter pada paras pinggul dan mempunyai kepala yang besar, dan gigi yang panjang, runcing. Tetapi bukan semua dinosaur adalah raksasa. Dinosaur yang paling kecil lebih kurang sebesar ayam.

Dari beberapa segi, dinosaur adalah seperti kebanyakan reptilia masa kini. Misalnya, sesetengahnya mempunyai gigi, tulang, dan kulit seperti buaya dan reptilia yang hidup pada masa kini. Barangkali banyak yang mempunyai kecerdasan seperti buaya. Tetapi dinosaur berbeza dari segi lain daripada reptilia masa kini. Misalnya, tiada reptilia moden membesar sebesar dinosaur besar. Satu lagi perbezaan penting adalah dari segi postur. Kaki cicak, penyu, dan kebanyakan reptilia lain tumbuh dari sisi badan. Struktur kaki tersebut memberikan haiwan ini postur yang melebar. Tetapi kaki dinosaur terletak di bawah badan seperti kaki kuda. Struktur kaki ini mengangkat badan dinosaur dari permukaan tanah dan membolehkan beberapa jenis dinosaur berjalan menggunakan kaki belakang.

Dinosaur hidup dalam sebahagian besar Era Mesozoik, iaitu zaman dalam sejarah bumi yang zamannya lebih kurang 240 juta hingga 63 juta tahun dahulu. Era Mesozoik juga dikenali sebagai Zaman Reptilia kerana reptilia menguasai darat, laut, dan udara pada masa itu. Reptilia yang paling penting tergolong dalam kumpulan haiwan yang dikenali sebagai archosaurs (reptilia yang menguasai). Di samping dinosaur, kumpulan ini termasuk thecodont, iaitu leluhur kepada dinosaur, buaya; dan reptilia terbang. Menjelang akhir Era Mesozoik, kesemua archosaur kecuali buaya telah pupus, dan Zaman Reptilia pun berakhir.

Ahli sains tidak tahu mengapa dinosaur pupus. Selama bertahun-tahun, mereka berpendapat bahawa dinosaur tidak meninggalkan keturunan. Tetapi ahli sains kini percaya bahawa burung adalah keturunan dinosaur kecil pemakan daging. Ahli sains tahu tentang dinosaur dengan mengkaji fosil dinosaur – iaitu tulang, gigi, telur, dan jejak dinosaur yang terpelihara. Mereka juga mengkaji reptilia hidup dan haiwan lain, yang menyerupai dinosaur dari beberapa segi.

Dunia dinosaur. Semasa dinosaur hidup, bumi jauh berbeza daripada sekarang. Misalnya, Pergunungan Alps, Himalaya dan banyak ciri-ciri permukaan bumi, belum terbentuk. Tumbuhan berbunga yang pertama tidak wujud sehingga akhir Era Mesozoik. Mamalia dalam Era Mesozoik adalah benar-benar kecil dan banyak tumbuhan dan haiwan yang biasa terdapat pada masa itu kini jarang dijumpai atau telah pupus.

Bumi dan iklim. Ahli sains percaya bahawa benua dahulunya terbentuk daripada satu daratan yang dikelilingi oleh laut yang amat luas. Pada Era Mesozoik, daratan ini mula berpecah menjadi beberapa benua. Benua ini perlahan-lahan hanyut terpisah ke arah kedudukannya kini. Tetapi berabad-abad lamanya, dinosaur boleh merayau bebas di daratan yang menghubungkan benua. Apabila benua terpisah, ciri permukaan bumi dan iklimnya berubah. Satu masa dahulu, laut cetek meliputi sebahagian kesan Amerika Utara, Eropah, dan selatan Asia. Hutan tebal menyempadani dataran yang kering, manakala paya dan delta terbentuk di sepanjang pantai. Pada akhir Era Mesozoik, Pergunungan Rocky mula terbentuk dan laut yang meliputi Amerika Utara mula kering. Sepanjang sebahagian besar Era Mesozoik, dinosaur mungkin hidup dalam iklim hampir tropika. Kawasan dekat laut mungkin mengalami cuaca sederhana lembap sepanjang tahun. Kawasan pedalaman mungkin mengalami musim kering tahunan. Menjelang akhir Era Mesozoik, iklim menjadi semakin sejuk dan kering.

Hidupan tumbuhan dan haiwan juga berubah pada Era Mesozoik. Pada pertengahan pertama era ini, tumbuh-tumbuhan yang paling biasa adalah konifer (pokok yang mengeluarkan kon). Tumbuh-tumbuhan lain terdiri daripada sikad, paku pakis, lumut, dan paku gajah. Haiwan darat, di samping dinosaur, termasuk buaya, katak, serangga, cicak penyu, dan beberapa jenis mamalia kecil. Reptilia yang dinamakan ichthyosaur dan plesiosaur hidup di laut, bersama halwan seperti kima, karang, ubur ubur, siput, bunga karang, sotong, tapak sulaiman, dan jerung, dan ikan lain. Pterosaur ialah reptilia yang bersayap dan boleh terbang.

Menjelang akhir Zaman Reptilia, tumbuhan berbunga terdapat dengan banyak. Pokok di hutan termasuk sipres, ginkgo, mapel, oak, palma, poplar, dan redwood. Burung telah wujud dan ular pertama telah muncul. Haiwan laut termasuk ikan moden, berserta ikan sardin sepanjang 3.7 meter, penyu besar, dan cicak raksasa yang dikenali sebagai mosasaur.

Bagaimana dinosaur hidup. Bertahun-tahun lamanya manusia menganggap bahawa dinosaur adalah makhluk yang cemerlap dan bergerak perlahan seperti reptilia yang hidup moden. Walau bagaimanapun, bukti fosil menunjukkan bahawa beberapa jenis dinosaur — terutamanya theropod kecil — mungkin lebih aktif lagi daripada kebanyakan reptilia masa kini. Di samping itu, kebanyakan dinosaur lebih menyerupai burung daripada reptilia moden dari segi struktur kaki dan tapak kaki dan postur tegak. Ahli sains umumnya bersetuju bahawa dinosaur adalah leluhur yang lebih rapat kepada burung daripada reptilia masa kini. Mereka percaya bahawa kajian tentang burung boleh membantu kita mengetahui kehidupan dinosaur.

Bagaimana dinosaur hidup bergantung sebahagiannya pada hakikat sama ada ia ektotermik (berdarah sejuk), seperti reptilia moden, atau endotermik (berdarah panas), seperti burung. Suhu badan haiwan ektotermik berubah mengikut suhu persekitarannya. Misalnya, suhu badan cicak meningkat apabila udara menjadi panas. Jika udara menyejuk, cicak kehilangan haba badan. Haiwan endotermik mempunyai suhu badan yang tetap, agak panas. Haiwan demikian lebih aktif daripada haiwan yang suhu badannya berubah-ubah.

Ahli sains tidak bersetuju sama ada dinosaur adalah ektotermik atau endotermik. Mengikut pendapat tradisional, dinosaur dianggap sebagai ektotermik. Tetapi kebanyakan ahli sains sekarang percaya bahawa beberapa dinosaur tentunya endotermik untuk mengekalkan tahap keaktifannya. Pakar lain berpendapat bahawa haiwan besar kehilangan haba badan dengan perlahan. Oleh yang demikian, dinosaur yang besar, tentunya mempunyai suhu badan yang panas, tetap dan agak aktif, walaupun ia adalah ektotermik.

Hidup berkumpulan. Bukti fosil menunjukkan bahawa lebih daripada 20 jenis dinosaur mungkin menduduki kawasan tertentu pada masa yang sama. Banyak jenis, termasuk ceratopsian, dinosaur bermuncung itik, dan stegosaur, hidup dalam kumpulan. Jenis-jenis lain seperti apatosaur dan tyrannosaur, mungkin hidup bersendirian atau dalam kumpulan kecil. Sesetengah pakar berpendapat bahawa dinosaur, seperti banyak burung dan reptilia moden, adalah haiwan berwarna-warni. Sesetengah jenis dinosaur mungkin menarik perhatian pasangan dengan menunjukkan bahagian badan yang berwarna terang. Misalnya, kresta kepala dinosaur bermuncung itik dan ropol tengkuk ceratopsian mungkin berwarna terang dan dengan itu menarik perhatian pasangan.

Mengapa dinosaur pupus. Selama lebih kurang 150 juta tahun, dinosaur menguasai darat, dan lain-lain reptilia besar menguasai udara dan laut. Kemudian lebih kurang 63 juta tahun dahulu, reptilia yang besar ini pupus dan mamalia mengambil alih bumi.

Ahli sains telah memajukan banyak teori untuk menerangkan kejadian ini. Sesetengah pakar percaya bahawa dinosaur pemakan tumbuhan tidak dapat memakan tumbuhan jenis baru yang wujud pada kala kretaseus, dan kebuluran. Apabila ia pupus, begitu juga dinosaur pemakan daging, yang memakannya. Pakar lain berpendapat bahawa dinosaur tidak berjaya bersaing dengan mamalia untuk mendapatkan makanan dan dengan itu kalah dalam perjuangan untuk hidup.

Barangkali teori yang paling meluas diterima melibatkan perubahan iklim bumi. Menjelang akhir kala kretaseus, iklim menyejuk dan musim sejuk menjadi terlalu sejuk bagi dinosaur. Dinosaur adalah terlalu besar untuk berhibernasi dalam sarang, dan ia tidak berbulu untuk melindunginya daripada kesejukan. Kesejukan juga boleh mengganggu pola pembiakan dinosaur. Kajian tentang aligator, buaya, dan penyu moden menunjukkan bahawa suhu sarang reptilia ini menentukan jantina anaknya. Suhu yang lebih panas atau lebih sejuk melahirkan sama ada kesemuanya anak jantan atau betina. Oleh yang demikian, suhu yang menyejuk di tempat bersarang dinosaur boleh menyebabkan anak yang lahir terdiri daripada satu jantina sahaja. Tanpa pasangan jantina yang berlawanan dinosaur pun pupus.

Satu lagi teori mengemukakan bahawa asteroid yang besar telah melanggar bumi pada akhir kala krestaseus. Mengikut teori ini, hentaman asteroid tersebut melemparkan berbilion-bilion tan debu atau hablur, jika asteroid tersebut melanggar lautan ke dalam atmosfera. Haba daripada hentaman tersebut mungkin menyebabkan kebakaran besar di seluruh muka bumi. Kepulan asap dan puing menyekat cahaya matahari berbulan-bulan lamanya. Biji dan akar tumbuhan darat dapat hidup dalam tempoh tanpa cahaya ini, tetapi tumbuh-tumbuhan berhenti membesar. Kekurangan tumbuh-tumbuhan menyebabkan kematian banyak dinosaur pemakan tumbuhan. Apabila dinosaur pemakan tumbuhan mati, begitu juga dinosaur pemakan daging yang memakan dinosaur tersebut. Kegelapan tersebut menyebabkan suhu di darat turun di bawah takat beku selama enam hingga 12 bulan. Perubahan iklim ini mengurangkan lagi populasi dinosaur. Ahli sains mengemukakan teori bahawa mamalia kecil dan burung dilindungi daripada kesejukan oleh bulu, dan dapat hidup dengan memakan biji-bijian, kekacang, dan tumbuh-tumbuhan yang mereput.

Sesetengah ahli sains percaya bahawa bukan kesemua dinosaur pupus pada akhir kala krestaseus. Tulang yang berselerakan yang dijumpai di Amerika Syarikat, Peru, India, dan China, menunjukkan bahawa sesetengah dinosaur mungkin hidup pada awal zaman Mamalia. Ramai ahli sains merasakan bahawa tiada satu teori yang menerangkan dengan lengkap mengapa dinosaur pupus. Mereka mencadangkan bahawa dinosaur tidak dapat menerima perubahan yang berlaku di bumi pada akhir kala krestaseus. Oleh yang demikian, beberapa sebab mungkin menyebabkan berakhirnya zaman Reptilia.

Mengetahui tentang dinosaur. Ahli sains yang mengkaji hidupan prasejarah dikenali sebagai ahli paleontologi. Mereka mempunyai banyak cara untuk mengetahui tentang dinosaur. Satu cara penting adalah dengan mengkaji fosil dinosaur. Misalnya, sebatang gigi dinosaur boleh memberitahu pakar sama ada haiwan tersebut memakan tumbuhan atau daging dan berapa besarnya. Ahli paleontologi juga mengetahui tentang dinosaur dengan memerhatikan haiwan yang sama sifatnya dengan dinosaur. Misalnya, mereka mungkin mengkaji gajah dan badak air dalam kehidupan liar untuk mengetahui kehidupan haiwan darat yang besar.

Penemuan dinosaur. Sebelum tahun 1800-an, tiada sesiapa pun tahu bahawa dinosaur pernah wujud. Mereka yang menjumpai gigi atau tulang dinosaur tidak tahu apakah benda tersebut. Kemudian pada tahun 1822, Mary Ann Mantell, isteri kepada Gideon Mantell, doktor Inggeris, menjumpai sebatang gigi yang besar tertanam sebahagiannya dalam batuan. Dia menunjukkan gigi tersebut kepada suaminya yang mengumpul fosil. Mantel mendapati bahawa gigi tersebut menyerupai gigi cicak Amerika Selatan yang dinamakan iguana. Dia mengatakan bahawa gigi tersebut berasal daripada reptilia bak iguana yang besar, yang dinamakan Iguanodon (gigi iguana).

Dalam beberapa tahun, tinggalan beberapa jenis lain reptilia besar yang pupus telah dijumpai. Pada tahun 1841, Sir Richard Owen, ahli sains Inggeris, mengatakan bahawa reptilia tersebut tergolong dalam kumpulan reptilia yang tidak seperti mana-mana haiwan yang hidup. Owen menamakan kumpulan tersebut Dinosauria. Anggota kumpulan ini dikenali sebagai dinosaur.

Pada akhir tahun 1800-an dan awal tahun 1900-an, mendapan besar tinggalan dinosaur dijumpai di sebelah barat Amerika Utara, Eropah, Asia, dan Afrika. Satu daripada mendapan tersebut terletak di Morrison Formation, satu siri lapisan batuan di Amerika Syarikat yang menganjur merentangi sebahagian Colorado, Utah, dan Wyoming. Pada hari ini, kebanyakan penemuan dinosaur dibuat di China, Mongolia, Argentina, dan Australia. Sesetengahnya juga berlaku di Amerika Syarikat dan Kanada. Purata enam jenis dinosaur baru diperikan setiap tahun.

Mengendalikan fosil dinosaur. Muzium dan institusi pendidikan lain, membiayai ahli sains yang mencari dan mengkaji fosil dinosaur. Ahli paleontologi mencari fosil di kawasan tempat angin dan air telah menghakis tanah dan mendedahkan lapisan batuan yang dalam, yang mengandungi fosil. Selepas mengesan lokasi sesuatu rangka, ahli paleontologi mengeluarkan batuan di atas fosil. Dalam banyak kes, mereka menggali sebahagian batuan yang mengandungi fosil. Kemudian mereka menutup batuan dan fosil tersebut dengan kain dan kapur paris. Kapur paris mengering menjadi lapisan perlindungan yang keras dan fosil tersebut dihantar ke makmal.

Di makmal, pekerja membersihkan tulang dan gigi dan membaiki tulang yang patah. Pakar kemudiannya membina semula rangka dengan menyambungkan tulang tersebut pada kerangka logam. Dalam sesetengah kes, tulang yang hilang boleh digantikan dengan tulang yang dibuat daripada kaca serat, plaster, atau plastik. Ahli sains jarang menemui kesemua tulang dinosaur yang besar. Oleh yang demikian, mereka menganggarkan panjang haiwan tersebut berdasarkan tulang yang dijumpai.

Sesetengah muzium membuat model dinosaur untuk dipamerkan. Pakar mengkaji rangka dan cuba membayangkan bagaimana rupanya, jika diliputi otot dan kulit. Mereka kemudiannya membina rangka logam yang menyerupai rangka tersebut dan menggunakan dawai dan kasa untuk membentuk badan dinosaur. Akhirnya, mereka meliputi model tersebut dengan “kulit” dan mengecatnya supaya kelihatan realistik. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 6/205-214).

Dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya tidak terdapat dalam nas al-Quran dan hadith yang jelas, yang mensabitkan atau menafikan kewujudan makhluk-makhluk sebelum Nabi Adam A.S di atas muka bumi, termasuklah dinosaur ini. Namun, di sana ada ayat dalam al-Quran yang difahami oleh sebahagian ulama yang menunjukkan kepada kewujudan makhluk-makhluk di atas muka bumi sebelum Adam A.S, sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.’ Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): ‘Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.’

(Surah al-Baqarah: 30)

Syaikh Ibn ‘Uthaimin menyatakan, perkataan para Malaikat, “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan),” menunjukkan dan menguatkan lagi bahawa mereka adalah khalifah kepada mereka yang terdahulu, dan bahawa terdapat makhluk lain di atas muka bumi sebelum itu yang menumpahkan darah dan membuat kerosakan di dalamnya. Maka para malaikat pun bertanya kepada Tuhan mereka ‘Azza wa Jalla: “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan),” seperti yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu yang datang sebelum mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim; al-Fatihah wa al-Baqarah, 1/113).

Justeru, dinosaur-dinosaur ini boleh jadi termasuk sebahagian daripada makhluk-makhluk tersebut yang wujud di atas muka bumi.

Malah, bukanlah sesuatu yang menghairankan berkenaan wujudnya makhluk sebesar ini, kerana telah sabit dalam hadith yang sahih bahawa Adam A.S tingginya ialah enam puluh hasta, seperti yang diriwayatkan menerusi hadith Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ وَطُولُهُ سِتُّونَ ذِرَاعًا، ثُمَّ قَالَ: اذْهَبْ فَسَلِّمْ عَلَى أُولَئِكَ مِنَ المَلاَئِكَةِ، فَاسْتَمِعْ مَا يُحَيُّونَكَ، تَحِيَّتُكَ وَتَحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ، فَقَالَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ، فَقَالُوا: السَّلاَمُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ، فَزَادُوهُ: وَرَحْمَةُ اللَّهِ، فَكُلُّ مَنْ يَدْخُلُ الجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ آدَمَ، فَلَمْ يَزَلِ الخَلْقُ يَنْقُصُ حَتَّى الآنَ

Maksudnya: “Allah menciptakan Adam dan tingginya ialah enam puluh hasta. Kemudian Allah berfirman: ‘Pergilah dan ucapkan salam kepada para malaikat itu, lalu dengarkan penghormatan yang mereka ucapkan kepadamu, ia adalah salam untukmu dan salam bagi keturunanmu.’ Baginda bersabda: “السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ” (Moga kesejahteraan ke atas kamu). Mereka menjawab: “السَّلاَمُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّه” (Semoga kesejahteraan dan rahmat Allah ke atasmu). Mereka menambah kalimah “وَرَحْمَةُ اللَّهِ” padanya. Setiap orang yang masuk syurga sama seperti bentuk tubuh Adam, dan berlarutan ketinggian manusia semakin berkurang sehinggalah sekarang.”

Riwayat al-Bukhari (3326) dan Muslim (2841)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa syariat tidak menafikan kewujudan makhluk-makhluk ini termasuklah dinosaur, begitu juga berkenaan saiz mereka yang besar. Boleh jadi makhluk-makhluk dinosaur itu benar-benar wujud dan pernah mendiami atas muka bumi ini suatu masa dahulu berdasarkan kepada penemuan fosil-fosilnya yang banyak.

Kami pernah bertanya kepada guru kami secara berseleroh Syeikh Dr Wahbah al Zuhaili berkenaan hal ini lantas menjawabnya wujud berdasarkan dapatan berdasarkan saintis dan ilmuan yang boleh dipercayai. Waallahualam

Akan tetapi hakikatnya perbahasan tentang jangka hayat, butiran bentuk dan kehidupan mereka, ini adalah termasuk dalam bidang ilmu sains dan spekulasi[2] yang digabungkan. Seseorang Muslim tidak sepatutnya disibukkan dengan perkara-perkara ini dan tidak patut membuang masa membahaskannya atau mempercayai bahawa ia adalah perkara yang memberi kesan kepada agama atau kepercayaannya. Sesungguhnya seorang Muslim itu hendaklah mengetahui bahawa al-Quran dan al-Sunnah diturunkan untuk membimbing umat manusia dan menunjukkan kepada mereka jalan yang baik lagi benar; dan fokusnya (iaitu al-Quran dan al-Sunnah itu)  bukanlah pada sejarah, geografi, ilmu bumi atau haiwan, meskipun pada al-Quran dan Sunnah itu terdapat isyarat yang menunjukkan banyak fakta yang berkaitan dengan bidang-bidang ini. Bahkan terdapat beberapa jenis haiwan yang tidak disebut dalam al-Quran dan Sunnah sama sekali, walaupun mereka wujud pada zaman al-Quran diturunkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=dinosaur#1. Diakses pada 14 Mei 2024.

[2] Iaitu perenungan, tafakur; ataupun merujuk kepada pendapat (kesimpulan, dugaan, dan lain-lain) yang tidak berdasarkan kenyataan atau fakta-fakta. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=spekulasi. Diakses pada 14 Mei 2024.).

Leave a Reply