Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dr. huraikan maksud Surah al-Isra’ ayat 29? Adakah ayat ini memberi maksud terdapat had dalam sedekah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan membawa firman Allah SWT:
وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu di leher kerana sikap bakhil dan janganlah pula kamu menghulurkannya dengan sangat boros, kerana akibatnya kamu akan berada dalam keadaan yang tercela serta menyesal.”
(Surah al-Isra’: 29)
Menjawab persoalan yang dilontarkan oleh saudara, ayat ini pada hakikatnya mempunyai hikmah yang sangat mendalam. Allah SWT mengajarkan kepada manusia bahawa sedekat itu merupakan suatu perbuatan yang dituntut, maka jangan sesekali kita menahan tangan kita dari memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Akan tetapi, adakah sedekah ini tidak mempunyai had sehingga kita perlu menghabiskan segala harta yang dimiliki? Bahkan Allah SWT sendiri melarang dari perbuatan boros begini kerana kelak ia akan membinasakan diri sendiri.
Ibn Kathir menyebut, ini merupakan perumpamaan yang Allah SWT letakkan bagi mereka yang berharta tetapi enggan mengeluarkan infaq wajib dari harta tersebut. Maka Allah mengibaratkan mereka seperti orang yang dibelenggu tangannya pada tengkuk, yang tidak mampu untuk mengambil wangnya untuk diberikan. Maksud disebalik ayat ini, Allah SWT mengingatkan Rasulullah SAW agar tidak menahan tangannya, yakni bersifat bakhil, enggan mengeluarkan infaq pada hak Allah. Enggan berinfaq umpama mereka yang dibelenggu tangannya ke tengkuk sehingga tidak mampu untuk menghulurkannya.
Meskipun begitu, Allah SWT juga memperingatkan Baginda SAW agar tidak berlaku boros dengan menginfaqkan kesemua harta yang dimiliki sehingga tidak lagi mampu memberikan apa-apa kepada orang lain. Akibat dari perbuatan ini, orang yang meminta-minta dari Rasulullah SAW kelak akan mencela sekiranya Baginda tidak memberikan apa-apa, dan Baginda akan mencela dirinya sendiri kerana terlalu cepat kehabisan harta. Kalimah mahsura (مَّحْسُورًا) bermaksud, orang yang boros sehingga kehabisan hartanya, mereka ini memalukan kerana tidak berbaki padanya apa-apa untuk diinfaqkan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/64)
Al-Zamakhsyari berkata, ini merupakan larangan dari menjadi terlalu kikir serta jangan pula terlalu boros, ia juga perintah untuk bersederhana antara terlalu boros dan menjadi tangkai jering sehingga terduduk hina di hadapan Allah SWT. Hal ini kerana orang yang boros tidak diredhai oleh Allah SWT dan tidak juga diredhai oleh manusia, orang yang meminta darinya mungkin berkata: “Dia berikan kepada si fulan, tetapi aku tidak diberikan apa-apa,” manakala orang lain yang tidak meminta-minta darinya pula mungkin berkata: “Orang ini tidak tahu menguruskan kehidupannya dengan baik.” (Lihat al-Kassyaf, 2/662)
Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur pula mengatakan di dalam tafsirnya, hikmah disebalik ayat ini, ia menerangkan kepada kita bahawa sedekah yang terpuji itu adalah bersederhana di antara terlalu berlebih-lebihan dan terlalu kurang dalam bersedekah. Kesederhanaan yang terpuji ini terdapat pada kesemua hakikat yang mempunyai dua sempadan, iaitu terlalu berlebihan atau terlalu kurang. Kedua-dua sempadan ini boleh mendatangkan keburukan kepada sumber asal, dan kesederhanaan di antara kedua sempadan ini adalah sifat adil.
Antara salah satu sempadan sedekah ini adalah kikir atau bakhil, dan ia akan membinasakan golongan yang memerlukan, serta pemilik harta itu kerana sifat bakhil ini boleh menimbulkan kebencian orang terhadapnya dan kebenciannya terhadap orang lain. Sempadan yang lain pula adalah kuat membazir atau boros dalam bersedekah, kesan buruknya akan ditanggung oleh pemilik harta tersebut dan juga ahli keluarganya, kerana dia tidak menguruskan hartanya dengan cara yang sepatutnya. Adapun bersederhana, harta tersebut diuruskan dengan cara yang sepatutnya, dan inilah kadar yang diterangkan dalam ayat ini dengan menggunakan dua kata larangan: “janganlah”. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 15/84)
Maka kami katakan, benar seperti yang saudara ajukan, ayat ini menjelaskan bahawa setiap perkara itu mempunyai limitasi atau batasannya yang tertentu, meskipun perkara itu pada asalnya adalah suatu perkara yang baik dan amat dituntut. Kadar sedekah yang disebutkan dalam ayat 29 Surah al-Isra’ ini adalah bersederhana, dalam erti kata mudah tidak membazirkan kesemua harta yang dimiliki sehingga tidak meninggalkan sebarang sisa untuk nafkah keperluan siri dan keluarga.
Beginilah serba ringkas penerangan berkenaan ayat ini, semoga kita beroleh kefahaman yang baik dan dikurniakan rezeki yang melimpah agar sentiasa dapat menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam.