Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum meletakkan kanak-kanak sebaris orang dewasa di saf hadapan? Apakah diharuskan atau dilarang dari segi adat sahaja?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Merujuk kepada persoalan yang saudara ajukan, kami terlebih dahulu menyarankan agar saudara turut sama membaca artikel kami yang bertajuk: “Budak Lelaki Belum Berkhatan Bersama Saf Dewasa.” Kami menyimpulkan di dalam artikel ini, tuntutan untuk memenuhi ruang saf hadapan diutamakan bagi mereka yang telah baligh dan lebih berumur lalu diikuti dengan kanak-kanak, sesuai dengan saranan Rasulullah SAW di dalam hadith ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A:
لِيَلِيَنِّي مِنْكُمْ أُولُو الأَحْلَامِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُم
Maksudnya: “Hendaklah berdiri di belakangku daripada kalangan kamu orang yang baligh dan berakal, kemudian orang yang hampir dengan mereka.”
Riwayat Muslim (432)
Begitu juga dalam hadith Abu Malik al-Asy‘ari R.A, katanya: “Tidakkah aku harus menyampaikan kepada kamu tentang bagaimana Nabi SAW memimpin solat?” Beliau berkata:
فَأَقَامَ الصَّلَاةَ، وَصَفَّ الرِّجَالَ وَصَفَّ خَلْفَهُمُ الْغِلْمَانَ، ثُمَّ صَلَّى بِهِمْ
Maksudnya: “Baginda mendirikan solat dan menyusun saf jemaah lelaki dan menyusun di belakang mereka saf jemaah kanak-kanak lelaki, kemudian barulah Baginda mengimamkan solat mereka.”
Riwayat Abu Daud (677)
Kata Imam al-Nawawi, keutamaan-keutamaan dalam saf ini disebabkan hajat imam yang mungkin terpaksa diganti oleh seseorang yang berada di belakangnya, maka orang yang baligh dan lebih berusia lebih utama dari segi pengetahuan untuk menegur imam ketika terlupa dan sebagainya. Keutamaan ini juga diberikan agar orang yang baligh dan berusia dapat memantapkan lagi sifat solat mereka, kemudian diajarkan pula kepada masyarakat dan mereka ini boleh menjadi tauladan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/155)
Dalam pada itu, kami tidaklah menafikan keharusan kanak-kanak berada di saf hadapan, sebaliknya ia hanyalah sebahagian dari adab yang diajarkan oleh Islam dalam isu hormat-menghormati sesama orang yang lebih berusia dari kita.
Akan tetapi, segelintir masyarakat kita terlalu memandang serius isu adab ini sehingga mengangkatnya menjadi sebuah kefardhuan yang wajib diikut, sehingga terkadang menyebabkan layanan yang diberikan kepada kanak-kanak seolah-olah penuh kehinaan. Tidakkah kita melihat bagaimana Rasulullah SAW memberikan layanan terbaik kepada kanak-kanak di masjid? Disebutkan dalam hadith Syaddad bahawa Rasulullah SAW pernah sujud begitu panjang dalam satu solat kerana cucu Baginda menaiki tengkuk Baginda ketika sedang sujud. Sahabat kehairan lalu bertanya bertanya, Baginda menjawab:
ابْنِي ارْتَحَلَنِي فَكَرِهْتُ أَنْ أُعَجِّلَهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya anakku (cucuku) telah menjadikan aku tunggangannya. Aku tidak suka mengganggunya sehingga dia tunai hajatnya.”
Riwayat al-Nasa’ie (1141), Ahmad (16076) dan al-Hakim (4839)
Suasana yang mesra ini kelak akan melahirkan generasi muda yang mewarisi akhlaq mereka yang lebih senior, yang sentiasa merasakan tiada dinding penghalang antara mereka dan agama ini kerana sejak dari kecil mereka telah diraikan. Meraikan kanak-kanak itu juga sebahagian dari akhlaq yang sepatutnya diambil cakna oleh setiap organisasi masjid dan surau demi menggalakkan lagi generasi milenial untuk terus mengimarahkan rumah Allah SWT.
Ketika Imam Ibn Hajar al-Haitami ditanya tentang masalah segelintir dewasa yang menyuruh kanak-kanak di saf hadapan untuk pergi ke saf belakang, beliau kemudian menyebutkan: “Apabila kanak-kanak mendahului orang dewasa di saf pertama, tidak wajar untuk mengeluarkan mereka (dari saf depan), melainkan jika kanak-kanak itu khunsa atau perempuan.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/229)
Sifat rahmat dan kasih sayang inilah yang kita perlu tanam dalam diri setiap jemaah masjid, agar dapat difahami dengan jelas bahawa layanan baik kita akhirnya akan dibalas dengan baik, dan sifat terpuji itu akhirnya menjadi penggalak kepada generasi muda untuk terus menghadiri masjid. Disebutkan dalam hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”
Riwayat al-Bukhari (5997) dan Muslim (2318)
Natijah dari perbahasan di atas, kami katakan bahawa kita dilarang dari menghalau kanak-kanak dari saf hadapan ke saf belakang kerana perbuatan ini hanya akan melahirkan rasa benci generasi muda untuk terus memeriahkan rumah Allah SWT. Sebagai mereka yang lebih berusia, sewajarnya mereka menjadi ikutan kanak-kanak kecil dalam segenap aspek, terutamanya akhlak cerminan yang terbaik.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam.