Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah solat sah jika saya menunaikan solat di belakang imam yang fahaman politiknya sekular?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Imam menurut kefahaman fuqaha’ merujuk kepada mereka yang dijadikan ikutan dalam solat. (Lihat al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 34). Perkataan imam itu sendiri memberi maksud di hadapan yang dirujuk serta diikuti sedangkan pengikutnya pula dikenali sebagai makmum. Hal ini berlandaskan hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤتَمَّ بِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti.”

Riwayat al-Bukhari (734) dan Muslim (411)

Imam al-Nawawi menyatakan, difahami dari hadith ini tentang kewajipan makmum untuk mengikuti imam pada takbir, berdiri, duduk, rukuk, dan sujud. Dia juga perlu melakukannya selepas imam, seperti mengangkat takbiratul ihram selepas imam selesai takbiratul ihram. Sekiranya dia melakukannya sebelum imam selesai takbiratul ihram, tidak sah solatnya. (Lihatg al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/132)

Memahami hakikat seorang imam, pastinya seseorang imam itu perlu kepada beberapa syarat yang mengharuskan dirinya untuk menjadi ketua di dalam solat, antara asasnya adalah:

  • Islam, kerana asas bagi suatu ibadah itu adalah kepercayaan kepada agama Allah SWT.
  • Berakal, iaitu imam mesti dari kalangan mereka yang mempunyai fikiran yang waras.
  • Lelaki, kerana Islam mendahulukan mereka dalam bab kepimpinan.
  • Pandai membaca al-Quran, kerana telah thabit dalam hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانُوا ثَلاَثَةً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَحَدُهُمْ وَأَحَقُّهُمْ بِالإِمَامَةِ أَقْرَؤُهُمْ

Maksudnya: “Sekiranya ada tiga orang maka hendaklah salah seorang mereka mengimamkan solat, dan yang paling berhak menjadi imam adalah yang paling pandai membaca (al-Quran).”

Riwayat Muslim (672)

Akan tetapi, setelah berlalu beberapa tempoh zaman kegemilangan Islam, sebahagian mereka mula terkesan dengan ideologi dan kefahaman barat yang menjurus ke arah penyelewengan umat Islam, seperti sekularisme. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, ia didefinisikan sebagai suatu doktrin kefahaman, pendirian dan sebagainya yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia.[1] Pada zahirnya di Malaysia ini, mereka yang terkesan dengan fahaman ini tidaklah menolak agama secara keseluruhan, sebaliknya mereka cuba mengasingkan keterkaitan antara urusan dunia dengan hukum agama berdasarkan sangkaan dan fahaman mereka.

Oleh itu, timbul isu apabila seseorang imam yang berperanan sebagai rujukan agama serta ikutan dalam solat tetapi terkesan dengan fahaman begini. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah ditanya berkenaan isu yang hampir serupa dengan ini, dan beliau memberikan jawapan yang penuh insaf, katanya: “Seseorang itu boleh mendirikan solat 5 waktu dan solat Jumaat serta selainnya bersama dengan sesiapa sahaja yang tidak diketahui bahawa dia seorang pelaku bidaah atau seorang yang fasiq, berdasarkan persepakatan para imam empat mazhab dan selain mereka. Tidak menjadi syarat mengikut imam bagi seseorang makmum untuk mengambil tahu tentang pegangan imam tersebut, dan dia tidak perlu mengujinya dengan bertanya: ‘Apakah pegangan kamu?’ bahkan cukup dia bersembahyang di belakang imam tersebut dalam keadaan perkara ini (isu pegangan) tidak diketahui.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 23/351)

Dalam erti kata mudah, seseorang imam tidaklah diuji terlebih dahulu tentang pegangannya sebelum dia memulakan solat, kerana pada asalnya lantikan jawatan tersebut telah melalui ujian serta saringan dari pihak berautoriti agama. Maka berpada bagi makmum untuk menghukum berdasarkan zahir yang dilihatnya sahaja tanpa perlu memperbesarkan perkara yang tidak terzahir.

Berbeza pula situasinya apabila imam tersebut menzahirkan kecenderungannya yang bercanggah dengan ruh Islam, umpama orang yang fasiq (mereka yang dikenali kerap berbuat maksiat), mereka ini dimakruhkan untuk diikuti. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan lebih baik bersolat sendirian, manakala Imam al-Ramli pula berkata bersolat jemaah bersama mereka adalah lebih afdhal. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 308)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa solat di belakang orang yang fasiq itu sah dan tidak diharamkan, akan tetapi makruh hukumnya, begitu juga makruh solat di belakang ahli bidaah yang tidak dihukumkan kufur atas perbuatan bidaahnya itu. Sekiranya dia dikufurkan kerana perbuatan bidaahnya, solat tersebut tidak sah sebagaimana solat di belakang orang kafir. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/253)

Konsep sekular yang memisahkan agama daripada pemerintahan politik ini telah lama ditolak oleh Islam. Hakikatnya, pemerintahan Islam adalah perkara yang melibatkan urusan agama dan juga keduniaan, dan ini bertepatan dengan satu konsep yang disebut:

حِرَاسَةُ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِهِ

Maksudnya: “(Pemerintahan Islam adalah bagi): Menjaga agama dan mentadbir dunia.”

Konsep ini pada asalnya bertujuan untuk menerangkan peranan al-imamah al-kubra (الإِمَامَةُ الكُبْرَى) dalam konteks yang lebih besar, iaitu memimpin negara dengan menerapkan pemerintahan Islam. Adapun imam di dalam solat, sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh Sa‘id bin Wahf al-Qahtani[2], ia disebutkan sebagai al-imamah al-sughra (الإِمَامَةُ الصُّغْرَى). Sekiranya urusan negara yang lebih menjurus kepada keduniaan itu amat penting untuk diterapkan padanya nilai-nilai Islam, maka solat yang merupakan satu ibadah utama dalam Islam itu adalah lebih utama untuk pemimpinnya (imam) mempunyai pegangan serta kefahaman yang baik tentang Islam. (Lihat al-Imamah fi al-Solat, hlm. 6; al-Qamus al-Fiqhi, hlm. 24)

Kesimpulan

Meneliti perbincangan ringkas yang kami bawakan, hukum solat jemaah berimamkan seseorang yang berfahaman politik sekular adalah sah, kerana kefahaman politik tersebut pada zahirnya tidak mengeluarkannya dari agama Islam. Akan tetapi, sebaiknya pilihlah imam yang mempunyai pengetahuan agama yang baik, arif tentang setiap sifat-sifat solat, dan dapat menjadi contoh yang baik kepada para makmum terutamanya anak-anak kecil yang turut serta bersama.

Sudah sampai masanya imam memberi kecaknaan terhadap ilmu pengetahuan termasuk salah satu cabangannya ialah ilmu Firaq wa Adyan dan al-Mazahib al-Islamiyyah. Ini bertujuan agar sebuah kefahaman yang jelas di mana berlakunya penyelewengan dan kebatilan sebahagian daripada fahaman dan pegangan mereka.

Semoga, Allah SWT kurniakan kepada kita para pemimpin serta imam yang teguh di atas jalannya, sentiasa mengutamakan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sekularisme. Diakses pada 28 Mei 2024.

[2] Beliau juga merupakan pengarang kitab Hisnul Muslim.

Leave a Reply